Ahad, 16 Oktober 2016

Remaja dan pemuda dalam al-Quran dan Hadis

  Di dalam al-Quran banyak terdapat ayat-ayat yang mengkisahkan tentang peranan remaja atau pemuda dan perjuangan mereka. Antaranya menceritakan tentang kisah pemuda yang lari ke gua kerana hendak menyelamatkan akidah mereka dari kekejaman raja yang zalim. Firman Allah yang bermaksud;

“(Ingatlah) ketika pemuda-pemuda itu berlindung di dalam  gua, lalu mereka berdoa:”ya  Tuhan kami! berikanlah kami rahmat dari sisi-Mu dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus bagi dalam urusan kami. “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) kisah mereka dengan sebenar-benarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda  yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka”
                                                                                               (al-Kahfi,18:10-13)

    Ayat di atas menerangkan tentang pemuda Ashabul Kahfi, yang teguh iman mereka sehingga sanggup melarikan diri dan tinggal di gua semata-mata ingin menyelamatkan akidah mereka, mereka tidak terpengaruh dengan desakan dan ancaman oleh pemerintah ketika itu. Firman Allah yang bermaksud;

 "Maka tidak ada yang beriman kepada Musa, melainkan pemuda-pemuda dari kaumnya (Musa) dalam keadaan takut bahwa Fir'aun dan pemuka-pemuka kaumnya akan menyiksa mereka. Sesungguhnya Fir'aun itu berbuat sewenang-wenang di muka bumi. dan Sesungguhnya Dia Termasuk orang-orang yang melampaui batas. "
                                                                                      (Yunus,10:83)


     Ayat ini pula menyatakan tiada orang dewasa atau orang tua yang beriman dengan Nabi Musa as kecuali para pemuda walaupun dalam keadaan takut kepada Firaun yang diketahui tahap kezalimannya.

      Dalam Tafsir Ibn Katsir() menyebut bahawa majoriti orang-orang yang menerima baik seruan nabi adalah kalangan muda. Mereka di antaranya adalah sahabat Abu Bakar yang masuk Islam pada Usia 38 tahun, sahabat Umar masuk Islam pada umur 28 tahun dan Sayyidina Ali yang masuk Islam kurang dari umur 10 tahun dan masih ramai lagi yang berumur 12,13,14 dan 15 tahun, mereka masih remaja. Firman Allah yang bermaksud;



‘Mereka (yang lain) berkata, “ kami mendengar ada seorang pemuda, yang mencela berhala-berhala ini, namanya Ibrahim”

(al-Anbiya’,21:60)

“ Wahai anakku, laksanakanlah solat, suruhlah (manusia) berbuat yang makruf  dan cegahlah (mereka) daripada  yang mungkar dan bersabarlah atas apa yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk yang penting”
                                                                                                  (Lukman,31:17)

      Demikian juga kisah Nabi Ibrahim yang masih muda sudah berani menghancurkan berhala di sekitar Kaabah hanya kerana keimanannya kepada Allah Tuhan Yang Esa. Baginda sanggup dibakar hidup-hidup.  Allah juga menyebut tentang wasiat Lukman Al-Hakim kepada anaknya supaya tidak menyengutukan Allah, menyedarkan bahawa Allah SWT Maha Mengetahui segala-galanya, mendirikan solat, tidak merasa angkuh dan sentiasa bersederhana dalam tingkah laku.Sabda Rasulullah SAW pula yang bermaksud:

“Tujuh golongan manusia yang mendapat perlindungan arasy daripada Allah di akhirat kelak, yang mana pada hari itu tidak ada sebarang lindungan selain daripada lindungan tersebut. Antara golongan tersebut ialah pemuda yang sepanjang umurnya sentiasa bertumpu ke masjid’
                      (al-Bukhari:1357 dan Muslim:1031)

Hadis di atas telah memberi pengiktirafan kepada para pemuda dan remaja yang menjadikan masjid sebagai tempat  tumpuan bukan pusat hiburan, jalanan, pesta keramaian dan lain-lain. Remaja ini sudah pasti akan memperlihatkan watak yang lebih jelas dan menjadi model serta sebagai pengantara masjid dan masyarakat.Sabda Rasululah s.a.w lagi yang bermaksud:

 “Sesungguhnya Allah sangat-sangat kagum terhadap pemuda (remaja) yang tidak didapati pada dirinya keruntuhan moral dan akhlak (shabwah)”
                                                                                            (ash-Shahiihah: 2843)

Kata shabwah yang dikaitkan dengan pemuda pada hadis di atas, dijelaskan dalam kitab Faidhul Qadir (2/263) sebagai pemuda yang tidak memperturutkan hawa nafsunya. Sebaliknya, dia membiasakan diri melakukan kebaikan dan berusaha keras menjauhi keburukan. Pemuda yang sentiasa ke masjid akan menjauhkan diri mereka dari gejala sosial serta mengajak pemuda lain membuat yang makruf .

Pada zaman Rasulullah SAW, remaja ketika itu sangat gigih dan beriman, golongan merekalah yang mencatat sejarah keagungan  Islam. Mereka merupakan pembawa panji-panji Islam yang sentiasa tersebar dan berkibar dalam satu kawasan geografi yang begitu luas. Remaja ketika itu ditunjangi oleh Abdullah bin Mas’ud, Abd Rahman bin Auf, Said bin Zaid, Saidina Ali, Usamah bin Zaid  dan ramai lagi.

Sebagai mengambil beberapa contoh Saidina Ali sanggup menggantikan tempat tidur Rasulullah s.a.w semasa baginda dikepong oleh pemuda-pemuda Quraish sedangkan beliau tahu nyawanya terancam. Manakala Usamah bin Zaid dalam usia remaja beliau telah menerima amanah yang besar daripada Saidina Abu bakar r.a untuk memimpin satu bala tentera ke medan jihad sebagai pengganti ayahnya.Rasululullah s.a.w bersabda:

”Aku berpesan kepadamu supaya berbuat baik kepada golongan pemuda, sesungguhnya hati mereka paling lembut. Sesungguhnya Allah telah mengutusku membawa agama Hanif ini, lalu para pemuda bergabung denganku dan orang-orang tua menentangku”
(Riwayat Bukhari)
Allah dan Rasulullah SAW meletakkan pemuda dikedudukan yang begitu istimewa, sampai Rasulullah SAW mewasiatkan untuk berbuat baik pada golongan kaum belia ini kerana hati mereka lembut.   Para pemudalah yang pertama sekali bergabung dengan  Rasulullah s.a.w. mengusung agama yang hanif (Islam) sedangkan orang tua menentang baginda. Rasulullah saw bersabda dalam hadits Abdullah bin Mas'ud r.a bermaksud;


"Tidak akan beranjak kaki anak Adam pada Hari Kiamat dari sisi Rabbnya sampai dia ditanya tentang 5 (perkara) : Tentang umurnya dimana dia habiskan, tentang masa mudanya dimana dia usangkan, tentang hartanya dari mana dia mendapatkannya dan kemana dia keluarkan dan tentang apa yang telah dia amalkan dari ilmunya".

(at-Tirmidzi : 2416) 


Ingatkah saat Zaid bin Tsabit, seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang bergabung dengan Islam saat usianya 11 tahun ketika terjadi perang Badar. Beliau seorang sahabat belia yang menghafal ayat dan surat yang diturunkan Allah kepada Rasulullah. Beliau adalah pemuda yang cerdas sehingga Rasulullah mengangkatnya menjadi pembantu Nabi untuk menulis wahyu yang turun dan menulis surat kepada orang Yahudi, meskipun dia masih belia.
Mush’ab bin Umair, seorang remaja Quraisy, pemuda tampan, anak seorang bangsawan yang gagah berani. Meskipun berkecukupan, beliau lebih memilih meninggalkan gemerlapnya dunia karena Mush’ab bin Umair lebih mencintai Allah SWT dan Rasulullah s.a.w dari dunia dan seisinya. Beliau juga seorang pemuda yang menjadi Duta Pertama Islam di Madinah dan berhasil membangun masyarakat Islam di sana. Malah menjadi seorang guru pertama di Madinah dan itu dilakukan saat usianya yang masih muda. 
Kisah Abdullah bin Mas’ud, seorang sahabat yang terkenal sangat mahir dengan al-Quran, memeluk Islam berusia kira-kira 18 tahun. Beliau dengan beraninya memperdengarkan bacaan al-Quran buat julung kalinya di khalayak kafir Quraish sehingga beliau pulang dengan mukanya yang luka dan berdarah (Zuraimi Ismail dalam Majalah Q & A,2013).
     Demikian juga, kisah tentang Usamah bin Zaid, panglima perang termuda kesayangan Rasulullah s.a.w. Ketika itu usianya belum pun mencecah dua puluh tahun, tetapi mendapat kepercayaan yang sangat tinggi daripada Baginda.

    Malah terdapat ramai lagi para sahabat Nabi Muhammad saw tika diangkat menjadi Rasul tatkala baginda berumur 40 tahun. Pengikut-pengikut baginda pada generasi pertama kebanyakannya juga daripada kalangan pemuda, bahkan ada yang masih kecil. Usia para pemuda Islam yang dibina pertama kali oleh Rasulullah saw di Daarul Arqaam pada tahap pembinaan, adalah sebagai berikut: yang paling muda adalah 8 tahun, iaitu Ali bin Abi Thalib dan Az-Zubair bin Al-Awwam, Thalhah bin Ubaidillah, 11 tahun, Al Arqaam bin Abil Arqaam 12 tahun, Abdullah bin Mazh’un berusia 17 tahun, Ja’far bin Abi Thalib 18 tahun, Qudaamah bin Abi Mazh’un berusia 19 tahun, Said bin Zaid dan Shuhaib Ar Rumi berusia di bawah 20 tahun, ‘Aamir bin Fahirah 23 tahun, Mush’ab bin ‘Umair dan Al Miqdad bin al Aswad berusia 24 tahun, Abdullah bin al Jahsy 25 tahun, Umar bin al Khathab 26 tahun, Abu Ubaidah Ibnu Jarrah dan ‘Utbah bin Rabi’ah, ‘Amir bin Rabiah, Nu’aim bin Abdillah, ‘ Usman bin Mazh’un, Abu Salamah, Abdurrahman bin Auf di mana kesemuanya sekitar 30 tahun, Ammar bin Yasir diantara 30-40 tahun, Abu Bakar Ash Shiddiq 37 tahun. Hamzah bin Abdul Mutalib 42 tahun dan ‘Ubaidah bin Al Harith yang paling tua diantara mereka iaitu 50 tahun.


Demikianlah hebatnya cara dakwah Rasulullah s.a.w yang mampu membina jiwa-jiwa yang sanggup dikorbankan dengan hanya memiliki sebuah rumah yang serba kekurangan iaitu Daarul Arqam, bukanlah masjid yang besar lagi mewah. Pembentukan akidah yang mendalam kepada setiap pemuda, maka akan melahirkan jiwa-jiwa yang sanggup berdepan dengan pelbagai masalah. Inilah peranan dan tanggunjawab para da’i, imam, pemimpin, pengurus, pentadbir, ahli jawatankuasa dan pihak masjid dalam mengembalikan hak Allah dan Rasul yang telah diabaikan selama ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan