Jumaat, 1 April 2022

Istinjak Membersihkan Fizikal, Mental dan Jiwa

 sambungan dari siri terdahulu

11. Tidak memandang najis

Mengikut kitab Fikih Ibadat Madzhab Syafi’i (Syaikh Dr Alaudin Za’tari); makruh memandang ke langit atau ke kemaluannya atau ke sesuatu yang keluar darinya, kecuali atas dasar darurat.

“Jangan memandang ke langit, melihat ke arah kemaluan atau melihat kotoran yang keluar darinya. Makruh bercakap atau bersembang di dalam tandas. (Abu Dawud, Ibnu Majah). Termasuk menjawab salam pun tidak dianjurkan. Menjawabnya cukup dengan isyarat / berdehem. (Muslim, Tirmidzi, Nasa’i)

Berkata Imam Nawawi:

Dan disunatkan atas seorang itu tidak masuk ke dalam tandas dengan tidak menutup kepalanya dan bahawa tidak ia melihat kepada najis yang keluar daripadanya dan tidak melihat kepada kemaluannya.” (Kitab Ar-Raudhah At-Talibin)

 

12. Tidak membawa bahan yang mengandungi nama Allah dan nama Rasulullah SAW

Menurut sebuah riwayat bahawa Anas ra. berkata “Semasa memasuki bilik air, Nabi :saw akan membuka cincinnya”. Semua maklum bahawa cincin Nabi :saw mempunyai ukiran “Muhammad adalah Rasulullah”. Alasannya, kerana tidak sesuai Nama Allah dibawa bersama. Disini menunjukkan dua keadaan :-

a. Kebenaran mengukir Nama Allah ke atas sesuatu objek, misalnya cincin. Menurut Ibn Abi Syaibah, bahawa Hudhaifah dan Abu ‘Ubaidah mempunyai cincin yang diukir “Alhamdulillah”. Ibrahim al-Nakhai pula mempunyai cincin yang diukir “Billah”.

b. Hukum membawa barang seperti itu kedalam bilik air. Mazhab Syafie dan Hanafil tidak menggalakkan membawa objek yang mempunyai Nama Allah, akan tetapi Mazhab Maliki dan Hanbali mengharamkannya. Ibn Qudamah rh berkata, jika seseorang membawa sesuatu objek yang menyebut nama Allah, adalah mustahab (digalakkan) meninggalkan atau menanggalkannya.

Jika dia membawa bersamanya, dan menjaganya baik-baik agar tidak terjatuh, atau memusingkan bahagian yang ada nama Allah mengadap tapak tangannya, maka tidak mengapa. Menurut Imam Ahmad, jika cincin mempunyai nama Allah, hendaklah dipusingkannya mengadap tapak tangan dan kemudian baru ke bilik air. Pandangan ini merupakan pendapat Ibn al-Musayyab, Ibn Sirin, dll. (al-Mughni, 1/109).

Syeikh Atiyar Saqr (syeikhul Azhar) mengatakan bahawa jika dia takut akan cincin (objek) tersebut kehilangan, maka tidaklah menjadi kesalahan membawa ke dalam bilik air.

Perkara penting yang perlu difahami dalam menentukan persoalan ini ialah kita perlu membezakan antara kalimah suci dan ayat-ayat suci al-Quran. Kedua-duanya mempunyai hukum yang berbeza. Jika dilihat kemusykilan yang diutarakan, ianya berkisar persoalan kalimah suci.

Mengenai hukum tentang persoalan yang diutarakan, Ulama mazhab Syafie bersependapat bahawa disunatkan menanggalkan apa yang terdapat padanya sebutan Allah Taala ketika hendak memasuki tandas dan ianya tidak wajib. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahawa Rasulullah menanggalkan cincin yang dipakainya kerana tertulis di atasnya perkataan Muhammad Rasulullah.

Imam Ahmad mengatakan : Cincin yang terdapat padanya nama Allah hendaklah digenggam apabila memasuki tandas. Begitu juga dengan pendapat Ikrimah.

Pendapat lain mengatakan membawa sesuatu yang ditulis zikrullah di atasnya ke dalam tandas hukumnya makruh dan bukannya haram. Sama sepertinya iaitu nama rasulnya dan setiap nama yang diagungkan seperti yang disebutkan dalam kitab al-Kifayah sejajar dengan pendapat al-Imam.

Ibn al-Musayyab, al-Hassan al-Basri dan Ibn Sirin (tabi’in) memberikan kelonggaran tentangnya (membawa bahan yang tertulis nama Allah ke tandas) Imam Ahmad memberikan jawapan tentang seorang lelaki yang membawa duit dirham (tertulis zikrullah) masuk ke tandas dengan mengatakan: aku harap ianya tidak mengapa.

 

13. Membersihkan Tangan Selesai beristinja’ kemudian berwuduk

Diriwayat dari Abu Daud r.a dari waki’ :


كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَتَى الْخَلَاءَ أَتَيْتُهُ بِمَاءٍ فِي تَوْرٍ أَوْ رَكْوَةٍ فَاسْتَنْجَى قَالَ أَبُو دَاوُد فِي حَدِيثِ وَكِيعٍ ثُمَّ مَسَحَ يَدَهُ عَلَى الْأَرْضِ ثُمَّ أَتَيْتُهُ بِإِنَاءٍ آخَرَ فَتَوَضَّأَ

"Bahawasanya Nabi SAW jika hendak buang air, maka aku bawakan air dalam bejana atau baldi kecil. Lalu Baginda beristinja’, kemudian menggosokkan tangannya pada tanah. Lalu aku bawakan bejana lain, kemudian baginda berwuduk." (HR. Abu Dawud) juga dalam Ihya’ Ulumuddin.

Membersihkan tangan setelah istinja' ini tidak harus dengan tanah, apabila ada sesuatu yang dapat menggantikannya sebagai penghilang bau seperti sabun atau semisalnya maka tidak mengapa.

14. Keluar bilik air dengan kaki kanan.

Daripada ‘Aisyah RA, berkata: Nabi SAW menyukai melakukan sesuatu daripada sebelah kanan ketika mengenakan sandal, menyisir rambut, bersuci dan dalam setiap amalan yang dilakukannya." (Hadith riwayat al-Bukhari, Sahih Bukhari: No.Hadith : 168).

Matan hadith :

عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ، فِي تَنَعُّلِهِ، وَتَرَجُّلِهِ، وَطُهُورِهِ، وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ.

Al- Imam an-Nawawi dalam kitab beliau, Syarhu Shahih Muslim dan Al-Imam Ibnu Daqiqil ‘Id serta ada beberapa ulama’ lain lagi yang menyebutkan bahawa masuklah tandas dimulai dengan kaki kiri dan keluarlah tandas dengan kaki kanan berdasarkan hadis di atas.

 

15. Doa keluar tandas:

 Doa hendak keluar tandas

غُفْرَا نَكَ الله الَّذِى اَذْهَبَ عَنّى الأذَى وَعَا فَانِى

Aku memohon ampun daripada Engkau, Tuhan yang telah menghilangkan apa yang menyakitkanku dan akan menyihatkanku.

 

PENUTUP

Doa.

Ya Allah terimalah amalan kami ini sebagai amalan soleh, jika ia berpahala, kami hadiahkan pahalanya kepada ibu dan ayah kami, suami atau isteri kami, juga anak-anak kami, ahli keluarga kami, jiran tetangga kami, murid-murid kami, guru-guru kami dan seluruh muslimin dan muslimat. Amin

 

Sekian wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum wrt

Ustazah Dr. Saharizah binti Mohamad Salleh

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan