Rabu, 28 Ogos 2024

 SOLAT SUNAT TASBIH

Dalilnya

Solat tasbih adalah antara solat sunat yang digalakkan untuk dilakukan walaupun sekali seumur hidup. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas RA. Rasulullah SAW bersabda :

يَا عَبَّاسُ يَا عَمَّاهُ أَلَا أُعْطِيكَ أَلَا أَمْنَحُكَ أَلَا أَحْبُوكَ أَلَا أَفْعَلُ لَكَ عَشْرَ خِصَالٍ إِذَا أَنْتَ فَعَلْتَ ذَلِكَ غَفَرَ اللَّهُ لَكَ ذَنْبَكَ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ وَقَدِيمَهُ وَحَدِيثَهُ وَخَطَأَهُ وَعَمْدَهُ وَصَغِيرَهُ وَكَبِيرَهُ وَسِرَّهُ وَعَلَانِيَتَهُ عَشْرُ خِصَالٍ أَنْ تُصَلِّيَ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ تَقْرَأُ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَسُورَةٍ فَإِذَا فَرَغْتَ مِنْ الْقِرَاءَةِ فِي أَوَّلِ رَكْعَةٍ قُلْتَ وَأَنْتَ قَائِمٌ سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ خَمْسَ عَشْرَةَ مَرَّةً ثُمَّ تَرْكَعُ فَتَقُولُ وَأَنْتَ رَاكِعٌ عَشْرًا ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ مِنْ الرُّكُوعِ فَتَقُولُهَا عَشْرًا ثُمَّ تَهْوِي سَاجِدًا فَتَقُولُهَا وَأَنْتَ سَاجِدٌ عَشْرًا ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ مِنْ السُّجُودِ فَتَقُولُهَا عَشْرًا ثُمَّ تَسْجُدُ فَتَقُولُهَا عَشْرًا ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ مِنْ السُّجُودِ فَتَقُولُهَا عَشْرًا فَذَلِكَ خَمْسَةٌ وَسَبْعُونَ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ تَفْعَلُ فِي أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ إِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ تُصَلِّيَهَا فِي كُلِّ يَوْمٍ مَرَّةً فَافْعَلْ فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَفِي كُلِّ جُمُعَةٍ مَرَّةً فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي كُلِّ شَهْرٍ مَرَّةً فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي عُمُرِكَ مَرَّةً

Maksudnya : “Wahai bapa saudaraku Abbas, Mahukah aku berikan hadiah? Mahukah aku kurniakan kamu satu pemberian? Mahukah aku memberkati kamu? Mahukah aku lakukan sesuatu untukmu 10 perkara yang mana jika kamu lakukan, Allah akan mengampunkan dosa kamu yang pertama dan terakhir, yang terdahulu dan yang terkemudian,yang sengaja dan yang tidak sengaja serta dosa yang rahsia dan yang dilakukan secara terang-terangan. Sepuluh perkara tersebut adalah kamu solat sebanyak 4 rakaat. Kamu baca pada setiap rakaat al-Fatihah dan surah. Apabila kamu sudah selesai membacanya di rakaat pertama, dan ketika itu kamu masih berdiri maka ucapkanlah : Subhanallah Walhamdulillah Walaa Ilaha Illallah Wallahuakbar 15 kali kemudian kamu ruku’ dan bacalah (zikir tersebut) sebanyak 10 kali. Kemudian kamu bangkit dari ruku’ dan bacalah sebanyak 10 kali. Kemudian kamu sujud dan bacalah 10 kali. Kemudian kamu bangit dari sujud dan bacalah sebanyak 10 kali. Kemudian kamu sujud semula dan bacalah sebanyak 10 kali. Kemudian kamu bangkit dari sujud dan bacalah ia sebanyak 10 kali. Kesemuanya adalah 75 kali yang kamu lakukan dalam setiap rakaat. Kalau kamu mampu untuk menunaikannya maka lakukanlah sehari sekali. Jika tidak mampu maka lakukan pada setiap hari Jumaat. Sekiranya tidak mampu juga, maka lakukanlah sebulan sekali. Jika tidak mempu, lakukanlah setahun sekali.”  Riwayat Abu Daud (1105),Ibnu Majah (1377) dan al-Tirmizi (479)

Secara ringkas, para ulama menjelaskan bahawa solat tasbih adalah antara solat sunat yang digalakkan untuk dilakukan

Solat sunat tasbih diberikan nama sedemikian kerana diucapkan tasbih sebanyak 300 tasbih semasa mengerjakannya, yang mana setiap 1 rakaat tasbihnya 75 kali. Di mana, solat sunat tasbih dianjurkan melakukannya pada tiap-tiap malam. Tujuan solat sunat tasbih dilakukan untuk memohon keampunan daripada Allah SWT daripada dosa yang diketahui dan tidak sedari, yang baru ataupun sudah lama.

Waktu dan Rakaatnya

Solat ini boleh dikerjakan pada waktu siang atau malam selain dari waktu tahrim (waktu yang diharamkan solat sunat).

· Dianjurkan mengerjakan solat sunat ini setiap malam dan sekiranya tidak mampu, dikurangkan kepada sekali seminggu.

· Sekiranya masih tidak mampu, dikurangkan kepada sekali sebulan.

· Dan sekiranya masih tidak sanggup sekali sebulan, memadailah melakukannya sekali dalam setahun.

· Atau setidak-tidaknya sekali dalam seumur hidup.

 

Jumlah rakaat solat sunat tasbih

1. Sekiranya dikerjakan pada waktu siang hari, hendaklah dikerjakan sebanyak 4 rakaat dengan 1 salam.

2. Sekiranya dikerjakan pada malam hari, hendaklah dikerjakan sebanyak 4 rakaat dengan 2 salam.

 

CARA SOLAT SUNAT TASBIH

Cara Solat Sunat Tasbih dari segi pergerakan adalah sama seperti solat-solat 4 rakaat yang lain.

Niat Solat Tasbih

1. Lafaz niat solat sunat tasbih jika dikerjakan di siang hari (satu salam) ialah:

 

Sahaja aku solat sunat tasbih empat rakaat kerana Allah Taala.

2. Lafaz niat solat sunat tasbih jika dikerjakan di malam hari (dua salam) ialah:

 

Sahaja aku solat sunat tasbih dua rakaat kerana Allah Taala.

Disunatkan melakukan melakukan Solat Tasbih ini semasa Qiamullail dan dijadikan salah satu ibadah mengejar Lailatul Qadar.

Bacaan tasbih dalam solat

Bacaan tasbih yang dibaca di dalam solat sunat ini adalah:

Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar. Tidak ada daya dan tidak ada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.

Cara Solat Tasbih

Cara solat tasbih sama sahaja dengan solat fardu cuma ditambah tasbih seperti yang di atas dengan jumlah tasbih yang dinyatakan di bawah. Bagi rakaat terakhir selepas bacaan tahiyatul Akhir dan sebelum salam, bacalah tasbih 10 kali seperti mana tasbih ketika duduk istirahat.

1. Berdiri tegak dengan mengadap kiblat.
2. Takbiratul Ihram serentak dengan niat di dalam hati.
3. Kemudian letakkan tangan di atas perut dan mula membaca Doa Iftitah.
4. Seterusnya bacalah Surah al-Fatihah.
5. Kemudian, bacalah Surah dari Al-Quran.
6. Selepas itu, bertasbihlah sebanyak 15 kali.
7. Teruskan dengan rukuk dan kemudian, bertasbihlah sebanyak 10 kali.
8. Kemudian iktidal dan selepas itu, bacalah tasbih sebanyak 10 kali.
9. Kemudian sujud dan dibacakan juga tasbih sebanyak 10 kali.
10. Seterusnya duduk diantara dua sujud dan kemudian, bacakan tasbih sebanyak 10 kali.
11. Seterusnya lakukan sujud kedua dan kemudian itu, dibacakan juga tasbih sebanyak 10 kali selepas sujud kedua.
12. Duduk istirahat sebelum bangun untuk rakaat kedua dan semasa istirahat, bertasbih sebanyak 10 kali.

Doa selepas Salam


Hukum Mengerjakan Solat Sunat Tasbih

Dari kalangan Mutaakhirin ada yang turut melemahkan hadis yang telah disebutkan.Antaranya Ibn al-Arabi al-Maliki,Ibnu Taimiyyah dan al-Mizzi. Ibnu Jauzi pergi lebih jauh dari itu. Beliau mengatakan bahawa hadis berkenaan solat Tasbih adalah palsu. Ada juga para ulama yang mensahihkan dan menghasankan hadis berkaitan solat Tasbih seperti Abu Musa al-Madini, Ibn al-Salah, al-‘Alai al-Sayuti dan lain-lain.

Ibnu al-Salah menyatakan di dalam fatwanya ketika ditanya tentang solat Tasbih :

“Ya, ,mereka akan mendapat pahala jika ikhlas melakukannya. Solat tersebut adalah sunat bukannya Bidaah.Ianya diriwayatkan daripada Rasulullah saw. Ia adalah hadis yang hasan yang dijadikan amalan dan pegangan khususnya berkaitan permasalahan ibadah dan kelebihan (fadhail)”

Rujuk Fatawa wa Masail Ibn al-Salah (2/235)

Bahkan Sheikh al-Albani menyatakan bahawa hadis berkenaan adalah hasan.Imam al-Nawawi mempunyai dua pandangan yang berbeza. Di dalam kitab al-Azkar, beliau mensahihkan hadis tersebut. Manakala di dalam kitab al-Majmu beliau mendaifkan hadis tersebut. Kata beliau di dalam al-Majmu’:

“Di dalam keharusan (solat Tasbih) tersebut ada pertikaian. Kerana hadis yang ada adalah hadis yang daif (lemah). Juga di dalam solat sunat Tasbih berbeza dengan solat yang biasa dilakukan. Maka seharusnya tidak dilakukan dan hadis yang ada tidak thabit.”

Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab ( 4/54)

Maka dari sini, dapat kita lihat perbezaan para ulama dalam mensahihkan dan mendaifkan hadis tersebut. Semestinya, perbezaan di dalam menghukum terhadap hadis menatijahkan perbezaan berkenaan hukum melakukan solat Tasbih di kalangan fuqaha.Bagi kumpulan yang melemahkan hadis tersebut maka mereka menyatakan bahawa ada bahawa solat Tasbih tidak sunat. Bagi yang mensahihkan dan menghasankan hadis tersebut maka mereka melihat akan keharusan solat tersebut. Berikut kami naqalkan pandangan ulama dari empat mazhab berkenaan solat Tasbih :

· Kata Ibnu Abidin yang bermazhab Hanafi : “Hadis berkenaan solat Tasbih adalah hadis hasan kerana banyak jalur riwayatnya. Dan sesiapa yang mendakwa bahawa hadis berkenaan palsu maka dia terkeliru. Di dalamnya juga terdapat pahala yang tidak terhenti. Benarlah kata para Muhaqqiqin bahawa tiada yang mendengar tentang pahala solat Tasbih dan tidak ada yang meninggalkannya melainkan orang yang memperlekehkan agama dan mengatakan ianya tidak sunat kerana berbeza dengan solat yang biasa dilakukan. Hadis apabila telah sampai darjat hasan maka ianya sabit.”

Rujuk Hasyiah Ibnu Abidin (2/27)

· Kata al-Sowi yang bermazhab Maliki : “ Dan sifat solat Tasbih yang Nabi saw ajarkan kepada pak ciknya, Abbas dijadikan sebagai wirid harian (amalan) oleh para solihin. Sesiapa yang melakukannya sekali seumur hidup maka dia akan masuk syurga tanpa hisab.”

Hasyiah al-Sowi ‘ala Syarh al-saghir (11/332)

· Al-Khatib al-Syarbini yang bermazhab Syafie menyatakan :” Dan apa yang dinyatakan (maka dapat difahami) bahawa ianya adalah sunat yang muktamad seperti mana yang disebutkan oleh Ibnu al-Salah dan lainnya.”

Rujuk Mughni al-Muhtaj (1/224)

· Imam Ahmad dan para ulama bermazhab Hanbali menyatakan bahawa solat sunat tidak sunat. Namun Ibnu Qudamah, seorang tokoh besar di dalam mazhab Hanbali menyatakan bahawa ianya adalah harus. Beliau menyebut :

 “Imam Ahmad tidak mensahihkan hadis berkenaan solat Tasbih bahkan beliau tidak melihat bahawa ianya harus. Akan tetapi jika dia ingin lakukan maka tidak mengapa kerana solat-solat sunat dan kelebihan amalan tidak disyaratkan padanya hadis sohih.”

Rujuk al-Mughni (3/324)

Kesimpulannya, berdasarkan perbahasan di atas didapati bahawa terdapat khilaf ulama mengenai kesunatan solat tasbih berpunca daripada perbezaan pendapat mengenai status hadis solat tasbih. Walau bgaimnpun jumhur ulama berpendapat akan kesunatannya. Oleh yg demikian kami menasihatkan dalam isu ini agar kita berlapang dada dan tidak menjadikan ia sebagai ruang untuk bid'ah mmbid'ah antara satu sama lain. Kaedah menyebut,"tiada bid'ah membid'ah dalam perkara khilaf (yang muktabar)".

Semoga beramal hendaknya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan