Jumaat, 1 April 2022

Istinjak Membersihkan Fizikal, Mental dan Jiwa

 sambungan dari siri terdahulu

11. Tidak memandang najis

Mengikut kitab Fikih Ibadat Madzhab Syafi’i (Syaikh Dr Alaudin Za’tari); makruh memandang ke langit atau ke kemaluannya atau ke sesuatu yang keluar darinya, kecuali atas dasar darurat.

“Jangan memandang ke langit, melihat ke arah kemaluan atau melihat kotoran yang keluar darinya. Makruh bercakap atau bersembang di dalam tandas. (Abu Dawud, Ibnu Majah). Termasuk menjawab salam pun tidak dianjurkan. Menjawabnya cukup dengan isyarat / berdehem. (Muslim, Tirmidzi, Nasa’i)

Berkata Imam Nawawi:

Dan disunatkan atas seorang itu tidak masuk ke dalam tandas dengan tidak menutup kepalanya dan bahawa tidak ia melihat kepada najis yang keluar daripadanya dan tidak melihat kepada kemaluannya.” (Kitab Ar-Raudhah At-Talibin)

 

12. Tidak membawa bahan yang mengandungi nama Allah dan nama Rasulullah SAW

Menurut sebuah riwayat bahawa Anas ra. berkata “Semasa memasuki bilik air, Nabi :saw akan membuka cincinnya”. Semua maklum bahawa cincin Nabi :saw mempunyai ukiran “Muhammad adalah Rasulullah”. Alasannya, kerana tidak sesuai Nama Allah dibawa bersama. Disini menunjukkan dua keadaan :-

a. Kebenaran mengukir Nama Allah ke atas sesuatu objek, misalnya cincin. Menurut Ibn Abi Syaibah, bahawa Hudhaifah dan Abu ‘Ubaidah mempunyai cincin yang diukir “Alhamdulillah”. Ibrahim al-Nakhai pula mempunyai cincin yang diukir “Billah”.

b. Hukum membawa barang seperti itu kedalam bilik air. Mazhab Syafie dan Hanafil tidak menggalakkan membawa objek yang mempunyai Nama Allah, akan tetapi Mazhab Maliki dan Hanbali mengharamkannya. Ibn Qudamah rh berkata, jika seseorang membawa sesuatu objek yang menyebut nama Allah, adalah mustahab (digalakkan) meninggalkan atau menanggalkannya.

Jika dia membawa bersamanya, dan menjaganya baik-baik agar tidak terjatuh, atau memusingkan bahagian yang ada nama Allah mengadap tapak tangannya, maka tidak mengapa. Menurut Imam Ahmad, jika cincin mempunyai nama Allah, hendaklah dipusingkannya mengadap tapak tangan dan kemudian baru ke bilik air. Pandangan ini merupakan pendapat Ibn al-Musayyab, Ibn Sirin, dll. (al-Mughni, 1/109).

Syeikh Atiyar Saqr (syeikhul Azhar) mengatakan bahawa jika dia takut akan cincin (objek) tersebut kehilangan, maka tidaklah menjadi kesalahan membawa ke dalam bilik air.

Perkara penting yang perlu difahami dalam menentukan persoalan ini ialah kita perlu membezakan antara kalimah suci dan ayat-ayat suci al-Quran. Kedua-duanya mempunyai hukum yang berbeza. Jika dilihat kemusykilan yang diutarakan, ianya berkisar persoalan kalimah suci.

Mengenai hukum tentang persoalan yang diutarakan, Ulama mazhab Syafie bersependapat bahawa disunatkan menanggalkan apa yang terdapat padanya sebutan Allah Taala ketika hendak memasuki tandas dan ianya tidak wajib. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahawa Rasulullah menanggalkan cincin yang dipakainya kerana tertulis di atasnya perkataan Muhammad Rasulullah.

Imam Ahmad mengatakan : Cincin yang terdapat padanya nama Allah hendaklah digenggam apabila memasuki tandas. Begitu juga dengan pendapat Ikrimah.

Pendapat lain mengatakan membawa sesuatu yang ditulis zikrullah di atasnya ke dalam tandas hukumnya makruh dan bukannya haram. Sama sepertinya iaitu nama rasulnya dan setiap nama yang diagungkan seperti yang disebutkan dalam kitab al-Kifayah sejajar dengan pendapat al-Imam.

Ibn al-Musayyab, al-Hassan al-Basri dan Ibn Sirin (tabi’in) memberikan kelonggaran tentangnya (membawa bahan yang tertulis nama Allah ke tandas) Imam Ahmad memberikan jawapan tentang seorang lelaki yang membawa duit dirham (tertulis zikrullah) masuk ke tandas dengan mengatakan: aku harap ianya tidak mengapa.

 

13. Membersihkan Tangan Selesai beristinja’ kemudian berwuduk

Diriwayat dari Abu Daud r.a dari waki’ :


كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَتَى الْخَلَاءَ أَتَيْتُهُ بِمَاءٍ فِي تَوْرٍ أَوْ رَكْوَةٍ فَاسْتَنْجَى قَالَ أَبُو دَاوُد فِي حَدِيثِ وَكِيعٍ ثُمَّ مَسَحَ يَدَهُ عَلَى الْأَرْضِ ثُمَّ أَتَيْتُهُ بِإِنَاءٍ آخَرَ فَتَوَضَّأَ

"Bahawasanya Nabi SAW jika hendak buang air, maka aku bawakan air dalam bejana atau baldi kecil. Lalu Baginda beristinja’, kemudian menggosokkan tangannya pada tanah. Lalu aku bawakan bejana lain, kemudian baginda berwuduk." (HR. Abu Dawud) juga dalam Ihya’ Ulumuddin.

Membersihkan tangan setelah istinja' ini tidak harus dengan tanah, apabila ada sesuatu yang dapat menggantikannya sebagai penghilang bau seperti sabun atau semisalnya maka tidak mengapa.

14. Keluar bilik air dengan kaki kanan.

Daripada ‘Aisyah RA, berkata: Nabi SAW menyukai melakukan sesuatu daripada sebelah kanan ketika mengenakan sandal, menyisir rambut, bersuci dan dalam setiap amalan yang dilakukannya." (Hadith riwayat al-Bukhari, Sahih Bukhari: No.Hadith : 168).

Matan hadith :

عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ، فِي تَنَعُّلِهِ، وَتَرَجُّلِهِ، وَطُهُورِهِ، وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ.

Al- Imam an-Nawawi dalam kitab beliau, Syarhu Shahih Muslim dan Al-Imam Ibnu Daqiqil ‘Id serta ada beberapa ulama’ lain lagi yang menyebutkan bahawa masuklah tandas dimulai dengan kaki kiri dan keluarlah tandas dengan kaki kanan berdasarkan hadis di atas.

 

15. Doa keluar tandas:

 Doa hendak keluar tandas

غُفْرَا نَكَ الله الَّذِى اَذْهَبَ عَنّى الأذَى وَعَا فَانِى

Aku memohon ampun daripada Engkau, Tuhan yang telah menghilangkan apa yang menyakitkanku dan akan menyihatkanku.

 

PENUTUP

Doa.

Ya Allah terimalah amalan kami ini sebagai amalan soleh, jika ia berpahala, kami hadiahkan pahalanya kepada ibu dan ayah kami, suami atau isteri kami, juga anak-anak kami, ahli keluarga kami, jiran tetangga kami, murid-murid kami, guru-guru kami dan seluruh muslimin dan muslimat. Amin

 

Sekian wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum wrt

Ustazah Dr. Saharizah binti Mohamad Salleh

 

Istinjak Membersih fizikal, Mental dan Jiwa

 sambungan dari siri pertama 

6. Tidak menghadap kiblat (jika di tempat lapang) untuk  menghormati kiblat

Rasulullah SAW bersabda:

إذَا أَتَيْتُمُ الْغَائِطَ فَلَا تَسْتَقْبِلُوا الْقِبْلَةَ وَلَا تَسْتَدْبِرُوهَا وَلَكِنْ شَرِّقُوا أَوْ غَرِّبُوا. رواه البخاري

“Jika kalian mendatangi tempat pembuangan air (untuk buang air), maka janganlah menghadap kiblat, dan jangan pula membelakanginya saat kencing, mahupun berak.” (HR. Bukhari)

Namun hadis ini berlaku apabila tempat buang air itu tidak ada sutrah atau tabir sebagai pelindung diri dari pandangan manusia, apabila ada tabir atau tutup untuk melindungi diri dari manusia maka tidak mengapa menghadap kiblat.

Sebagaimana hadis Rasulullah :

رَقِيتُ يَوْمًا عَلَى بَيْتِ حَفْصَةَ فَرَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى حَاجَتِهِ مُسْتَقْبِلَ الشَّامِ مُسْتَدْبِرَ الْكَعْبَةِ .رَوَاهُ الْجَمَاعَة

“Aku menginap semalam di rumah Khafshah, maka aku melihat Nabi SAW ketika membuang  hajatnya menghadap ke arah Syam dan membelakangi Ka’abah”. (HR. Jama’ah).

7. Menjaga Badan Dan Pakaian Dari Najis Dan Air Kencing.

Rasulullah SAW bersabda:


قَالَ مَرَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى قَبْرَيْنِ فَقَالَ أَمَا إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ وَأَمَّا الْآخَرُ فَكَانَ لَا يَسْتَتِرُ مِن بَوْلِهِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah melewati dua kuburan dan bersabda: "Sesungguhnya kedua (penghuni)nya tengah diseksa, sedang ia tak diseksa kerana perkara besar (menurut sangkaannya). Bahkan itu (sebenarnya) adalah perkara besar. Adapun salah satu di antaranya, ia melakukan sikap suka mengadu domba. Adapun yang kedua, ia tidak berlindung dari (percikan) air kencingnya." (HR. Muslim)

Berusaha dan berhati-hati serta cermat, teliti ketika buang air besar atau kecil agar tidak terpercik kepada anggota badan dan pakaian. Sekiranya terasa ada percikkan kepada anggota tubuh badan basuhlah, jika terlena pakaian, ketika solat tukarlah supaya kita rasa aman, khusyuk dan reda dengan pertemuan tersebut. Berhati2 itu boleh dibuat dengan mengangkat kain/pakaian tetapi tidak terbuka aurat kemudian membasuh anggota yang berkemungkinan terkena percikan air najis. Amalan ini untuk mengelakkan, jangan sampai merasa perkara yang kelihatannya kecil, tetapi  menjadi sebab kita mendapat azab kubur.

Sunnah mempercepatkan buang air besar dan air kecil, menjaga masa agar tidak berlama-lama di dlam tandas. Ketika najis keluar dari qubul dan dubur, wujudkan rasa syukur atas nikmat kesihatan dan nikmat mampu membuang najis secara normal. Inilah hamba hubungan dengan Allah dan hubungan umat dengan Rasulullah SAW yang sentiasa tidak terpisah. Cuma elakkan dari berzikir dan menyebut nama Allah dan Rasulullah SAW dalam tandas.

8. Istinjak dengan tangan kiri.

Rasulullah SAW bersabda:


كَانَتْ يَدُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْيُمْنَى لِطُهُورِهِ وَطَعَامِهِ وَكَانَتْ يَدُهُ الْيُسْرَى لِخَلَائِهِ وَمَا كَانَ مِنْ أَذًى

"Bahawasanya tangan kanan Rasulullah SAW adalah untuk wuduk dan makannya; dan tangan kirinya untuk ke tandas, dan sesuatu yang kotor." (HR. Abu Dawud ).

Sunnah Rasulullah SAW adalah menjadikan tangan kanan digunakan untuk sesuatu yang baik seperti makan dan minum dan tangan kiri untuk istinja' dan sesuatu yang bersifat kotor. Umat Islam janganlah makan dan minum dengan tangan kiri dan beristinja' dengan tangan kanan. Niatkan di hati, semasa mengambil sesuatu. Aku ikut sunnah Nabi-Mu Ya Allah. Rahmatilah aku. Berusaha menjauhkan diri dari membasuh qubul dan dubur dengan tangan kanan,  demikian juga berusaha mengelak diri dari menggunakan tangan kiri bagi perkara2 baik seperti makan dan minum dengan niat mengikut sunnah Rasullulah SAW.

Ini kerana dengan berfikir berkenaan penciptaan makhluk-makhluk Allah S.W.T dapat membantu seseorang itu untuk menambah keyakinan dan keimanan akan kekuasaan Allah. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah S.W.T:

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: Sesungguhnya pada penciptaan langit-langit dan juga bumi serta pertukaran malam kepada siang, nescaya terdapat padanya tanda-tanda kebesaran Allah bagi golongan ulul albab. Iaitu golongan yang sentiasa mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk, serta berbaring dan mereka memikirkan kepada penciptaan langit-langit dan juga bumi lalu mengatakan ‘’Wahai Tuhan kami, tidaklah Kau menciptakan kesemuanya ini secara sia-sia, maha suci Kamu maka peliharalah kami dari azab api neraka’’. Surah Aali Imran (191)

Begitu juga firman Allah S.W.T:

وَفِي أَنفُسِكُمْ ۚ أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Maksudnya: Dan pada diri kamu, apakah kamu tidak memikirkannya. Surah Al-Dzariyat (28)

Imam Al-Thabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata: ‘’Pandangan paling tepat dalam menjelaskan makna ayat ini adalah: Pada diri kamu juga wahai umat manusia terdapatnya tanda-tanda kebesaran Allah dan juga ibrah yang menunjukkan kepada kamu akan keesaan Pencipta kamu. Dan sesungguhnya tidak ada Tuhan bagi kamu selain-Nya. Dari sudut tidak ada yang berkuasa menciptakan seperti ciptaan-Nya kepada kamu. Maka apakah kamu tidak merenung secara mendalam akan hal tersebut serta berfikir padanya. Nescaya kamu akan mengetahui hakikat keesaan Tuhan kamu’’. Rujuk Tafsir Al-Thabari (22/419).

9. Istibra’/Berdehem:

Istibra' menurut Mausu'ah al-Fiqhiyah , (3/167) membawa dua maksud:
1. Dalam bahasa arab ialah menuntut kebersihan

2.Dalam fiqh membawa dua maksud:
i) Taharah lelaki ketika buang air khususnya buang air kecil
ii) Taharah rahim pezina dan hamba, supaya rahim mereka benar2 bersih sebelum dapat bernikah atau disetubuhi oleh orang lain.


Menurut Ibnu 'Arafah, istibra' ialah menghilangkan kekotoran daripada kedua-dua tempat keluar najis. Jadi melalui takrifan ini, ulama mazhab Syafie dan Hanbali berpendapat membersihkan air kencing, tahi, mazi, wadi dan mani

Perkataan yang ada hubung kaitnya dengan istibra’ ini ialah istinqa’, istinzah dan istintar. Kesemua perkataan ini membawa makna membersihkan kedua-dua tempat keluar najis daripada apa yang keluar darinya. Sebilangan besar ulama’ Mazhab Syafie dan Hambali mengatakan hukumnaya adalah sunat dengan beralasan bahawa selepas berhenti pengaliran air kencing itu ia tidak akan keluar lagi. Sementara itu ada juga sebahagian ulama’ Mazhab Syafie yang berpendapat bahwa istibra’ itu hukumnya wajib dan inilah juga menjadi pendapat ulama’ Mazhab Hanafi dan Maliki. Mereka yang mengatakan hukum beristibra’ itu wajib berdalilkan dengan hadis ad-Daraquthni yang bermaksud : “Bersihkanlah kemaluan kamu daripada air kencing kerana kebanyakan azab kubur berpunca daripadanya.”

Cara istibra’ bagi lelaki dengan meletakan ibu jari di atas kemaluan dan jari hantu di bawah kemaluan kemudian diurut dari pangkal hingga ke hujung sambil berdehem dengan tujuan semua baki najis dapat keluar manakala bagi wanita memadai berdehem 3 kali untuk memastikan najis keluar dengan sempurna.

Sehubungan ini, semua mazhab bersetuju mengatakan seseorang yang berhadas jika kuat sangkaannya bahawa hadasnya ada yang masih belum habis dan berhenti keluar maka tidak sah wuduknya tanapa beristibra’. Ini bersabdakan kepada kata sepakat para ulama dalam menentukan bahawa suatu hukum itu boleh dibina bersandarkan sangkaan kuat.

Hadis ini disokong dengan kenyataan bahawa jika seseorang itu menyangka atau merasa yakin bahawa mengikut kebiasaannya, jika dia tidak beristibra’ nescaya kan keluar sesuatu lagi daripada kemaluannya maka dia melakukan istibra’. Dalil mereka yang kedua : “Daripada Ibnu Abbas Radhiallahu anhuma dia berkata : “Nabi S.A.W. melalui salah satu tembok daripada tembok-tembok Madinah atau Mekah lalu Baginda mendengar suara dua orang manusia yang sedang diseksa di dalam kuburnya. Nabi bersabda : Dua orang sedang diseksa dan keduanya tidak diseksa kerana dosa besar.” Kemudian Baginda bersabda: “Ya, yang seorang tidak beristibra’ dengan sebersih-bersihnya daripada kencingnya dan yang seorang lagi berjalan dengan mengadu domba”. Kemudian Baginda minta diambilkan pelepah kurma yang basah lalu dibelah menjadi dua dan Baginda letakkan pada masing-masing kuburan itu satu belahan. Lalu dikatakan : ‘Wahai Rasulullah, kenapakah engkau perbuat ini?” Baginda bersabda : “Mudah-mudahan keduanya diringankan selama dua belah pelepah kurma kering atau sehinggalah ia kering.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

kencing berdiri hukumnya adalah harus atau makruh mengikut perbezaan ulamak di atas. Namun yang terbaik ialah kencing sambil duduk. Ini ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Munzir; “Kencing sambil duduk lebih aku sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada dalil dari Nabi s.a.w.”

10. Tidak berkata-kata atau menjawab salam

Hal di atas berdasarkan hadith Ibnu Umar radhiyallahu ‘anhuma:

أَنَّ رَجُلاً مَرَّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَبُوْلُ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ

“Bahawa ada seseorang yang melewati Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam ketika baginda sedang buang air kecil, orang itu mengucapkan salam kepadanya, namun baginda tidak menjawabnya.”
(HR. Jama’ah selain Bukhari)

PENUTUP

Doa.

Ya Allah terimalah amalan kami ini sebagai amalan soleh, jika ia berpahala, kami hadiahkan pahalanya kepada ibu dan ayah kami, suami atau isteri kami, juga anak-anak kami, ahli keluarga kami, jiran tetangga kami, murid-murid kami, guru-guru kami dan seluruh muslimin dan muslimat. Amin

 

Sekian wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum wrt

Ustazah Dr. Saharizah binti Mohamad Salleh