Ahad, 25 Ogos 2024

SOLAT SUNAT AWWABIN

Pendahuluan

Solat sunat Awwabin merupakan ibadah sunat muakkad yang amat dituntut bagi setiap Muslim untuk melakukannya. Walaupun begitu, terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama dalam menentukan apa yang dimaksudkan dengan solat sunat Awwabin. Justeru itu, artikel ini akan menyoroti pandangan ulama berdasarkan dalil-dalil mereka tentang waktu pelaksanaan solat sunat Awwabin.

Maksud Awwabin

Awwabin berasal daripada perkataan Awwab yang bermaksud kembali kepada Allah dengan bertaubat dan beristighfar. Solat sunat Awwabin (صلاة سنة الأوابين) adalah solat sunat yang dilaksanakan antara waktu Maghrib dan Isyak.

Solat ini dinamakan al-Awwabin iaitu kembali mengingati Allah dengan melaksanakan amalan sunat kerana pada waktu tersebut (antara Maghrib dan Isyak manusia sedang leka dan lalai dengan aktiviti santai seperti makan malam, berbual-bual, tidur dan urusan yang lain.

Keutamaan Solat Awwabin

Solat sunat Awwabin merupakan ibadah sunat yang dilakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Fadhilat pelaksanaan solat sunat Awwabin dapat menjaga dan memelihara keteguhan iman, serta dapat menghapuskan dosa bagi mereka yang beramal dengannya. Firman Allah SWT dalam surah Qaaf ayat 30 hingga 35:


يَوْمَ نَقُولُ لِجَهَنَّمَ هَلِ امْتَلَأْتِ وَتَقُولُ هَلْ مِن مَّزِيدٍ﴿٣٠وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ غَيْرَ بَعِيدٍ﴿٣١﴾ ‎ ‏ ‎


هَٰذَا مَا تُوعَدُونَ لِكُلِّ أَوَّابٍ حَفِيظٍ﴿٣٢مَّنْ خَشِيَ الرَّحْمَٰنَ بِالْغَيْبِ وَجَاءَ بِقَلْبٍ مُّنِيبٍ﴿٣٣﴾  ‎


ادْخُلُوهَا بِسَلَامٍ ۖ ذَٰلِكَ يَوْمُ الْخُلُودِ﴿٣٤لَهُم مَّا يَشَاءُونَ فِيهَا وَلَدَيْنَا مَزِيدٌ﴿٣٥﴾‏


(Surah Qaaf: 30-35)

(Peringatkanlah manusia) akan hari Kami (Allah) bertanya kepada neraka jahanam: “Adakah engkau sudah penuh? ” Ia menjawab: “Adakah lagi sebarang tambahan?”. Dan (ingatkanlah pula hari) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertakwa, di tempat yang tidak jauh (dari mereka). (Serta dikatakan kepada mereka): “Inilah yang dijanjikan kepada kamu, kepada tiap-tiap hamba yang sentiasa kembali (kepada Allah dengan mengerjakan ibadat), lagi yang sangat memelihara dengan sebaik-baiknya (segala hukum dan peraturan Allah); “(Iaitu) orang yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Allah, serta ia datang (kepada Allah) dengan hati yang tunduk taat”. (Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): “Masuklah kamu ke dalam Syurga dengan selamat sejahtera; hari ini ialah hari (bermulanya) kehidupan yang kekal”. Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ, dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka).

Berdasarkan ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menjanjikan ganjaran pahala yang besar bagi hamba-hamba yang sentiasa kembali kepada-Nya dengan mengerjakan amal ibadat. Justeru, dengan melaksanakan amalan ini secara istiqamah, seseorang dapat memperoleh banyak keutamaan dan manfaat di dunia dan akhirat.

Dalil Pelaksanaan Solat Sunat Awwabin

Solat sunat Awwabin dilakukan untuk memelihara keteguhan dan nikmat keimanan yang berterusan serta dapat menghapuskan dosa-dosa. Terdapat dua pandangan ulama terhadap waktu pelaksanaan solat sunat Awwabin, iaitu:

Pandangan pertama: Solat sunat Awwabin adalah solat Dhuha.

Solat sunat Awwabin adalah solat Dhuha menurut pandangan jumhur. Waktu yang afdhal untuk melakukan solat sunat ini adalah selepas satu per empat hari iaitu ketika matahari mulai terpancar terik sekitar satu atau dua jam sebelum tergelincir matahari. Pandangan ini dipelopori oleh fuqaha Māliki, Hanafiyyah, Hanbali dan sebahagian Syāfi’iyah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Zaid bin Arqam RA, di mana Nabi SAW bersabda:

 صَلَاةُ الْأَوَّابِينَ حِينَ تَرْمَضُ الْفِصَالُ

Solat Awwabin ialah solat yang dilakukan ketika pasir (di tanah lapang) menjadi panas (kerana matahari sudah terik). (Riwayat Muslim)

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa solat sunat Awwabin merujuk kepada solat Dhuha yang dilakukan pada waktu afdhal solat Dhuha. Solat Dhuha adalah sunat muakkad yang dilakukan dengan dua rakaat (minimum) dan paling maksimum adalah 8 rakaat dan hendaklah mengucapkan salam bagi setiap 2 rakaat. Menurut Imam Al-Nawawī dalam al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab bahawa lafaz al-fisal di dalam hadis berikut merujuk kepada anak-anak unta yang telah bangun dari tidurnya kerana mulai panas.

Menurut Sheikh al-Ramli dan Sheikh al-Ziyadi, solat sunat Awwabin dan solat Isyraq boleh dilakukan sebanyak 2 rakaat ketika matahari naik dengan membaca surah al-Ikhlas pada setiap rakaat dan lebih afdhal untuk membaca surah al-Syams dan al-Dhuha. Manakala, pandangan yang lebih rajih adalah melakukan sebanyak 12 rakaat. Demikianlah, solat sunat Awwabin adalah solat Dhuha yang dilakukan pada waktu yang paling afdhal iaitu ketika panas matahari telah terasa di bumi.

Pandangan kedua: Solat sunat Awwabin dilakukan di antara Maghrib dan Isya’.

Seterusnya, pandangan yang dipelopori oleh sebahagian mazhab Syāfi’I dan Syeikh Wahbah Zuhaili, bahawa solat sunat Awwabin dilakukan selepas matahari terbenam iaitu solat sunat di antara Maghrib dan Isya’. Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

 مَنْ صَلَّى بَعْدَ الْمَغْرِبِ سِتَّ رَكَعَاتٍ لَمْ يَتَكَلَّمْ فِيمَا بَيْنَهُنَّ بِسُوءٍ عَدَلْنَ لَهُ عِبَادَةَ اثْنَتَيْ عَشْرَةَ سَنَةً

Barang siapa yang solat 6 rakat selepas matahari terbenam dan tidak bercakap buruk di antaranya, maka ia sama dengan dua belas tahun ibadatnya. (Riwayat Tirmizi)

Kemudian, hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 مَنْ صَلَّى بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ عِشْرِينَ رَكْعَةً بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ

Sesiapa yang bersembahyang di antara Maghrib dan Isya’ 20 rakaat, Allah SWT membina untuknya sebuah mahligai dalam syurga(Riwayat Ibn Majah)

Dalam hadis riwayat Hudzaifah bin al-Yaman katanya:

Lalu, aku menemui Nabi, maka aku pun melaksanakan solat Maghrib bersama Baginda. Kemudian Baginda meneruskan solar sehingga solat Isyak. (Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Solat sunat Awwabin ini juga menjadi rutin dan amalan harian para sahabat Rasulullah malahan mereka amat mengambil berat tentang amalan sunat pada waktu tersebut.

Dalam sebuah atsar yang diriwayatkan oleh Abdul Rahman bin al-Aswad daripada bapa saudaranya yang berkata:

Suatu waktu yang mana aku tidak pernah menemui Abdullah bin Mas’ud pada waktu tersebut melainkan aku mendapati beliau sedang bersolat iaitu waktu di antara Maghrib dan Isyak. Beliau pernah berkata: la adalah waktu kelalaian.

Dalam sebuah atsar yang lain, Abdullah bin Umar pernah berkata:

Solat sunat Awwabin adalah bermula di antara masa para jemaah solat Maghrib mula bergerak keluar sehingga kembali semula untuk menunaikan solat Isyak.

(Riwayat Ibn Abu Syaibah)

Pandangan ketiga: Solat Malam

Solat sunat Awwabin juga disebut sebagai solat malam kerana waktu malam bermula setelah masuknya waktu Maghrib.

Justeru itu, setiap ibadat sunat yang dilaksanakan selepas waktu Maghrib dianggap telah mencapai maksud qiyamullail.

Ibn Abu Syaibah pernah meriwayatkan dalam al-Musannaf daripada Anas bin Malik bahawa beliau pernah melaksanakan solat di antara waktu Maghrib dan Isyak. Lalu beliau berkata: Itu adalah solat di awal malam.

Malahan para ulama mazhab bersepakat bahawa digalakkan agar melazimi solat-solat sunat antara waktu Maghrib dan Isyak.

Mengikut fahaman Mazhab Shafi’e yang dipegang orang Islam di Malaysia, Solat Sunat Awwabin membawa pengertian solat yang dilakukan selepas Fardhu Maghrib menanti waktu Isyak.

Hadis di atas jelas menunjukkan kelebihan orang yang melakukan solat sunat di antara Maghrib dan Isya’. Solat sunat Awwabin dilakukan di antara Maghrib dan Isya’ sebanyak 20 rakaat, ada juga diriwayatkan sebanyak 6 dan 4 rakaat dan 2 rakaat yang paling sedikit. Berdasarkan hadis yang dinyatakan, jelas menunjukkan bahawa banyak ganjaran pahala yang diberikan bagi mereka yang melaksanakan solat sunat di antara Maghrib dan Isya’.

Pandangan Keempat: Solat Ghaflah

Menurut Imam al-Mawardi dalam al-Hāwi al-Kabīr, para salafussoleh terdahulu mengerjakan solat ini dan menamakannya sebagai solat al-ghaflah. Di sisi mazhab al-Syāfi‘i, solat sunat di antara Maghrib dan Isya’ juga disebut sebagai solat al-ghaflah kerana orang-orang yang mengerjakannya bertaubat kepada Allah SWT. Solat sunat ini dilakukan oleh orang yang lalai dan sibuk dengan urusan harian mereka seperti makan, tidur dan sebagainya. Namun begitu, hadis-hadis yang disebutkan merupakan hadis dhaif, namun boleh beramal dengannya kerana termasuk dalam bab fadhail al-a’mal.

Cara mengerjakan Solat Awwabin

Niat Solat Sunat Awwabin adalah seperti berikut:

1.Dua rakaat pertama diniatkan untuk memelihara iman.

Untuk rakaat pertama dan kedua, bacalah niat:



Sahaja aku solat sunat Awwabin serta menjaga iman 2 rakaat kerana Allah Taala


2. Dua rakaat yang kedua dilakukan dengan niat bertaubat.

Untuk rakaat ketiga dan keempat, bacalah niat:



Sahaja aku solat sunat Awwabin bersama bertaubat 2 rakaat kerana Allah Taala


3. Dua rakaat yang ketiga dilakukan dengan niat bersama istikharah.

Untuk rakaat kelima dan keenam, bacalah niat:

 


Sahaja aku solat sunat Awwabin bersama istikharah 2 rakaat kerana Allah Taala

 Bacaan surah selepas al-Fatihah pada setiap rakaat, ada yang menentukan bacaan surah-surah tertentu, namun ada yang memberi kebebasan untuk membaca apa sahaja surah, biasanya surah al-Kafirun dan surah al-Ikhlas. Setelah selesai solat bacalah doa berikut;



Ya Allah, penuhkanlah aku dengan iman dan peliharakanlah ia sepanjang hidupku, waktu matiku dan selepas matiku.

 

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan