Jumaat, 29 Mac 2024

 HIMPUNAN SOLAT SUNAT

Bismillahi Rahmanir Rahim, Assalamualaikum wrt.

Terdapat banyak solat sunat yang disenaraikan oleh para ulama feqah berdasarkan kefaqihan mereka. Kita sebagai umat Islam boleh meneliti dan mengkaji solat mana yang patut dilakukan berdasar keutamaan sunnah Rasulullah SAW dan amalan para sahabat, ulama dan auliya. Di sini saya hanya menyatakan beberapa jenis solat sunat yang boleh diamalkan oleh umat Islam untuk menjadikan kita hamba yang mengabdikan diri kepada Allah SWT
Pengertian Tathawwu’

Tathawwu’ juga disebut nafilah bermaksud sunnah. Apa yang dilakukan oleh seorang Muslim atas dorongan diri sendiri yang tidak diharuskan. (Al-Qaamuusul Mubiith- Al-Fairuz Abadi)

Terdapat beberapa pembahagian solat sunnah antaranya solat sunnah mutlak (umum) yang tidak terikat dengan masa, sebab dan jumlah rakaat, tetapi tetap disyariatkan walaupun dalam perjalanan atau tidak seperti dhuha, tahajud, taubat, istikharah, hajat dan seluruh solat sunnah mutlakserta solat sunnah yang memiliki sebab. Manakala solat sunnah mukayyad (terikat dengan masa dan sebab) seperti tahiyyatul masjid, wuduk, rawatib, gerhana, istisqa’,. Pembahagian dari segi mu’akad dan bukan mu’akad terutama bagi solat rawatib yang tidak disyariatkan ketika dalam musafir sedangkan solat witir tetap dituntut dilakukannya

Kelebihan Solat Sunnah
1. Menyempurnakan solat fardu sekaligus  melengkapi kekurangannya
2. Dapat meninggikan darjat dan menghapuskan  kesalahan
3. Penyebab utama masuk syurga dengan didampingi oleh Nabi Muhammad SAW
4. Amalan fizik yang paling afdhal selepas jihad dan belajar dan mengajar ilmu.
5. Solat sunnah di rumah akan mendatangkan barokah
6. Mendatangkan kecintaan Allah kepada pelakunya
7. Menambah rasa syukur hamba kepada Allah SWT

Dibolehkan solat sunat mengikut keadaan
1. Boleh solat sunnah dengan duduk
2. Boleh solat sunnah atas kenderaan dalam perjalanan jauh atau dekat
3. Rumah tempat solat sunnah paling baik
4. Amalan solat sunnah yang paling di sukai ialah secara  istiqomah
5. Dibolehkan solat sunnah secara berjemaah

SOLAT  SUNAT WUDUK

Hadis yang diriwayatkan oleh ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhani R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

مَا مِنْ أَحَدٍ يَتَوَضَّأُ فَيُحْسِنُ الْوُضُوءَ وَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ يُقْبِلُ بِقَلْبِهِ وَوَجْهِهِ عَلَيْهِمَا إِلاَّ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ

Maksudnya : Tidak ada seorang pun yang berwuduk kemudian dia memperelokkan wuduknya lalu mendirikan solat dua rakaat yang dia memfokuskan jantung hati serta wajahnya dalam mengerjakannya melainkan wajib buat dirinya itu syurga. Riwayat Abu Daud (906)

Hadis yang diriwayatkan oleh ‘Utsman bin ‘Affan R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

مَنْ تَوَضَّأَ وُضُوئِي هَذَا، ثُمَّ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ، لاَ يُحَدِّثُ نَفْسَهُ فِيهِمَا بِشَىْءٍ، إِلاَّ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya : Sesiapa yang berwuduk seperti wuduk aku ini, kemudian dia menunaikan solat dua rakaat, yang mana dia tidak lalai di dalamnya, maka akan diampunkan dosa-dosa (kecilnya) yang terdahulu. Riwayat Al-Bukhari (1934) 

Solat sunat wuduk adalah salah satu solat sunat yang disyariatkan dan tsabit sandarannya di sisi syarak berdasarkan beberapa nas dari Rasulullah S.A.W. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bertanya kepada Bilal bin Rabah :

يَا بِلاَلُ حَدِّثْنِي بِأَرْجَى عَمَلٍ عَمِلْتَهُ فِي الإِسْلاَمِ، فَإِنِّي سَمِعْتُ دَفَّ نَعْلَيْكَ بَيْنَ يَدَىَّ فِي الْجَنَّةِ

Maksudnya : Wahai Bilal, ceritakan kepadaku tentang amalan yang paling terbaik yang kamu lakukan di dalam Islam. Sesungguhnya aku mendengar bunyi tapak kakimu di hadapanku di dalam syurga.

Kemudian Bilal R.A menjawab :

 مَا عَمِلْتُ عَمَلاً أَرْجَى عِنْدِي أَنِّي لَمْ أَتَطَهَّرْ طُهُورًا فِي سَاعَةِ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ إِلاَّ صَلَّيْتُ بِذَلِكَ الطُّهُورِ مَا كُتِبَ لِي أَنْ أُصَلِّيَ

Maksudnya : Tidaklah aku melakukan amalan yang paling baik di sisiku, aku ini tidak berwuduk pada waktu malam atau siang melainkan aku akan mendirikan solat dengan wuduk tersebut dengan kadar yang ditetapkan untuk aku solat.Riwayat Al-Bukhari (1149)

KELEBIHAN SOLAT BERJEMAAH

Solat jemaah adalah solat yang dilakukan secara beramai-ramai yang sekurang-kurangnya 2 orang; seorang imam dan seorang menjadi makmum. Jika semakin ramai bilangan jemaah maka semakin besar pahala yang diperolehi.

Dari Imam al-Bukhari dan Muslim, penting dan dituntut akan solat berjemaah itu sehingga Rasulullah s.a.w pernah mengancam untuk membakar rumah orang lelaki yang meninggalkan solat secara berjemaah.Terdapat banyak keistimewaan dan kelebihan solat berjemaah yang disediakan oleh Allah s.w.t antaranya;

1 – Ganjaran Pahala Berlipat Ganda

Ganjaran pahala bagi solat berjemaah adalah lebih besar berbanding dengan solat secara bersendirian. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa pahala yang diperoleh oleh sesiapa yang solat berjemaah adalah sebanyak 27 kali ganda;

“Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda).”Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim

2 – Terlepas Dari Api Neraka Dan Terhalang Menjadi Munafik

Rasulullah s.a.w pernah menjelaskan bahawa golongan yang berjemaah bersama-sama imam dari takbir pertama sehingga ke akhir solat, selama 40 hari dan niat kerana Allah s.w.t, golongan itu akan terselamat dari api neraka dan dari menjadi munafik.

“Sesiapa yang solat kerana Allah selama 40 hari dengan berjemaah dan mendapat takbir yang pertama. Ditulis bagi orang itu dua pelepasan, pelepasan daripada neraka, dan pelepasan daripada menjadi orang munafik.”

3 – Mendapat Perlindungan Allah S.W.T Pada Hari Kiamat

Golongan yang mendirikan solat secara berjemaah dijanjikan oleh Allah s.w.t dengan perlindungan pada hari kiamat kelak.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Tujuh golongan manusia yang mendapat perlindungan dari Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali dariNya, iaitu imam yang adil, pemuda yang hidup di dalam beribadah kepada Allah, seorang yang hatinya sentiasa ingat kepada masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, berhimpun keranaNya dan berpisah keranaNya, seorang lelaki yang diajak oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan jelita (untuk melakukan maksiat) lalu dia berkata: ‘Aku takutkan Allah’, seorang yang bersedekah secara senyap-senyap sehingga tidak diketahui tangan kirinya apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya dan seorang yang mengingati Allah bersendirian sehingga berlinangan air kedua matanya.”

Oleh itu, golongan yang hatinya sentiasa teringat kepada masjid adalah mereka yang menunaikan solat berjemaah setiap waktu. Apabila keluar dari masjid hatinya akan sentiasa ingat untuk datang semula ke masjid bagi menunaikan solat berjemaah yang berikutnya.

4 – Dinaikkan Darjat Oleh Allah

Sabda Rasulullah s.a.w;

“Tidakkah aku tunjukkan kamu sesuatu yang Allah menghapuskan dosa dan mengangkat darjat? Para sahabat menjawab, ‘Ya, wahai Rasulullah’, sabda Baginda: ‘Banyak langkah ke masjid dan menunggu satu solat selepas satu solat. Itu adalah ikatan’.”

Hal ini bermaksud, lebih banyak langkah ke masjid dan kelebihan menunggu satu solat selepas menunaikan satu solat, akan mendapat pahala dan darjat dari Allah S.W.T.

5 – Diampunkan Dosa Oleh Allah S.W.T

Sabda Rasulullah s.a.w;

“Sesiapa yang berwuduk untuk mengerjakan solat lalu dia berwuduk dengan sempurna kemudian dia pergi ke masjid untuk solat fardhu kemudian dia pun bersolat berserta dengan orang ramai, atau berjemaah atau dalam masjid maka Allah mengampunkan untuknya dosa-dosanya.”

Maksud dosa ini ialah dosa-dosa kecil kerana dosa besar haruslah dimulai dengan bertaubat dan meminta keampuan dari Allah s.w.t.

6 – Allah Memberikan Jaminan Syurga

Allah menjamin balasan syurga kepada sesiapa yang bersolat berjemaah di masjid.
Hal ini dijelaskan oleh Baginda dalam sabdanya yang bermaksud;

“Tiga golongan semuanya dijamin oleh Allah, seorang yang keluar berperang pada jalan Allah maka Allah jamin sehingga Allah mematikannya lalu dia masuk syurga atau dia kembali dengan memperolehi pahala dan harta rampasan perang. Seorang yang pergi ke masjid maka Allah jamin hingga Allah mematikannya lalu dimasukkan ke dalam syurga atau Allah mengembalikannya dengan mendapat pahala dan ghanimah dan seorang yang masuk ke rumahnya dengan memberi salam maka Allah jamin ke atasnya.”

