Isnin, 11 April 2016

ULAMA JAHAT VS ULAMA SOLEH


Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum wrt, 

Sebentar tadi aku bersembang dengan Prof. Dr...tentang sunnatullah yang pernah kami kaji dan selidik melalui Surah al-Kahfi. Isunya tentang pemuda yang lari ke gua untuk menyelamat akidahnya.
 
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. Beliau berkata, telah bersabda Rasulullah SAW "Telah hampir tiba suatu zaman, di mana tidak ada lagi dari Islam kecuali hanya namanya, dan tidak ada lagi dari Al-Quran kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka indah, tetapi kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah langit. Daripada merekalah keluar fitnah, dan kepada mereka jua fitnah itu akan kembali " (HR Al-Baihaqi).


Isu sekarang terdapat ulama, mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah langit, dari merekalah keluar fitnah....yang sentiasa mencari-cari kesalahan umat Islam lain, gemar mencari-cari keburukan orang, gemar mendedahkan keaiban orang islam lain, yang gemar menuduh itu dan ini, yang seronok menghina sesama Islam, yang membesar-besarkan perkara kecil, yang mengutamakan perkara furu' dari perkara pokok dan sebagainya. Semua sikap ini, menyalahi Sunnah Nabi Muhammad saw yang sentiasa meraikan perbezaan pendapat selagi tidak diharamkan oleh al-Quran dan as-Sunnah.

Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda "Akan datang suatu zaman di mana orang yang beriman tidak akan dapat menyelamatkan imannya, kecuali apabila dia lari membawanya dari puncak bukit ke puncak bukit yang lain, dan dari suatu gua ke gua yang lain....(HR Baihaqi)


Orang yang beriman yang takut kepada Allah akan tersepit di antara ulama jahat dan ulama soleh. Mereka ingin menegur kesilapan-kesilapan ulama tersebut tetapi siapalah mereka jika dibandingkan dengan kehebatan ulama itu, bijak berkata-kata, bijak berhujah, kuat ingatan meriwayat dari buku itu, buku ini, berdalilkan hujah itu dan ini. Mereka sedih dengan pergaduhan ini, mereka sedih dengan kelancangan lidah dan tulisan ini, mereka sedih dengan perpecahan ini. Mereka bimbang anak dan keluarga mereka terpengaruh dengan sikap dan fahaman ini. Maka, apakah cara yang terbaik bagi mereka untuk menjaga akidah mereka, Maka, mereka akan lari kegua-gua, ke bukit-bukit untuk menyelamatkan akidah mereka sebagaimana hadis Rasulullah saw di atas dan ia menepati sunnatullah dan kembali berulang sejarah Ashabul Kahfi.

Lalu Rasulullah SAW berpesan Daripada Abi Nijih 'Irbadh bin Sariyah r.a. Beliau berkata "Telah menasihati kami Rasulullah SAW akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berikanlah pesanan kepada kami" Lalu baginda pun bersabda "Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekali pun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunah-sunah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid'ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat" (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Ikutlah al-Quran dan Assunnah dan gigitlah dengan gigi gerham supaya kita selamat dari fitnah akhir zaman. yang bergaduh akhir zaman adalah ulama. Ditambah dengan pelbagai ideologi orientalis barat yang dianuti oleh umat Islam. Hanya yang mengigit al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw serta para sahabat baginda yang terselamat. Rasulullahsaw bersabda mafhumnya" umatku akhir zaman ada 73 golongan hanya satu golongan yang masuk syurga, yang lainnya masuk neraka, yang satu itu ahli sunnah wal jamaah (ASWJ).

Maka hati-hati tuan/puan, sunnatullah akan berlaku mengikut hadis2 di atas, maka letakkan diri kita dalam golongan ASWJ yang diperakui oleh Rasulullah saw, bersedia untuk menyelamatkan akidah kita apabila berlaku peperangan dari kalangan para ulama jahat ini dan juga peperangan dari golongan yang tidak gemarkan Islam sama ada dari kalangan orang Islam sendiri dan orang bukan Islam. Untuk memastikan kita adalah golongan yang satu itu, maka tuntutlah ilmu yang benar dan sahih, tingkatkan ilmu pengetahuan, jangan jahil melingkari kehidupan kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan