Jumaat, 13 Disember 2019

TANDA-TANDA ALLAH KASIH KEPADA HAMBA-NYA

Bismillah ar-Rahman ar-Rahim
Assalamualaikum WRT

Antara sifat Allah SWT ialah ar-Rahman dan ar-Rahim, Allah Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Terdapat banyak bukti Allah bersifat demikian, sifat ini Maha Sempurna, bersifat jitu jauh sekali dari sebarang kekurangan dan kecacatan. Sifat ini dapat dibuktikan melalui saintifik, kebijaksanaan akal, kematangan emosi dan keimanan yang tinggi. Berdasarkan buku Akidah 1 Ahli Sunnah wal-Jamaah oleh Prof Ahmad Izzuddin al-Bayanuni cetakan JAKIM, saya mengulas dengan dengan ilmu untuk digarafkan dalam kehidupan kita, umat akhir zaman.

Antara tanda Allah kasihkan hamba-nya ialah

1. Allah  memberi taufiq dan hidayah ke arah mentaati perintah-Nya serta memelihara      hamba-nya dari melakukan maksiat dan dosa.

   Dari Hadis Qudsi:

عَنْ أَبِـيْ هُرَيْرَةَ  رَضِيَ اللهُ  عَنْهُ ، قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللّـهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : «إِنَّ اللهَ  تَعَالَـى قَالَ : مَنْ عَادَى لِـيْ وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْـحَرْبِ ، وَمَا تَقَرَّبَ عَبْدِيْ بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَـيَّ مِمَّـا افْتَرَضْتُهُ عَلَيْهِ ، وَمَا يَزَالُ عَبْدِيْ يَتَقَرَّبُ إِلَـيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِيْ يَسْمَعُ بِهِ ، وَبَصَرَهُ الَّذِيْ يُبْصِرُ بِهِ ، وَيَدَهُ الَّتِيْ يَبْطِشُ بِهَا ، وَرِجْلَهُ الَّتِيْ يَمْشِيْ بِهَا ، وَإِنْ سَأَلَنِيْ لَأُعْطِيَنَّهُ ، وَلَئِنِ اسْتَعَاذَنِـيْ لَأُعِيْذَنَّهُ».
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu ia berkata, Rasûlullâh Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ”Sesungguhnya Allâh Azza wa Jalla berfirman, ’Barangsiapa memusuhi wali-Ku, sungguh Aku mengumumkan perang kepadanya. Tidaklah hamba-Ku mendekat kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada hal-hal yang Aku wajibkan kepadanya. Hamba-Ku tidak henti-hentinya mendekat kepada-Ku dengan ibadah-ibadah sunnah hingga Aku mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, Aku menjadi pendengarannya yang ia gunakan untuk mendengar, menjadi penglihatannya yang ia gunakan untuk melihat, menjadi tangannya yang ia gunakan untuk berbuat, dan menjadi kakinya yang ia gunakan untuk berjalan. Jika ia meminta kepada-Ku, Aku pasti memberinya. Dan jika ia meminta perlindungan kepadaku, Aku pasti melindunginya.’'
Berdasarkan hadis ini, setiap umat Islam yang melaksanakan semua perkara fardu yang meliputi akidah, ibadat, sirah dan akhlak dengan sempurna diikuti pula dengan amalan-amalan sunat yang banyak sehingga melahirkan rasa cinta Allah kepadanya, mereka inilah yang dikategorikan sebagai wali Allah. Hasil dari kecintaan ini, Allah memelihara pendengarannya, penglihatannya, tangan dan kaki dari berbuat maksiat dan dosa. Malah Allah melindungi pada setiap masa serta memakbulkan segala permohonannya. Seterusnya yang paling hebat cinta Allah SWT kepada hamba-Nya ini dengan mengisytiharkan perang ke atas sesiapa sahaja yang memusuhi wali-Nya.

Maha hebat cinta Allah kepada hamba-hamba-Nya. Marilah kita menuntut ilmu agar menjadi kuat untuk menggamalkan amalan-amalan sunat, marilah kita berjemaah untuk kuat beribadat dengan sempurna dan tepat demi mencari cinta Allah.

2. Allah SWT memelihara hamba-nya dari mencintai dunia.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila Allah SWT kasihkan seseorang hamba. Dia akan memeliharanya dari dikuasi oleh dunia sebagaimana kamu menjaga lukamu daripada terkena air' (Riwayat at-Tirmizi)

Hadis ini dijelas lagi dengan Sabda Rasulullah SAW dalam hadis berikut

 عَنْ أَبِي الْعَبَّاسِ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ السَّاعِدِيّ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إلَى النَّبِيِّ فَقَالَ: يَا رَسُولَ الله  دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ إذَا عَمِلْتُهُ أَحَبَّنِي اللَّهُ وَأَحَبَّنِي النَّاسُ؛ فَقَالَ: “ازْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبُّك اللَّهُ، وَازْهَدْ فِيمَا عِنْدَ النَّاسِ يُحِبُّك النَّاسُ
 (حديث حسن، رواه ابن ماجه وغيره بأسانيد حسنة)
Daripada Abu al-‘Abbas Sahlu ibn Sa’ad al-Sa’idi Radhiallahu’anhu beliau berkata: Seorang lelaki telah datang menemui Nabi (Sallallahu’alaihiwasallam) lalu berkata: Wahai Rasulullah! tunjukkan aku suatu amalan yang apabila aku lakukannya, aku dikasihi oleh Allah dan dikasihi oleh manusia. Baginda bersabda: Zuhudlah engkau terhadap dunia, nescaya Allah kasihkan engkau dan zuhudlah terhadap apa yang ada pada manusia, nescaya manusia akan mengasihimu.
(Riwayat lbnu Majah dan yang lain dengan sanad-sanad yang baik)

Merujuk kepada hadis ini, Allah SWT akan memelihara hamba yang dicintai-Nya dari dikuasai oleh dunia dan isinya iaitu pangkat, harta, emas, perak, wang, pengaruh, anak penak, isteri, rumah dan perniagaan yang menguntungkan. Mereka sibuk menguruskan hal-hal keduniaan sehingga kebanyakkan masa mereka dihabiskan dengan urusan dunia sahaja. Jika dibandingkan masa untuk dunia dan masa untuk akhirat di dapati terlalu sedikitnya masa untuk akhirat. Orang yang sebegini mereka tidak tergolong dalam golongan hamba yang dicintai oleh Allah SWT. Cuba kita renongkan masa-masa yang dihabiskan oleh para sahaba, tabik tabiin dan salafussoleh, pasti mereka jauh banyak menggunakan masa untuk bertemu kekasih mereka iaitu Allah SWT, sentiasa melaksanakan amalan-amalan yang mendekatkan diri dengan-Nya. Maka Allah memelihara mereka dari dikuasai dunia, dan mereka adalah para wali Allah SWT.

Bagaimanakah keadaan kita, umat alhir zaman, masihkah kita berlumba-lumba menghabiskan masa untuk merebut harta dunia, menghabiskan dengan perbuatan lagha, menghabiskan masa dengan kerja-kerja makan gaji kita sehingga kerja akhirat hanyalah rutin solat lima waktu, itupun mujur dilaksanakan, malah ada yang meninggalkan solat tersebut dengan pelbagai alasan. dunia semakin hampir kiamat, adakah kita bersedia menghadapinya dengan kerja-kerja lagha kita.

sekian, insyaAllah ada sambungan untuk tanda cinta allah seterusnya...

Ustazah Dr. Saharizah binti Mohamad Salleh
 


Ahad, 15 September 2019

Penyatuan Ummah Adalah Nikmat Dari Allah SWT


PENYATUAN UMMAH ADALAH NIKMAT DARI ALLAH

Bismillahirahmanirrahim Assalamualaikum Wa Rahmatullahi Wa Baratuh.

Menjadi naluri semula jadi manusia ingin hidup dalam aman dan harmoni, hidup saling tolong menolong dan sayang menyayangi. Atas desakan naluri inilah, kebanyakan manusia mengharapkan penyatuan ummah supaya kehendak naluri tadi dapat dipenuhi. Menyanggahi penyatuan ummah menunjukkan seseorang itu menyanggahi naluri semula jadi. Ini berlaku disebabkan beberapa faktor, antara faktornya adalah penyakit hati. Maka penyakit hati ini perlu diubat dengan siraman kedamaian dan kelembutan ayat al-Quran serta sunnah Nabi Muhammad SAW. Sayugialah pemahaman tentang penyatuan ummah mengikut al-Quran dan as-sunnah itu sangat dituntut.

Penyatuan berasal dari kata dasar satu, iaitu menyatukan dua perkara contoh penyatuan antara teori dan amali, penyatuan antara bidang sains dan kemanusiaan (Normah Karimin 1994). Manakala perkataan ummah pula masyarakat atau umat manusia, Dalam konteks ummah pada zaman Nabi Muhammad SAW, masyarakat yang mematuhi Piagam Madinah termasuk umat Islam dan bukan Islam seperti kaum Yahudi di Madinah. Ringkasnya ummah zaman Nabi ialah masyarakat yang mematuhi undang-undang Islam sama ada mereka seagama atau tidak. (Sejarah Ting. 6, Kementerian Pendidikan Malaysia,2013). Dalam konteks hari ini, penyatuan ummah itu memberi maksud menyatukan dua kumpulan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama yang sebelum ini berpisah menjadi satu dengan memenuhi syarat-syarat yang telah dipersetujui oleh kedua pihak bagi tujuan dapat meneruskan kehidupan dengan aman, harmoni, dan penuh kasih sayang.

Allah SWT yang mencipta langit dan bumi serta segala isinya telah memerintah manusia dalam firman-Nya surah Ali Imran 3:103 yang bermaksud “ Dan berpegang teguhlah kamu sekalian pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (ketika jahiliyah)  bermusuhan, lalu Allah menyatukan hatimu, sehingga dengan kurniaan-Nya kamu bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di jurang neraka, lalu Allah selamatkan kamu dari sana.Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk”.

Mafhumnya dari ayat ini menjelaskan kepada manusia khususnya orang Islam, pertama sekali berpegang teguh dengan agama Islam yang pasti akan memberi keamanan kepada semua orang tanpa mengira bangsa dan agama. Apabila umat Islam berpegang teguh, taat kepada semua perintah Allah serta menjauhi larangan, keamanan akan tercipta. Apabila orang Islam tidak berpegang kepada agama Allah, sukar sekali mendapat keharmonian kerana Islam itu datang untuk mengembalikan keharmonian. Apabila umat islam tidak berpegang kepada al-Quran dan hadis,  pasti berlaku bercerai berai sama ada keluarga, masyarakat dan negara. Kesan dari bercerai berai, sudah tentu keamanan dan kehamonian tidak dapat dikecapi oleh manusia. Oleh itu, penyatuan ummah hendaklah diterajui oleh umat Islam yang beriman dan bertakwa supaya menepati kehendak Allah SWT.

Umat Islam yang enggan menerima penyatuan ummah dengan berpegang teguh kepada agama Allah adalah kerana memiliki hati yang tidak aman dan tenteram seperti mana firman Allah dalam surah al-Baqarah 2:10 yang bermaksud;” Dalam hati mereka ada penyakit , lalu Allah menambah penyakitnya itu, dan mereka mendapat azab yang pedih kerana berdusta”. Hati yang tidak aman dan tenteram kerana mendustakan kebenaran, ragu-ragu serta tidak yakin, munafik dan tidak beriman dengan perintah Allah janganlah kamu bercerai berai.

Allah SWT telah memperingatkan umat manusia, yang pada suatu ketika dahulu kita bercerai berai, kita bermusuhan yang mengakibatkan kematian manusia dan binatang, kemusnahan rumah dan bangunan, kerosakan harta benda, anak-anak kecil dan ibu tua tanpa pembela, kekurangan makanan dan minuman serta berbagai kemusnahan yang lain. Malah Allah SWT menegaskan perbuatan "bercerai berai", tiada penyatuan ummah ini akan meletakkan umat Islam di tepi jurang neraka. Banyak negara di dunia yang sering berperang tidak dapat hidup dengan aman dan harmoni, adakah ini matlamat kehidupan manusia yang berpenyakit dalam hatinya. Sedangkan Allah telah menawarkan keamanan dengan menyatukan hati-hati manusia supaya kembali kepada Allah SWT, suatu kurniaan nikmat yang tidak ada galang gantinya, semua manusia tanpa mengira bangsa dan agama boleh hidup aman damai dengan penyatuan hati ini. Mahukah umat Islam dan rakyat Malaysia hidup dalam keadaan huru hara, berpecah belah, berperang, berbunuhan serta bermusuhan kerana mengikut kaum dan orang yang berpenyakit hatinya. Oleh sebab itu, Allah SWT menyeru kepada penyatuan ummah supaya manusia dapat hidup aman dan harmoni.

Penyatuan ummah memerlukan prasyarat kerana dengan syarat-syarat inilah yang akan membentuk keharmonian dan keamanan. Antara pra syarat yang utama adalah berpegang teguh kepada Al-Quran dan al-Hadis, Sunnah Rasulullah SAW, para sahabat dan ulama. Tatacara penyatuan ummah jelas ditunjukan oleh kaum Muhajirin dan ansar dalam setiap tindakkan mereka. Islam mengajar umatnya tidak mementingkan diri sendiri sebaliknya mengutamakan orang lain, mengorbankan keinginan nafsu sendiri menjadi keutamaan sebagaimana yang ditonjolkan oleh “golongan as-sabiqun al-awwalun” dalam firman Allah surah a-taubah 9:100 yang bermaksud; “Dan orang-orang terdahulu lagi yang mula-mula (memeluk Islam) di antara orang muhajirin dan ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan mereka reda kepada Allah. Allah sediakan bagi mereka syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Maka kekal mereka selama-lamanya. Itulah kemenangan yang agung ”.

Ini merupakan satu pengiktirafan Allah dan ganjaran besar kepada orang yang menyokong dan bersama dengan penyatuan ummah, yang memenuhi prasyarat tersebut. Golongan ini mendapat keredaan Allah, disediakan syurga dan dijanjikan kemenangan yang agung. Wahai umat Islam dan rakyat Malaysia, manakah yang kalian inginkan. Sebagai rakyat marhaen yang akan menerima nasib seumpama timun, adalah baiknya kita memilih penyatuan ummah kerana jika kita luka hanya kecil lukanya. Diharapkan penyatuan ummah kerana Allah yang menepati pra syarat tadi, pasti kitalah yang sangat bertuah atas nikmat kurniaan Allah ini kerana keamanan, keharmonian dan kekayaan dinikmati dan dikongsi bersama sebagaimana yang berlaku di zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Marilah kita bersatu hati menyokong dan mendoakan serta sederap selangkah bersama penyatuan ummah agar Allah reda kepada kita dan kita reda kepada Allah, itulah kemenangan yang Agung. insyaAllah. Janji Allah itu adalah benar.Jangan sekali-kali kita menafikannya.

Dr. Saharizah bt Mohamad Salleh