7 – Disediakan Hidangan Di Syurga

Setiap kali seseorang itu pergi dan balik dan balik dari masjid untuk berjemaah, Allah akan menyediakannya hidangan di syurga. Sabda Rasulullah s.a.w;

“Sesiapa yang pergi ke masjid dan balik (dari masjid), Allah sediakan baginya hidangan dari syurga setiap kali dia pergi dan balik.”

8 – Mendapat Cahaya Di Hari Kiamat

Pasti tiada kegelapan di hari akhirat kelak bagi mereka yang sentiasa menjadikan jemaah sebagai amalan. Sabda Rasulullah s.a.w;

“Hendaklah bergembira orang-orang yang berjalan kaki dalam gelap menuju ke masjid mereka akan mendapat cahaya cukup sempurna pada hari Kiamat.”

9 – Menunggu Solat Jemaah Dikira Sebagai Mengerjakan Solat

Hal ini masih ramai yang belum ketahui, iaitu walaupun hanya menunggu untuk solat berjemaah, Allah telah mengira ianya sebagai pahala solat, di samping para malaikat berdoa untuknya. Ini disampaikan oleh Baginda dalam sabdanya yang bermaksud;

“Seseorang hamba Allah itu dikira dalam solat selama dia berada di tempat solatnya kerana menunggu solat, dan berkata Malaikat: ‘Ya Allah, ampuni dosanya dan rahmatilah dia sehingga dia beredar atau dia berhadas’.”

10 – Pahala Seperti Mengerjakan Haji

Sabda Rasulullah s.a.w;

“Siapa yang keluar dari rumahnya dengan keadaan bersuci menuju kepada solat fardhu maka pahalanya seperti pahala orang haji yang berihram dan sesiapa yang keluar hanya semata-mata untuk tasbih al-Duha maka pahalanya seperti pahala orang yang mengerjakan umrah. Satu solat selepas satu solat, tiada melakukan perkara sia-sia di antara kedua-duanya ditulis pada kalangan orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi.”

QADHA SOLAT FARDU

Qada solat ialah bayaran wajib seseorang terhadap solat yang tidak dilakukan tepat pada waktunya. Dalam bahasa Arab, qada bermaksud menunaikan dan membayar. Qada solat tidak boleh dibayar dengan wang ringgit. Tidak seperti puasa dan umrah, dimana apabila seseorang meninggalkan perkara wajib di dalamnya maka mereka perlu membayar denda dengan sejumlah wang. 

إن الصلاة كانت على المؤمنين كتابا موقوتا

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang telah ditentukan waktunya”.(Surah Al-Nisa': 103)

Apabila perintah ibadah solat itu dilaksanakan dalam waktunya, ia digelar sebagai al-adaa' (tunai) manakala apabila solat itu dilaksanakan di luar waktunya ia digelar sebagai al-qadha (ganti).

Para jumhur ulama’ mengatakan wajib bersegera menqadha’ solat yang tertinggal samada tertinggal kerana uzur syar’i atau tidak berdasarkan keumuman hadis nabi S.A.W:

مَن نَسِيَ صَلَاةً فَليٌصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا

Maksudnya: “Sesiapa yang tertinggal solat kerana lupa maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia teringat akannya”. Riwayat Al-Bukhari (597) dan Muslim (1598

Seperti dalil dibawah ini, baginda menunaikan solat yang tertinggal mengikut rakaat yang asal bagi setiap solat fardhu.

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ النَّبِيِّ قَالَ مَنْ نَسِيَ صَلاةً فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا لا كَفَّارَةَ لَهَا إِلاَّ ذَلِكَ وَأَقِمْ الصَّلاةَ لِذِكْرِي

Dari Anas bin Malik dari Nabi SAW bersabda:

”Siapa yang terlupa solat, maka lakukan solat ketika dia ingat dan tidak ada tebusan kecuali melaksanakan solat tersebut dan dirikanlah solat untuk mengingatKu  (Riwayat Al-Bukhari (597) dan Muslim (1598)

Nabi SAW bersabda:

من نام عن صلاة أو نسيها؛ فليصلها إذا ذكرها

“Barangsiapa yang terlewat solat karena tidur atau karena lupa, maka dia wajib solat ketika ingat” (HR Al Bazzar)

Kedua-dua hadis menyatakan kewajipan menggantikan solat fardhu yang tertinggal disebabkan lupa atau tertidur. Menurut baginda, tiada gantian yang layak diberikan bagi setiap solat yang ditinggalkan kerana ianya wajib didirikan.Hukum qadha solat dalam Kitab Al-Mughni (158/2), ialah wajib berdasarkan keputusan bersama oleh 4 orang imam mazhab.

QIAMULLAIL

Qiamullail ialah satu amalan sunat yang bererti ‘bangun malam’ iaitu bangun dengan tujuan untuk beribadat kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW menyeru umatnya bangun beribadat di tengah malam (qiamullail) sebagai satu ibadat tambahan. Baginda sentiasa melakukan qiamullail dengan bersungguh-sungguh sebagaimana yang digambarkan dalam sebuah hadith dari Aisyah RA yang berbunyi:

“Bahawa Rasulullah SAW bangun sebahagian daripada malam bersembahyang hingga bengkak kedua kakinya, maka aku (Aisyah) berkata kepada baginda, mengapa Rasulullah SAW lakukan ini semua, bukankah dosa tuan telah diampunkan oleh Allah sama ada yang terdahulu ataupun yang terkemudian?

Baginda menjawab: Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur?”
(Muttafaq Alaih)

Fadhilat Qiamullail

Banyak ayat al-Quran dan hadith nabi yang menerangkan tentang kelebihan bagi mereka yang mengerjakan ibadat qiamullail.

1. Dibangkitkan Di Akhirat Di Tempat Yang Terpuji

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjalah sembahyang tahajjud padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Surah al-Isra’: 79)

2. Ibadah Yang Memberi Kesan Mendalam Kepada Jiwa

Bangun bersembahyang, bertasbih dan membaca al-Quran pada sebahagian daripada malam boleh memberi kesan yang mendalam kepada jiwa orang yang melakukannya.

Firman Allah SWT:

إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْئًا وَأَقْوَمُ قِيلًا – 73:6

“Sesungguhnya bangun beribadat pada waktu malam itu adalah sangat berkesan (dalam hati) dan lebih betul bacaannya.” (Surah al-Muzammil: 6)

3. Waktu Mustajab Berdoa

Jabir RA pula mengatakan bahawa aku mendengar Rasullulah SAW bersabda yang berbunyi:

“Pada malam hari ada satusaat (yang berkat) di mana jika seseorang muslim menepati saat itu dan berdoa kepada Allah SWT meminta keberkatan dunia atau akhirat nescaya Allah kabulkan doanya. Keadaan ini ada pada tiap-tiap malam.”
(Riwayat Muslim)

4. Ibadah Yang Disukai Allah

Firman Allah SWT :

وَمِنَ اللَّيْلِ فَاسْجُدْ لَهُ وَسَبِّحْهُ لَيْلًا طَوِيلًا – 76:26

“Dan (dengan apa keadaan pun) maka pada sebahagian waktu malam sujudlah kepada Tuhanmu (dengan mengerjakan sembahyang) dan (seboleh-bolehnya) bertasbihlah memuji-Nya (dengan mengerjakan sembahyang Tahajjud), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam.” (Surah al-Insan: 26)

Dalam sebuah hadith lain pula, Abdullah bin Salam berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Wahai manusia hendaklah kamu banyak memberi salam, menjamu makan, bersembahyang pada waktu malam ketika manusia nyenyak tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejahtera.” (Riwayat al-Tirmizi)

SOLAT SUNAT TAHAJJUD

Solat Tahajjud adalah solat malam yang dilaksanakan setelah bangun tidur, afdalnya dibuat secara bersendirian waktu selepas tengah malam. Solat sunat ini amat dituntut dan sangat baik dilakukan sebagai ibadah tambahan. Rasulullah SAW dan para sahabat tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka.

Firman Allah SWT bermaksud;


 “Dan pada sebahagian malam hari bersolat Tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu; Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.” 

(Surah Isra’; ayat 79)


Rasulullah SAW bersabda:  “Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari perbuatan dosa dan dapat menghalangi penyakit dari badan.”   (Riwayat Tirmizi dan Ahmad r.a.)


Tujuan Solat Tahajjud


1. Sebagai petanda perhambaan kepada Allah SWT.

2. Mendekatkan seorang hamba dengan Penciptanya

3. Tanda kesyukuran manusia di atas nikmat kurniaan Allah SWT.

4. Menguatkan jiwa dan ketaqwaan seseorang kepada Allah SWT.

5. Mendapatkan ketenangan dalam menghadapi cabaran dan dugaan hidup.


SOLAT SUNAT TAUBAT


Solat Sunat Taubat dilakukan selepas seseorang itu melakukan dosa dan kesalahan atau perlanggaran hukum-hukum agama atau berasa dirinya bersalah dan berdosa kepada Allah SWT. kemudian menyesali atas perbuatan itu dan ingin kembali semula ke jalan Allah (bertaubat).


Rasulullah SAW. telah bersabda: “Sesiapa yang pernah melakukan perbuatan dosa, bersegeralah berwuduk kemudian dirikan solat dan mohonlah keampunan kepada Allah SWT., Allah pasti akan menerima permohonannya itu. Kemudian bacalah ayat ini:


“Mereka yang pernah mengerjakan perbuatan dosa atau telah berbuat dosa terhadap dirinya sendiri lalu mereka bersegera mengingati Allah dengan memohon keampunan Ilahi terhadap dosa yang dilakukan itu. Siapakah yang akan mengampuni segala dosa, selain Allah? Kemudian itu mereka berasa insaf dan sedar serta tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi, maka mereka akan diberi pahala dan ganjaran syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai dan disitulah tempat mereka selamanya.”  (HR Abu Daud, Nasa’I, Ibnu Majah dan Baihaqi.)

.

Solat Taubat boleh dilakukan dua, empat atau enam rakaat pada bila-bila masa yang dikehendaki, tetapi lebih afdal pada waktu tengah malam dimana suasananya lebih sunyi dan tenang.

.

Fadhilat Taubat:

.

1. Diampunkan Allah SWT.

2. Dimudahkan segala urusan.

3. Menceriakan kehidupan seharian.

4. Menghilangkan perasaan yang menekan.

5. Mencegah dosa dan menghindari gangguan.


SOLAT SUNAT HAJAT


Solat Sunat Hajat merupakan solat sunat yang didirikan untuk memohon hajat atau ketika berada dalam permasalahan dan kesukaran. Ia dilakukan bagi mengharapkan pertolongan daripada Allah SWT dan memohon sesuatu perkara atau menolak sesuatu yang tidak diingini agar apa yang dihajati itu dikabulkan. Walau bagaimana pun ia hendaklah disertai dengan keazaman dan usaha yang gigih di samping bertawakal kepada Allah Yang Maha Pencipta.


Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mempunyai hajat kepada Allah SWT atau kepada seorang manusia, maka hendaklah ia berwuduk dengan sebaik-baiknya kemudian dia bersolat dua raka’at.”    (Riwayat At-Tarmizi)


Imam Ahmad meriwayatkan dengan sanad shahih dari Abu Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa berwudhuk dan menyempurnakannya, kemudian solat dua raka’at dengan sempurna, nescaya Allah memberikan apa saja yang dimintanya, sama ada cepat ataupun lambat.”


Solat sunat ini mempunyai kelainan kerana pada sujud yang terakhir, mukmim yang melakukan solat hajat itu perlu memuji-muji Allah SWT disertakan dengan niat apa yang dihajati atau hendak dicapai. Sesudah melakukan solat hajat, perlu berdoa sekali lagi agar permintaan mudah dimakbulkan.


Solat hajat boleh didirikan secara bersendirian atau berjemaah, sama ada pada waktu siang maupun malam hari. Lebih afdal solat bersendirian sewaktu suasana sunyi selepas tengah malam (selepas 2/3 malam, iaitu 1/3 malam terakhir) kerana ianya lebih berkesan, lebih khusyuk dan amat hening suasananya.


Solat Sunat Hajat dilakukan dengan pelbagai cara dan ia boleh didirikan sehingga 12 rakaat dan paling minima adalah 2 rakaat. Solat sunat ini mempunyai kelainan kerana pada sujud yang terakhir, mukmim yang melakukan solat hajat itu perlu memuji-muji Allah dan disertakan dengan niat hajat yang hendak dicapai. Sesudah melakukan solat hajat, perlu berdoa sekali lagi agar permintaan mudah di makburkan.


 Fadhilat Solat Hajat

1. Berasa tenang setelah bebanan disampaikan kepada Allah SWT.

2. Menjadi lebih bersifat ikhlas menerima ketentuan Allah.

3. Permohonan dimakbulkan Allah SWT.


SOLAT SUNAT TASBIH


Solat ini disebut Solat Tasbih kerana diucapkan tasbih sebanyak 300 kali dalam empat rakaat solatnya. Solat Sunat Tasbih dianjurkan kalau boleh tiap-tiap malam, andaikata tidak sanggup, kerjakanlah sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup. Solat sunat Tasbih ini telah diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Saidina Abbas bin Muththalib. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Jika kamu mampu solat tasbih setiap hari, maka lakukanlah. Jika tidak mampu, maka lakukanlah setiap hari Jumaat atau sebulan sekali atau setahun sekali atau seumur hidup sekali .“  ( HR. A bu Daud dan Ibnu Majah )

.

Solat Tasbih ini dapat membuka pintu ampunan Allah SWT. di atas segala dosa, dari awal hingga akhir, lama maupun baru, disengaja atau tidak, kecil ataupun besar, nampak maupun tersembunyi.


Fadilat  Solat Tasbih


Dosa-dosa yang terdahulu mahupun dosa yang terkemudian; dosa yang lama mahupun dosa yang baru; dosa-dosa yang dilakukan tanpa sedar mahupun yang dilakukan dengan sengaja; dosa kecil mahupun yang besar; dosa yang tersembunyi mahupun dosa yang nyata; iaitu (hendaklah) engkau dirikan solat sebanyak empat rakaat. 


Diceritakan dalam kitab al-Mirqat bahawa Abdullah Ibn Abbas RA mengerjakan solat sunat Tasbih ini setiap hari Jumaat. Manakala al-Baihaqi menukilkan bahawa seorang ulama' besar daripada kalangan tabi'in iaitu Abu Jawza RA menunaikan solat sunat Tasbih setiap hari pada waktu Zuhur.


SOLAT SUNAT ISYRAQ

Solat Sunat Isyraq dilakukan sebagai tanda syukur kepada Allah SWT kerana menganugerahkan pada hamba-Nya sehari lagi mengecapi alam ini walaupun dalam hari-hari berlalu kita banyak melakukan dosa.


Solat Sunat Isyraq dua rakaat ini dikerjakan selepas waktu Syuruk iaitu setelah matahari naik anggaran setengah galah (4 hasta atau 1.5 meter), lebih tepatnya kira-kira 12 minit setelah terbit matahari.

 

Diberi tempoh jarak masa sebegini sejak waktu Syuruk (terbit matahari) adalah supaya  ia tidak menyamai orang yang menyembah matahari.  Waktu ini juga adalah haram untuk melakukan sebarang solat kerana tanduk syaitan berada di antara matahari.

 

Dari Abdullah bin ‘Umar r.a.,katanya Rasulullah shallallahu’ alaihi wa sallam bersabda: “Waktu Subuh adalah sejak terbit fajar hingga terbit matahari. Apabila matahari terbit, berhentilah solat kerana dia terbit antara dua tanduk syaitan.”  (Hadis Riwayat, Muslim r.a.)

 

Tempoh masa Solat Sunat Isyraq adalah sangat singkat iaitu 15 minit sahaja (12 minit – 27 minit setelah Syuruk), bersamaan sehingga masuk waktu Dhuha. Oleh itu wajarlah seseorang itu berikhtikaf sebentar selepas solat jemaah Subuh dengan berzikir dan membaca al-Quran sementara menunggu tibanya waktu Isyraq agar tidak terlepas memperolehi fadhilat besarnya.

   

Fadhilat Solat Isyraq

 

Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu dia berkata, Rasulullah shallallahu’ alaihi wa sallam bersabda:

 

 مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِى جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ

 “Sesiapa solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah  sehingga naik matahari dan mengerjakan solat dua rakaat (Solat Sunat Isyraq). Maka adalah baginya pahala seperti pahala Haji dan Umrah yang sempurna, sempurna, sempurna.”  (Hadis Riwayat, At-Tirmidzi dan , ath-Thabrani r.a.)

 

Betapa besarnya keutamaan duduk/menetap di tempat solat sesudah Solat Fardhu Subuh berjemaah untuk berzikir kepada Allah SWT sehingga matahari terbit, kemudian itu melakukan solat dua rakaat, sebagaimana ditunjukkan pada hadis agung di atas yang terdapat dalam kitab ‘Tuhfatul ahwadzi’ dan ‘at-Targhib wat tarhib’.


SOLAT SUNAT DHUHA


Solat Sunat Dhuha boleh dianggap sebagai rasa terima kasih seseorang hamba kepada Allah SWT atas segala berkah hidup yang diberikan-Nya. Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan solat ini tanpa keuzuran dan umat Islam amat dituntut melakukannya. Abu Hurairah pernah berkata: “Rasulullah SAW berwasiat kepadaku tiga perkara agar jangan ditinggalkan puasa tiga hari tiap bulan, dua raka’at Dhuha dan Witir sebelum tidur.”


Daripada Abu Dzar r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah masing-masing di antara kamu setiap pagi bersedekah untuk setiap ruas tulang badanmu. Maka tiap kali bacaan tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, dan setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh kebaikan adalah sedekah, mencegah keburukan juga adalah sedekah. Dan sebagai ganti daripada itu semua, cukuplah mengamalkan dua rakaat solat Dhuha.”   (HR Ahmad, Muslim dan Abu Daud)

.

Paling banyak yang dikerjakan oleh Rasulullah ialah lapan rakaat dan paling banyak yang disabdakan oleh baginda ialah 12 rakaat. Paling sedikit yang boleh dikerjakan adalah dua rakaat.Nabi Muhammad SAW  bersabda: “Wahai anak Adam! Janganlah sekali-kali kamu malas mengerjakan empat rakaat solat Dhuha, maka akan aku cukupkan keperluanmu sehingga waktu petang.”   (HR Al-Hakim dan At-Tabrani)


SOLAT SUNAT RAWATIB


Rawatib berasal daripada perkataan ‘raatib‘ yang bermaksud berterusan. Oleh kerana itu Solat Sunat Rawatib dilakukan beriringan secara berterusan sebelum dan selepas solat fardhu lima waktu. Solat Sunat Rawatib biasa juga disebut solat sunat Qabliyyah (sebelum) dan sunat Ba’diyyah (selepas). Ia merupakan pendamping atau pelengkap bagi solat wajib yang bertujuannya untuk mencari keredaan Allah di samping menampung sebarang kekurangan ketika melakukan solat fardhu.


Selepas azan Zuhur dianjur mengerjakan solat Qabliyyah dua rakaat. Apabila cukup waktu kerjakanlah dua rakaat lagi. Setelah selesai solat fardhu Zuhur, kerjakanlah solat Ba’diyyah dua rakaat pula, bila ada masa tambahkanlah dua rakaat lagi.


Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang tetap mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas Zuhur sebanyak 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan dirinya dari api neraka” (H.R. Abu Daud & Tirmidzi). Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Semoga Allah merahmati orang yang solat sunat Zuhur empat rakaat.” (Hadis riwayat Ahmad dan At-Tirmizi r.a.)


Pada Solat Sunat Rawatib sebelum Asar (Qabliyyah) adalah dua hingga empat rakaat manakala selepas Asar tidak ada rawatib Ba’diyyah.  Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang solat sunat sebelum Asar 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan jasadnya dari api neraka” (H.R. At-Tabrani)


Selepas solat fardhu Maghrib kita boleh melakukan Solat Sunat Rawatib Ba’diyyah sebanyak dua rakaat dan solat Maghrib tidak ada Rawatib Qabliyah. Pada solat Isyak terdapat dua rakaat Solat Sunat Rawatib Qabliyyah dan dua rakaat Ba’diyyah. Adapun untuk solat Subuh, hanya ada dua rakaat sebelumnya (Qabliyyah), Solat Subuh tidak ada Solat Rawatib Ba’diyyah malah makruh solat selepas subuh.


Terdapat beberapa hadis yang menerangkan mengenai keutamaan Solat Sunat Rawatib. Jumlah yang mu’akkad (digalakkan) ialah 10 raka’at atau 12 raka’at, dalilnya:


عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ قَالَ حَفِظْتُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الصُّبْحِ

Dari Ibnu Umar bahawa; “Rasulullah SAW tidak meninggalkan solat (sunat) 10 rakaat iaitu 2 rakaat sebelum Zuhur, 2 rakaat sesudahnya Zohor, 2 rakaat selepas Maghrib, 2 rakaat seusai Isyak (juga di rumah) dan 2 rakaat sebelum solat Subuh.” (HR Bukhari-Muslim, Bukhari)


عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ ثَابَرَ عَلَى ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً مِنْ السُّنَّةِ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْفَجْرِ


Dari Aisyah r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang sentiasa (berterusan) mengerjakan  solat (sunat) 12 rakaat, Allah SWT akan membina rumah baginya di syurga, iaitu; 4 rakaat sebelum solat Zuhur dan 2 rakaat selepas Zuhur, serta 2 rakaat sesudah Maghrib, 2 rakaat  selepas Isyak dan 2 rakaat lagi sebelum solat Subuh.” (Hadis riwayat Turmizi r.a.)


SOLAT SUNAT AWWABIN


Solat Awwabin ialah solat sunat muakkad (sangat dituntut) yang dilakukan selepas solat fardhu Maghrib dan solat sunat Ba’adiah Maghrib. Solat sunat Awwabin ini dikerjakan sebanyak 2, 4 atau 6 rakaat bahkan boleh juga dilakukan sehingga 20 rakaat sepuluh salam.


Solat sunat tambahan ini sebagai amal ibadat sementara menanti waktu Isyak, ianya lebih baik dari duduk berbual kosong atau tidur, terutama jika tiada majlis ilmu. Boleh juga dilakukan di rumah jika berhalangan untuk solat jamaah di masjid.

Lakukanlah ia selalu agar Allah SWT. merahmati kita dengan memelihara keteguhan dan nikmat keimanan yang berterusan serta menghapuskan dosa-dosa kita.


Fadhilat Solat Awwabin


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَلَّى بَعْدَ الْمَغْرِبِ سِتَّ رَكَعَاتٍ لَمْ يَتَكَلَّمْ فِيمَا بَيْنَهُنَّ بِسُوءٍ عُدِلْنَ لَهُ بِعِبَادَةِ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ سَنَةً


Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW telah bersabda ; “Sesiapa yang bersembahyang enam rakaat sesudah Maghrib tiada diselang antaranya dengan sesuatu bicara nescaya samalah pahalanya dengan ibadat duabelas tahun.” (Riwayat Ibnu Majah, Ibn Khuzaimah dan At-Turmuzi.)


CARA MELAKSANAKANNYA SOLAT-SOLAT SUNAT AWWABIN


1.  Solat Sunat agar ditetapkan iman dan solat Awwabin

a.  Lafaz niat solat sunat Awwabin:


“Sahaja aku solat sunat memelihara iman dan Awwabin dua rakaat, kerana Allah Ta’ala


b.Selepas membaca Al-Fatihah, bacalah pada kedua-dua rakaat surah-surah berikut:

1. Surah al-Qadr    1 kali
2. Surah al-Ikhlas   6 kali
3. Surah al-Falaq   1 kali
4. Surah al-Naas    1 kali


c.Dalam sujud terakhir iaitu selepas membaca tasbih sujud, bacalah doa berikut:


Ya Allah! Penuhkanlah daku dengan iman dan peliharalah ia di sepanjang hidupku, ketika kembaliku dan selepas matiku. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu!


d.Baca lafaz berikut selepas memberi salam:


Maha Suci Allah dan segala pujian bagi Allah, dan tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar.


2.Solat Sunat Awwabin

a. Lafaz niat solat sunat Awwabin:


“Sahaja aku Solat Sunat Awwabin dua rakaat, kerana Allah Ta’ala


b.Selepas membaca al-Fatihah pada rakaat yang pertama, bacalah surah al-Kafirun dan pada rakaat kedua selepas al-Fatihah bacalah surah al-Ikhlas.


3.  Solat Sunat solat Awwabin serta Istikharah

a.  Lafaz niat solat sunat Awwabin serta Istikharah:


“Sahaja aku bersolat Sunat Awwabin serta Istikharah dua rakaat, kerana Allah Ta’ala


b.Selepas Al-Fatihah, bacaan surahnya ialah seperti berikut:

Rakaat pertama, bacalah Al-Kafirun

Rakaat ke-dua, dibacakan Al-Ikhlas


c.Selepas memberi salam, bacalah doa berikut:


Ya Allah! Pilihlah untukku mana yang ada padanya kebaikan dan keelokan dalam urusan agamaku dan duniaku; Dengan Rahmat-Mu, wahai yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang!


SOLAT SUNAT WITIR


Solat Sunat Witir merupakan sunat muakkad yang amat penting dan digalakkan melakukannya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sentiasa melakukan solat Witir dan solat sunat Fajar, baik ketika Baginda bermukim ataupun ketika bermusafir.


Ada riwayat yang mengatakan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak pernah meninggalkan Solat Witir walaupun sekali. Sabda Rasullulah Sallallahu Alaihi Wasallam dari Abu Hurairah:  “Sesiapa yang tidak berwitir, maka bukanlah dia termasuk golongan kami.”  (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud)

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda lagi: “Sesungguhnya Allah SWT. menganugerahkan kepada kamu solat yang lebih baik daripada bersedekah beberapa ekor unta yang sempurna dan baik iaitu Solat Witir.”  (Hadis Riwayat al-Turmudzi dan al-Hakim r.a.)


Dinamakan ‘Solat Sunat Witir’ kerana bilangan rakaatnya ganjil.  Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:  “Wahai ahli Al-Quran, kerjakanlah Solat Witir sebab Allah itu Witir (Ganjil / Maha Esa) dan suka sekali kepada ganjil.”   (Riwayatkan oleh Ahmad Ash hab al-Sunan, al-Turmudzi dan Hakim).


Solat Witir boleh dikerjakan 1 rakaat, 3, 5, 7, 9 atau paling banyak 11 rakaat. Ia dilakukan dua-dua rakaat dan diakhiri dengan 1 rakaat, atau  berakhir  3 rakaat (1 tahiyyat 1 salam).


Witir Penutup Solat


Solat Witir dilakukan setelah solat Isyak hingga menjelang fajar (subuh). Ia dapat dikerjakan sebagai pelengkap solat Tahajjud atau solat Tarawih. Ia sebagai penutup segala solat yang dilakukan hingga menjelang Subuh.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Akhirilah solat malammu itu dengan Solat Witir.”   (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim r.a.)


Sekiranya dirasa tidak akan terbangun mengerjakan solat Tahajjud lagi, maka bolehlah terus mengerjakan solat Witir sesudah mengerjakan solat Isyak.


Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Sesiapa yang berasa dirinya tidak mampu untuk bangun pada penghujung malam, sebaiknya mengerjakan solat witir pada awal malam, tetapi bagi sesiapa yang berasa dirinya mampu dan yakin akan dapat bangun pada penghujung malam, sebaiknya mengerjakan solat witir pada akhir malam, kerana solat pada akhir malam itu akan dihadiri oleh para malaikat dan itulah yang lebih utama.”  (Hadis riwayat Ahmad, Muslim, Termizi dan Ibnu Majah)


 Fadhilat Solat Witir

1.Orang yang mengamalkannya akan turut disaksikan oleh para Malaikat.

2.Solat Witir lebih utama daripada solat-solat sunat Rawatib yang lain.

3.Menurut sunnah yang akan memperolehi syafaat Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam di akhirat kelak.


Kesimpulannya, kita hendaklah memperbanyakan solat sunat namun begitu solat fardu yang tertinggal hendaklah didahulukan mengqadaknya kerana itulah keutamaan di sisi Allah SWT. Ibadat ini digalakan kita melakukan sebagai bukti kita menghambakan diri kepada Yang Maha Pencipta.