Rabu, 18 Januari 2023

 Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum Wrt

SYARIAH DALAM ISLAM

Makna Syari’ah

Dari sudut bahasa, jalan yang lurus, atau jalan yang dilalui oleh orang ramai untuk mendapatkan sumber air untuk diminum mereka sendiri atau binatang ternakan mereka. Ia juga diertikan sebagai ajaran agama atau manhaj oleh sebahagian ulama. (Rujuk Lisan al-‘Arab 8/175, Tafsir al-Qurtubi 16/163 dan Al-Madkhal li Dirasah al-Syari’ah 1/38)

Perkataan syariah dan yang seerti dengannya ada disebut dalam al-Qur’an, antaranya firman Allah SWT:

وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ الْكِتَابِ وَمُهَيْمِنًا عَلَيْهِ ۖ فَاحْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّـهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنَ الْحَقِّ ۚ لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا ۚ

MaksudnyaDan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing).

Surah al-Ma’idah (48)

Firman-Nya lagi:

ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ مِّنَ الْأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

MaksudnyaKesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).

Surah al-Jatsiyah (18)

Kesimpulan maksud syariah dari segi Bahasa ialah kaitan perkataan syariah dari segi bahasa menunjukkan kepada kita bahawa kewujudan air adalah penghubung kepada penerusan hayat manusia. Begitu juga jalan yang lurus  (syariat) adalah sesuatu yang membawa manusia ke arah kebaikan

Manakala dari sudut istilah pula, syariah bermaksud  apa-apa aturan atau ketetapan yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW yang terdiri daripada hukum-hakam dalam al-Qur’an dan al-Sunnah, yang berkait dengan bidang aqidah dan perbuatan-perbuatan mukallaf, sama ada hukum-hakam qath’ie atau zhanni. (Rujuk Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 32/194 dan Tarikh al-Tasyri’ al-Islamiy, hal. 13)

Menurut Syeikh Musthafa al-Zarqa’, syariah merupakan nas-nas wahyu iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah yang terpelihara daripada kesalahan (ma’sum) dan tidak terdedah kepada sebarang perubahan atau pindaan, sedangkan fiqh pula merupakan kefahaman ulama terhadap nas-nas syari’ah dan pengistinbatan hukum-hakam daripadanya, dan kefahaman serta istinbat ini mestilah berdasarkan kepada usul dan kaedah syari’ah. Maka dapat difahami daripada penjelasan ini, fiqh merupakan produk ijtihad manusiawi yang terdedah kepada perbahasan dan perbincangan, di mana ada yang betul dan ada yang salah. (Rujuk Al-Madkhal al-Fiqhi al-‘Aam, 1/153-154)

syariah merangkumi hukum-hakam berkaitan aqidah, sedangkan fiqh yang merangkumi hukum-hakam amali. Pada sudut yang lain, fiqh juga berbeza dengan syariah di mana fiqh mempunyai perbahasan tentang hukum-hakam ijtihadi, manakala syariah pula merupakan hanya merangkumi perkara-perkara yang tsabit melalui nas-nas syarak yang bersifat qath’ie. (Rujuk Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 32/194)

Kesimpulan maksud Istilah Syariah:

· apa-apa aturan atau ketetapan yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW yang terdiri daripada hukum-hakam dalam al-Qur’an dan al-Sunnah, yang berkait dengan bidang aqidah dan perbuatan-perbuatan mukallaf, sama ada hukum-hakam qath’ie atau zhanni.

· syariah merupakan nas-nas wahyu iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah yang terpelihara daripada kesalahan (ma’sum) dan tidak terdedah kepada sebarang perubahan atau pindaan

· syariah turut merangkumi hukum-hakam berkaitan aqidah selain hukum-hakam amali

Justeru itu syariah itu adalah ilmu dan hukum hakam yang meliputi akidah, ibadah, sirah, akhlak, tasawuf, tasawwur ada apa sahaja ilmu yang bersumberkan al-Quran, al-Hadis dan as-Sunnah Baginda Rasulullah SAW yang melibatkan hubungan manusia dengan Allah, manusia sesama manusia dan manusia dan lain2 makhluk seperti binatang, tumbuhan, batu bata dan lain yang semua mempunyai ruh masing2.


PERKEMBANGAN ILMU BERMULA DARI AL-QURAN/AL-HADIS/AS-SUNNAH

Sumber utama syariah adalah Al-Quran dan Hadis:

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ ‏"

Maksudnya: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Qur’an) dan sunnah Nabi-Nya (Sunnah Nabi SAW).” [Riwayat Malik (1594)]

Ulumul Quran; maksudnya, sejarah turunnya al-Quran; ayat makki, ayat madani, ciri2 ayat-nya, mukjizatnya, cara turunnya, penulisannya, pembukuannya, sejarah para penulis wahyu,sejarah bacaan al-Quran, Qira’atnya, tafsir al-Quran, jenis2 tafsir, kaedah mentafsir, ciri pentafsir dsb

 Ulumul Hadis; maksud hadis, tujuan,kedudukan hadis, fungsi hadis,perkembangan ilmu hadis,ilmu  hadis riwayat, ilmu hadis diraya, pembahagian hadis,jenis hadis, mutawwtir,sahih, hasan, dhaif. Perawi hadis, syarat2 perawi.

Dari sini akan berkembang pelbagai ilmu fardu ain dan fardu kifayah.Ilmu fardu ain; Akidah, ibadat, sirah, akhlak, tariqat, tasawwuf, tasawwur dan lain2. Juga lahir pelbagai hukum yang wajib, sunnah, haram, makruh, harus dan  juga pelbagai metodologi ilmu,

1. Contoh Ibadat; fekah, ilmu usul fiqh; taharah, fiqh muamalat, fiqh awlawiyyat, fiqh jinayat, fiqh Ibadat, fiqh munakahat,

Sumber-sumber sokongan bermaksud dalil-dalil tambahan yang membantu ahli-ahli Fiqh untuk mengeluarkan hukum-hakam Fiqh menepati prinsip sumber asal di atas (al-Quran dan as-Sunnah). Ia terdiri dari;

1. Ijmak
2. Qiyas
3. Istishab
4. Masalih Mursalah
5. Istihsan
6. ‘Uruf
7. Syari’at terdahulu

Contoh satu ilmu dari syariah dalam ibadat iaitu Fiqh:

· I  lmu-ilmu berkenaan hukum-hakam syari’ah yang bersifat amali, yang diambil daripada dalil-dalil syar’iy yang terperinci

· fiqh merupakan kefahaman ulama terhadap nas-nas syari’ah dan pengistinbatan hukum-hakam daripadanya

·   fiqh terdiri daripada hukum-hakam ijtihadi

·   fiqh hanya terhad kepada hukum-hakam amali


Namun, suatu hal yang perlu diberi penekanan dan perhatian bahawa fiqh terbahagi kepada dua kategori:

i. Hukum-hakam yang tsabit melalui nas yang qath’ie dari sudut tsubut dan dilalah, iaitu nas al-Qur’an atau hadith mutawatir yang mengandungi makna yang amat jelas dan tidak boleh ditakwil, antaranya ialah kefardhuan solat lima waktu, kefardhuan puasa Ramadhan dan kewajipan menunaikan janji.

ii. Hukum-hakam yang tsabit melalui nas yang zhanni dari sudut tsubut dan dilalah, dan kefahaman berkenaannya terbuka untuk ijtihad oleh para ulama yang berkelayakan

3. Contohnya Ilmu Akidah, Usuluddin, kalam, tauhid dan sifat, makrifat, tariqat dan lain2.

a. Ilmu Fiqhul Akbar oleh Imam Abu Hanifah yang telah wafat pada pertengahan kurun kedua hijrah. Kalimah fiqh pada bahasa ialah pemahaman. Menurut al-Jarhani pada takrifnya iaitu ibarat daripada kefahaman matlamat percakapan daripada katanya. Adapun makna istilah fiqh pula ialah istinbat hukum-hukam amali dari dalil-dalil terperinci syara’. Abu hanifah telah mentafsirkan fiqhul akbar mengandungi fiqh amali dan fiqhul I’tiqad. Maka Abu hanifah berpendapat bahawa fiqhul Akbar ialah mengetahui dengan hukum-hakam syari’at I’tiqadiyyah daripada dalil-dalilnya bukan hukum-hakam amali.


b. Ilmu An-Nazor Wal Istidlal  oleh Syeikh Muhammad Yusuf Musa dalam pelajaran Tauhid . An-nazor ialah pemikiran dalam sesuatu perkara, iaitu menyusun maklumat yang telah lalu pada akal bagi menyampaikan kepada penuntut-penuntut yang tidak tahu. Dan sesungguhnya alamatnya dikhaskan pada penulisan kata-kata terdahulu dengan memasukkan ilmu ini dengan mengkhaskan hujah-hujah dan dalil-dalil selepas mensyarahkan makna ilmu, makrifat, dan cara sampai kepadanya. Ia adalah manhaj daripada ilmu kalam. Seperti dalam kisah Jibril mengajar Rasulullah tentang Islam, iman dan Ihsan


Perbahasan mengenai ilmu tauhid ini menyentuh mengenai beberapa perkara penting yang telah ditetapkan,lebih cenderung kepada pegangan dan keimanan kita kepada Allah. Justeru, di sini perkara utama yang dibincangkan dalam ilmu ini ialah berkaitan dengan zat AllahSWT dari segi sifat-sifat yang wajib, mustahil dan harus bagi-Nya. Kemudian ilmu ini juga turut membincangkan mengenai zat rasul-rasul dari segi sifat-sifat yang wajib, mustahil dan harus bagi-Nya. Selain itu, ilmu ini juga mengupas perkara yang berkaitan dengan segala kejadian didunia ini merangkumi jirim-jirim dan aradh-aradh, yang secara tidak langsung perkara tersebut menjadi pentunjuk serta panduan atas kewujudan Allah yang menciptakan segala perkara tersebut. Akhir sekali, ilmu tauhid ini turut membahaskan perkara yang menjadi tunggak kepercayaan kita terhadap perkhabaran para rasul iaitu utusan Allah mengenai hal-hal yang berkaitan dengan hari kiamat, syurga, neraka, titian sirat dan sebagainya , semua perkara tersebut tidak dapat menjangkaui asas pemikiran manusia terhadap perkara-perkara yang berada diluar batasan pemikiran manusia


Kesimpulannya Firman Allah surah al-Kahfi 109:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan"

Maka tuan/puan para asatizah, berusahalah mendalami ilmu supaya akidah kita lebih cantik sampai kepada makrifatullah, ibadat kita indah diterima dan dikagumi oleh para malaikat, akhlak kita yang indah mengikuti akhlak baginda Nabi Muhammad SAW. Sesuai dengan sabda Rasulullah SAW;


مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ

“Siapa saja yang Allah kehendaki dengannya kebaikan, maka Allah akan pahamkan dia agama”. (HR. Bukhari dan Muslim)

Marilah kita berdoa : Allahumma Faqihna fid Dinn wa allimna bitta’wil.

Supaya kita tidak jahil malah sombong dalam kejahilan.

Sekian wabillahi taufiq wal hidayah