Ahad, 15 September 2019

Penyatuan Ummah Adalah Nikmat Dari Allah SWT


PENYATUAN UMMAH ADALAH NIKMAT DARI ALLAH

Bismillahirahmanirrahim Assalamualaikum Wa Rahmatullahi Wa Baratuh.

Menjadi naluri semula jadi manusia ingin hidup dalam aman dan harmoni, hidup saling tolong menolong dan sayang menyayangi. Atas desakan naluri inilah, kebanyakan manusia mengharapkan penyatuan ummah supaya kehendak naluri tadi dapat dipenuhi. Menyanggahi penyatuan ummah menunjukkan seseorang itu menyanggahi naluri semula jadi. Ini berlaku disebabkan beberapa faktor, antara faktornya adalah penyakit hati. Maka penyakit hati ini perlu diubat dengan siraman kedamaian dan kelembutan ayat al-Quran serta sunnah Nabi Muhammad SAW. Sayugialah pemahaman tentang penyatuan ummah mengikut al-Quran dan as-sunnah itu sangat dituntut.

Penyatuan berasal dari kata dasar satu, iaitu menyatukan dua perkara contoh penyatuan antara teori dan amali, penyatuan antara bidang sains dan kemanusiaan (Normah Karimin 1994). Manakala perkataan ummah pula masyarakat atau umat manusia, Dalam konteks ummah pada zaman Nabi Muhammad SAW, masyarakat yang mematuhi Piagam Madinah termasuk umat Islam dan bukan Islam seperti kaum Yahudi di Madinah. Ringkasnya ummah zaman Nabi ialah masyarakat yang mematuhi undang-undang Islam sama ada mereka seagama atau tidak. (Sejarah Ting. 6, Kementerian Pendidikan Malaysia,2013). Dalam konteks hari ini, penyatuan ummah itu memberi maksud menyatukan dua kumpulan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama yang sebelum ini berpisah menjadi satu dengan memenuhi syarat-syarat yang telah dipersetujui oleh kedua pihak bagi tujuan dapat meneruskan kehidupan dengan aman, harmoni, dan penuh kasih sayang.

Allah SWT yang mencipta langit dan bumi serta segala isinya telah memerintah manusia dalam firman-Nya surah Ali Imran 3:103 yang bermaksud “ Dan berpegang teguhlah kamu sekalian pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (ketika jahiliyah)  bermusuhan, lalu Allah menyatukan hatimu, sehingga dengan kurniaan-Nya kamu bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di jurang neraka, lalu Allah selamatkan kamu dari sana.Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk”.

Mafhumnya dari ayat ini menjelaskan kepada manusia khususnya orang Islam, pertama sekali berpegang teguh dengan agama Islam yang pasti akan memberi keamanan kepada semua orang tanpa mengira bangsa dan agama. Apabila umat Islam berpegang teguh, taat kepada semua perintah Allah serta menjauhi larangan, keamanan akan tercipta. Apabila orang Islam tidak berpegang kepada agama Allah, sukar sekali mendapat keharmonian kerana Islam itu datang untuk mengembalikan keharmonian. Apabila umat islam tidak berpegang kepada al-Quran dan hadis,  pasti berlaku bercerai berai sama ada keluarga, masyarakat dan negara. Kesan dari bercerai berai, sudah tentu keamanan dan kehamonian tidak dapat dikecapi oleh manusia. Oleh itu, penyatuan ummah hendaklah diterajui oleh umat Islam yang beriman dan bertakwa supaya menepati kehendak Allah SWT.

Umat Islam yang enggan menerima penyatuan ummah dengan berpegang teguh kepada agama Allah adalah kerana memiliki hati yang tidak aman dan tenteram seperti mana firman Allah dalam surah al-Baqarah 2:10 yang bermaksud;” Dalam hati mereka ada penyakit , lalu Allah menambah penyakitnya itu, dan mereka mendapat azab yang pedih kerana berdusta”. Hati yang tidak aman dan tenteram kerana mendustakan kebenaran, ragu-ragu serta tidak yakin, munafik dan tidak beriman dengan perintah Allah janganlah kamu bercerai berai.

Allah SWT telah memperingatkan umat manusia, yang pada suatu ketika dahulu kita bercerai berai, kita bermusuhan yang mengakibatkan kematian manusia dan binatang, kemusnahan rumah dan bangunan, kerosakan harta benda, anak-anak kecil dan ibu tua tanpa pembela, kekurangan makanan dan minuman serta berbagai kemusnahan yang lain. Malah Allah SWT menegaskan perbuatan "bercerai berai", tiada penyatuan ummah ini akan meletakkan umat Islam di tepi jurang neraka. Banyak negara di dunia yang sering berperang tidak dapat hidup dengan aman dan harmoni, adakah ini matlamat kehidupan manusia yang berpenyakit dalam hatinya. Sedangkan Allah telah menawarkan keamanan dengan menyatukan hati-hati manusia supaya kembali kepada Allah SWT, suatu kurniaan nikmat yang tidak ada galang gantinya, semua manusia tanpa mengira bangsa dan agama boleh hidup aman damai dengan penyatuan hati ini. Mahukah umat Islam dan rakyat Malaysia hidup dalam keadaan huru hara, berpecah belah, berperang, berbunuhan serta bermusuhan kerana mengikut kaum dan orang yang berpenyakit hatinya. Oleh sebab itu, Allah SWT menyeru kepada penyatuan ummah supaya manusia dapat hidup aman dan harmoni.

Penyatuan ummah memerlukan prasyarat kerana dengan syarat-syarat inilah yang akan membentuk keharmonian dan keamanan. Antara pra syarat yang utama adalah berpegang teguh kepada Al-Quran dan al-Hadis, Sunnah Rasulullah SAW, para sahabat dan ulama. Tatacara penyatuan ummah jelas ditunjukan oleh kaum Muhajirin dan ansar dalam setiap tindakkan mereka. Islam mengajar umatnya tidak mementingkan diri sendiri sebaliknya mengutamakan orang lain, mengorbankan keinginan nafsu sendiri menjadi keutamaan sebagaimana yang ditonjolkan oleh “golongan as-sabiqun al-awwalun” dalam firman Allah surah a-taubah 9:100 yang bermaksud; “Dan orang-orang terdahulu lagi yang mula-mula (memeluk Islam) di antara orang muhajirin dan ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan mereka reda kepada Allah. Allah sediakan bagi mereka syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Maka kekal mereka selama-lamanya. Itulah kemenangan yang agung ”.

Ini merupakan satu pengiktirafan Allah dan ganjaran besar kepada orang yang menyokong dan bersama dengan penyatuan ummah, yang memenuhi prasyarat tersebut. Golongan ini mendapat keredaan Allah, disediakan syurga dan dijanjikan kemenangan yang agung. Wahai umat Islam dan rakyat Malaysia, manakah yang kalian inginkan. Sebagai rakyat marhaen yang akan menerima nasib seumpama timun, adalah baiknya kita memilih penyatuan ummah kerana jika kita luka hanya kecil lukanya. Diharapkan penyatuan ummah kerana Allah yang menepati pra syarat tadi, pasti kitalah yang sangat bertuah atas nikmat kurniaan Allah ini kerana keamanan, keharmonian dan kekayaan dinikmati dan dikongsi bersama sebagaimana yang berlaku di zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Marilah kita bersatu hati menyokong dan mendoakan serta sederap selangkah bersama penyatuan ummah agar Allah reda kepada kita dan kita reda kepada Allah, itulah kemenangan yang Agung. insyaAllah. Janji Allah itu adalah benar.Jangan sekali-kali kita menafikannya.

Dr. Saharizah bt Mohamad Salleh