Sabtu, 13 April 2013

PENYUCIAN HATI (SIRI 1) Dipetik dari buku karangan Amru Khalid.

TAWAKKAL

Takrif tawakkal mengikut tafsir ulama terbahagi kepada 4;


1.     Kepasrahan hati di hadapan Allah SWT seperti pasrahnya mayat di hadapan orang yang memandikannya. Bila kita terbujur kaku, kita tidak mampu untuk menjerit kesakitan, kita tidak mampu menyatakan kepedihan, bila mana kita dimandikan dengan kasar dan keras. Kita tidak mampu menghalang, bila mana badan kita dibolak balikkan, diangkat, digosok dengan kasar dan bengis. Kita cuma mampu, buatlah se mau kamu terhadap tubuhku, kerana aku tak mampu untuk bertindak sesuatu. Inilah yang dikatakan tawakkal kepada Allah SWT, Ya Allah, Kau buatlah se mau Mu terhadapku kerana aku tak berdaya menghalang kuasa Mu, aku tak mampu menolak ujian Mu, aku lemah untuk menahan kehendak Mu. Aku reda dan aku pasrah kepada Mu.

2.     Biarkan Allah SWT melakukan sekehendak Nya terhadap kita. Bagaimana kedudukan kita bila berhadapan dengan ketetapan Allah, bagaimana reaksi kita bila mana musibah menimpa kita, bagaimana perlakuan kita apabila kehendak Allah menyalahi kehendak kita. Sebaiknya berkatalah kita:" Ya Allah, apa yang datang dari Mu, aku senang menerimanya, aku gembira dengan ketetapan Mu, aku bahagia dengan musibah Mu, aku bersyukur dengan ujian Mu, aku redha dengan ketentuan Mu, kerana aku yakin Engkau tidak akan menelantarkan aku ke dalam kemudharatan, aku yakin Engkau tidak akan menzalimi aku, aku yakin dengan sifat Engkau yang  Maha Pengasih dan Maha Penyayang, aku yakin dengan Sifat Maha Mengetahui Mu. Adakah kita pernah  bertawakkal sedemikian?

3.     Kita hanya menyempurnakan "sebab" dengan anggota badan dan memutuskan "sebab" dari hati kita. Untuk mendapat tawakkal, kita mesti memutuskan hubungan antara anggota badan dan hati kita. Tangan dan kaki mesti menyempurnakan sebab sedangkan hati mesti melepaskan diri dari sebab. Contoh: seseorang yang ingin mendapatkan pekerjaan akan berusaha dengan berbagai cara, menyiapkan diri sebaik mungkin. Ini adalah kerja anggota badan. Kerja hati pula adalah pasrah sepenuh jiwa kepada Allah tanpa berhubung sedikitpun dengan anggota badan, jika berhubung dengan anggota badan, maka tidak dikira tawakkalnya, misalnya; ia berkata " aku dah bersiap sedia untuk ditemuduga, aku rasa, aku dapat kerja ini", atau "tiada siapa yang mampu menandingi kehebatan aku dalam temuduga tadi". Hati tidak bergantung kepada Allah kerana yakin dengan tindakan tubuh badannya.

Sudah tiada pasrah lagi, sebagaimana pasrahnya mayat ketika hendak dimandikan, tiada lagi tawakkal, apabila dihubungkan dengan perbuatan anggota tubuh badan. Maka asingkan hati dan tubuh badan untuk mendapat tawakkal yang sebenarnya.

4.    Kita rela sepenuh hati Allah SWT menjadi wakil kita. Pernahkah anda melantik peguam sebagai wakil anda? adakah anda berserah kepadanya untuk mengambil tindakan yang sewajarnya buat anda. Pernahkah pula anda melantik Allah SWT menjadi wakil anda dalam setiap tindakan anda. Adakah anda berserah kepada Allah SWT untuk setiap tindakan anda. Bandingkan..

Benarkah Allah SWT menjadi sandaran kita disetiap musibah yang menimpa, Allah kah sandaran kita disetiap tindakan, perlakuan dan pilihan kita. Bukankah ketika musibah, kita sandarkan tindakan dan harapan kita kepada manusia, bukankah ketika bertindak dan membuat keputusan, kita juga sandarkan kepada manusia, apa akan jadi jika  hati kita ini kita sandarkan kepada manusia, apa akan jadi pada akidah kita jika kita sandarkan harapan kepada manusia, sedangkan tawakkal itu, mesti dipisahkan hati dari anggota tubuh badannya supaya tidak berlaku syirik di hati kita.

Contoh Allah menjadi tempat bersandar: "Aku rela Allah menjadi tempat bersandarku, aku serahkan semua urusanku kepada Mu, Ya Allah, Ya Tuhan, Kau buatlah se mau  Mu kepada ku"

Contoh manusia menjadi tempat bersandar: sesiapa yang memakan wang haram, dia tidak bertawakkal kepada Allah, kerana dia tidak percaya Allah memberi rezeki halal baginya.

Sesiapa yang menangis saat ajal kerana memikirkan anak-anaknya yang ditinggalkan, dia tidak bertawakkal kerana tidak percaya Allah menjadi al-Wakil baginya. 

Yakinlah, Allah itu al-Wakil bagi kita, Allah tidak membiarkan kita terlantar dalam kemudaratan kerana kita  telah melantiknya sebagai wakil kita, pasti Allah adalah sebaik-baik wakil buat kita. 

Abu Bakar r.a ditanya oleh para sahabat ketika berhijrah bersama Rasulullah SAW. "Wahai Abu Bakar, apakah yang engkau tinggalkan untuk isterimu, ayahmu dan anak-anakmu. Abu Bakar menjawab: aku tinggalkan mereka kepada Allah dan Rasul Nya." Betapa tingginya tawakkal Saidina Abu Bakar As-Sidiq.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: ' kalau kamu bertawakkal kepada allah dengan sebenar-benar tawakkal, maka Allah SWT akan memberi rezeki kamu seperti Dia memberi rezeki burung yang keluar pagi dalam keadaan lapar dan kembali petang dalam keadaan kenyang' ( at-tarmizi, ibnu majah, Imam Ahmad)

Hanya orang yang bertawakkal seperti ini akan termasuk dalam golongan 70,000 orang yang masuk syurga dengan tidak melihat neraka dan tanpa hisab. Bayangkan hanya 70,000 dari sekian jumlah manusia sejak Adam a.s hingga hari kiamat. Terlalu sedikit yang layak dipilih oleh Allah, selainnya akan melalui pelbagai tapisan, seksaan, dan timbangan untuk sampai ke syurga atau ke neraka.