Ahad, 22 April 2018

SUKARELAWAN ASATIZAH AL-QURAN

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum wrt




Umat Islam yang dermawan,
Selangkah penapak dengan pendek dan perlahan,  UMJS Serdang telah ditubuhkan 7 tahun yang lalu dengan hanya beberapa orang ahli. Kini UMJS telah mempunyai keahlian yang agak ramai dan meluas sehingga menjangkau kepada beberapa buah masjid dan surau. UMJS sederap langkah memartabatkan al-Quran sejak ia mula ditubuhkan tanpa meninggalkan amalan-amalan yang lain seperti kelas fardu ain, Kuliah bulanan, kupasan buku, ziarah orang sakit dan mengurus jenazah. Juga disertai dengan sumbangan, sedekah dan wakaf kepada pihak-pihak yang kurang bernasib baik. Jiran tetangga sekampung setaman dan sedaerah dapat merasai rezeki secupak dikongsi bersama malah melangkau ke Yaman, Palestin, Syria, Myanmar, Kemboja dan Sabah. Semuanya menikmati bersama rezeki secupak yang Allah kurniakan kepada UMJS. Alhamdulillah. Nikmatnya bersama UMJS.

Langkah kedua dibuka pula. Kali ni UMJS mengambil anisiatif untuk bersama membangunkan  sebuah Madrasah Tahfiz Sabil al-Muhtadin yang berada di Kampung Keledek, Bukit Betong Kuala Lipis, Pahang. Semoga ahli UMJS bersatu saf mencari dana untuk membantu madrasah ini yang bertujuan kebajikan dengan mengajar al-Quran dan al-Hadis serta melahirkan al-Hafiz yang akan berjuang meneruskan perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda. Semoga hajat kami ini dibantu oleh tuan dan puan sekalian. Oleh itu, bantuan kewangan sangat diperlukan sekurang-kurangnya untuk membina sebuah blok bangunan pejabat, rumah guru dan asrama murid. Sekarang Madrasah yang serba kekurangan itu beroperasi pada bulan mac yang lalu dengan seorang guru, seorang mudir dan 10 orang murid, belajar dalam serba kekurangan.

Langkah UMJS diperkemaskan lagi dengan misi dan visi yang sama, memartabatkan al-Quran sebagai manual kehidupan umat Islam. Maka kami telah mewujudkan Sukarelawan Asatizah al-Quran yang dilatih mahir al-Quran untuk mengajar umat Islam secara sukarela. Maka kelas-kelas al-Quran akan diadakan di mana-mana pada bila masa atas permintaan orang ramai. Biarlah al-Quran itu berkumandang di setiap rumah umat Islam. Tiga siri kursus dan bengkel telah diadakan untuk melatih sukarelawan ini, walaupun masih dalam percubaan namun semangat sukarelawan ini sangat mengembirakan kerana mereka sudah tidak sabar untuk belajar dan mengajar al-Quran. Mereka ini kebanyakanya terdiri dari pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang kerana terasa sedih di hati saya bila melihat anak-anak zaman sekarang sudah tidak mempedulikan al-Quran yang lebih dipedulikan berapa A dalam matematik, matematik tambahan, sains, fizik dan sebagainya. Al-Quran sebagai buku manual telah diketepikan. 

Oleh itu, saya mengajak semua pencinta Al-Quran marilah bersama saya dan UMJS berkorban masa tenaga dan wang ringgit untuk kita membina "satu perniagaan yang tidak pernah rugi" untuk bekalan menjadi jutawan di akhirat nanti. Anda sekalian dijemput untuk menjadi sama ada Sukarelawan al-Quran, tenaga pengajar, dan penyumbang untuk merealisasikan al-Quran sebagai manual kehidupan umat Islam. Jom bersama saya....InsyaAllah

Khamis, 15 Februari 2018

Bacaan-bacaan ketika Tawaf


Sesiapa yang ingin mengerjakan umrah atau haji, silalah print bacaan-bacaan ini, buat 1/4 muka surat, bawalah dan bacalah ketika anda mengerjakan tawaf. mudah kan?






















Pengambilan pelajar Tahfiz Madrasah Sabil Al-Muhtadin


Assalamualaikum Wrt. Alhamdulillah segala puja dan puji hanya untuk Allah semata-mata, tiadalah daya upaya kecuali dengan izin-Mu juga. Syukur pada-Mu Ya Allah dengan segala nikmat kurniaan-Mu. Kau anugerahkan kekuatan kepadaku yang sangat kerdil ini untuk membina sebuah Madrasah Tahfiz yang berorentasikan pendidikan al-Quran dan Hadis bagi membesarkan dan mengagongkan-Mu semata.

Aku juga bersyukur kerana dianugerahkan impian untuk membina Madrasah ini dengan segala kekurangan dan kelemahan yang amat sangat. Aku bersyukur kepada-Mu kerana aku dikelilingi oleh saudara mara dan sahabat handai yang tidak pernah berkira untuk menyumbang ke arah pembangunan Madrasah ini.

Namun begitu perjalananya perlahan kerana sumber kewangannya masih jauh dan panjang untuk sampai kepada sebuah Madrasah yang memiliki bangunan pejabat, bangunan bilik darjah dan bangunan asrama, yang ada hanya doa agar ada insan yang bercita-cita seperti kami untuk membina mahligai tahfiz supaya wujud mahligai di syurga. Insan seperti ini pasti merebut peluang bersama kami memajukan Madrasah ini.

Perjalanan langkah pertama baru bermula dengan pengambilan pelajar sulong tahfiz pada 3 Mac 2018 ini hanya di buka untuk anak lelaki berusia 7 tahun yang masih tetap mengikuti sesi sekolah rendah perdana di waktu pagi dan sesi petangnya kelas tahfiz. Namun begitu pengambilan tahfiz untuk dewasa juga dibuka pada sesi pagi dan petang malah kelas Tafsir dan lain kelas juga dibuka. Semua kelas tersebut diberi sijil pengajian, tertakluk kepada syarat dan terma.

Seorang guru tahfiz telah dilantik secara tetap dan bergaji untuk menjadi tenaga pengajar bagi kelas tahfiz kanak-kanak, kelas tahfiz dewasa dan lain-lain kelas atas persetujuan bersama antara pihak pentadbir Madrasah serta pelajar.

Saya menyeru, marilah kita bersama-sama mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit kita supaya ia menjadi satu perniagaan yang dijanjikan oleh Allah di mana tidak pernah rugi sama ada di dunia maupun di akhirat. Semoga Allah SWT mengirimkan para pembantu yang bertaqwa dan ikhlas untuk membantu kami meneruskan jihad ini dalam menegakkan kalimat Allah sebagai jalan ke syurga. InsyaAllah. amin

Sekian terima kasih.

Sabtu, 16 September 2017

HUKUM MENUNAIKAN WASIAT SI MATI.

.
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assaalamualaikum wrt brt.

Kita berbicara santai pada petang ini tentang hukum menunaikan wasiat orang yang telah mati. Perlu diketahui bahawa wasiat dari seorang yang sudah meninggal dunia telah diatur dalam syariat Islam. Dasar hukumnya mestilah bersumber dari Al-Qur'an, Hadits dan Ijma' para ulama.

Allah SWT berfirman:

كُتِبَ عَلَيْكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ إِنْ تَرَكَ خَيْرًا الْوَصِيَّةُ لِلْوَالِدَيْنِ وَاْلأَقْرَبِيْنَ بِالْمَعْرُوْفِ حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِيْنَ

"Diwajibkan atas kamu, apabila seorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, apabila ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu-bapak dan kaum kerabatnya secara ma'ruf, (ini adalah) kewajiban atas orang-orang yang bertakwa." (QS. Al-Baqarah [2]: 180).

Berdasarkan firman ini didapati terdapat perintah menyuruh umat Islam mengamalkan wasiat. Sudah tentu suruhan merupakan kewajipan yang wajib ditunaikan oleh setiap warisnya. Ia juga memberi makna wasiat adalah dituntut dibuat oleh setiap umat Islam sebelum mereka meninggal dunia lagi.

Hal keadaan itu ditegaskan lagi dengan sabda Rasulullah saw:

مَا حَقُّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ لَهُ شَيْءٌ يُوصِي فِيهِ يَبِيتُ لَيْلَتَيْنِ إِلَّا وَوَصِيَّتُهُ مَكْتُوبَةٌ عِنْدَهُ

"Tidaklah seseorang mewasiatkan suatu hak untuk seorang Muslim, lalu wasiatnya belum ditunaikan hingga dua malam, kecuali wasiatnya itu diwajibkan di sisinya." (HR Bukhari dan Muslim)

Sa'ad bin Abi Waqqash ra berkata, "Ya Rasulullah, aku memiliki harta dan tidaklah ada yang mewarisinya kecuali hanya seorang anak wanitaku. Apakah (boleh) aku sedekahkan dua pertiga dari hartaku? "Rasulullah Saw menjawab, "Jangan." Aku berkata, "Apakah (boleh) aku sedekahkan setengah darinya?" Rasulullah Saw menjawab, "Jangan. Sepertiganya saja.". Hukum wasiat wajib ditunaikan setakat 1/3 dari harta si mati sekiranya  si mati masih mempunyai anak yang memerlukan harta si mati atau masih dalam tanggungan si mati. Sebagaimana sabda Rasulullah saw;


وَالثُّلُثُ كَثِيْرٌ إِنَّكَ أَنْ تَدَعَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَدَعَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُوْنَ النَّاسَ فِي أَيْدِيْهِمْ

"Sepertiga itu banyak. Sesungguhnya engkau tinggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya (adalah) lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam keadaan miskin dan meminta-minta kepada manusia (yang lain)." (HR Bukhari dan Muslim) Oleh itu, para ulama sudah sepakat (ijma') bahwa wasiat itu hukumnya sunnah muakkad.

Syarat kedua untuk menunaikan wasiat, pastikan wasiat itu tidak mengandungi kemaksiatan kepada Allah atau yang melanggar aturan-aturan syariat. Sebaiknya wasiat seorang ayah agar anaknya menghafal Al-Qur'an setelah kematiannya, atau membangun masjid (mushala) yang kemudian diwakafkan atas namanya, atau menyembelih kurban atas namanya, dan sebagainya. Hadis Rasulullah saw telah memberi contoh antara wasiat yang baik menurut syariat sebagaimana Sabda Rasulullah saw;

عَنْ حَنَشٍ عَنْ عَلِيٍِّ أَنَّهُ كَانَ يُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ أَحَدُهُمَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاْلآخَرُ عَنْ نَفْسِهِ فَقِيْلَ لَهُ فَقَالَ أَمَرَنِيْ بِهِ يَعْنِي النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلاَ أَدَعُهُ أَبَدًا

"Dari Hanasy, dari Ali ra bahwasanya ia berkurban dengan dua ekor kambing, seekor untuk Nabi Saw dan seekor lagi untuk dirinya. Lalu ditanyakan padanya tentang hal itu. Ali ra pun menjawab, "Nabi Saw telah memerintahkan hal itu padaku, maka aku tidak akan meninggalkannya selamanya." (HR Tirmidzi)

Dari riwayat di atas didapati bahwa Nabi saw telah mewasiatkan kepada Ali bin Abu Thalib ra agar berkorban dengan menyembelih 2 ekor kambing, yang satu untuk beliau saw dan lainnya untuk Ali ra sendiri. Maka jelaslah bahwa dalam hal ini Ali bin Abu Thalib ra memenuhi wasiat seseorang yang telah wafat, yakni Rasulullah saw. Saidina Ali r.a telah menunaikan wasiat Rasulullah saw kerana wasiat tersebut sesuai dengan syariat Islam. Malah Saidina Ali r.a seperti mewajibkan dirinya menunaikan wasiat itu.

Jika sesuatu wasiat itu tidak menepati syariat Islam, maka hukumnya tidak wajib ditunaikan malah menjadi haram dan berdosa jika wasiat tersebut mengandungi perbuatan yang diharamkan oleh Allah SWT. Contoh wasiat yang tidak menepati syariat Islam. Wasiat yang berisi pemutusan hubungan silaturahim, wasiat agar anaknya tidak diberi warisan, dan sebagainya. Rasulullah saw pernah bersabda, "Tidak ada ketaatan dalam sebuah kemaksiatan. Sesungguhnya ketaatan ada dalam perkara-perkara yang baik." (HR Bukhari). Dalam riwayat lain disebutkan Rasulullah saw bersabda, "Tidak ada ketaatan dalam maksiat kepada Allah." (HR Abu Dawud)

Berdasarkan berbagai keterangan di atas jelaslah bahwa memenuhi wasiat orang yang sudah meninggal dunia adalah sunat muakkad, hampir kepada wajib, sebab itu sebahagian ulama mengatakan wajib bukan bid'ah atau sebagainya, selama mana  isi wasiat tidak mengandung maksiat kepada Allah dan tidak melanggar hukum-hukum yang telah ditetapkan-Nya.

Menunaikan wasiat merupakan salah satu amal jariah untuk si mati. Ini dijelaskan oleh Sabda Rasulullah saw:

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ اْلإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍِ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُوْ لَهُ
 
"Dari Abu Hurairah ra, bahwa Rasulullah Saw bersabda, "Apabila manusia meninggal dunia, maka terputuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat, dan anak saleh yang selalu mendoakan." (HR Muslim).

Disebabkan si mati tidak boleh mengerjakan amal soleh kerana telah berada di alam barzakh. Namun begitu si mati masih boleh lagi mendapatkan pahala sedekah jariah yang dibuat melalui wasiatnya. Meskipun telah meninggal dunia tetapi  tidak berarti hubungannya dengan yang hidup terputus begitu sahaja. Yang hidup dengan yang mati masih menjalin hubungan. Nabi Muhammad saw mengarahkan kepada setiap Muslim agar mengucapkan salam saat melewati  perkuburan kaum Muslimin. Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw pernah mengunjungi kuburan seraya mengucapkan:
السَّلَامُ عَلَيْكُمْ دَارَ قَوْمٍ مُؤْمِنِينَ، وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللهُ بِكُمْ لَاحِقُونَ

"Semoga keselamatan untuk kalian wahai penghuni rumah kaum Mukminin, insya Allah kami akan menyusul kalian." (HR Muslim)

Perbuatan Nabi saw kepada ahli kubur memperlihatkan terjalinnya hubungan antara yang hidup dengan yang mati. Meskipun jasad mereka mati dan hancur di dalam bumi namun roh mereka hidup dan mengetahui salam yang disampaikan oleh yang hidup untuk mereka. Jika hubungan itu tidak terjalin tentulah Rasulullah saw tidak akan mengajarkan ucapan salam untuk mereka karena ia hanya akan menjadi sis-sia dan Rasulullah saw sekali-kali tidak akan mengajarkan kepada umatnya sesuatu yang sia-sia.

Malah orang yang sudah mati pun mengetahui apa yang diamalkan oleh orang yang hidup. Jika anda diamanahi wasiat, lalu tidak anda tunaikan maka hal itu akan diperlihatkan Allah kepada si mati dan sudah tentu membuatnya kecewa. Di dalam Al-Qur'an Allah SWT berfirman:


وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ

"Dan katakanlah, beramallah kamu, niscaya Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang Mukmin akan melihat amalmu itu" (QS. At-Taubah [9]: 105)
 
Tatkala menafsirkan ayat ini, Imam Ibnu Katsir menuliskan bahawa amal orang-orang yang masih hidup diperlihatkan kepada kaum kerabat dan warisnya yang telah meninggal dunia di alam barzakh. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud Ath-Thayalisi dari Jabir bin Abdullah ra yang menyatakan bahwa Rasulullah Saw bersabda:

اِنَّ اَعْمَالَكُمْ تُعْرَضُ عَلَى اَقْرِبَائِكُمْ وَعَشَائِرِكُمْ فِي قُبُوْرِهِمْ، فَإِنْ كَانَ خَيْرًا اِسْتَبْشَرُوْا بِهِ، وَإِنْ كَانَ غَيْرَ ذَلِكَ قَالُوْا: اَللَّهُمَّ الْهِمْهُمْ اَنْ يَعْمَلُوْا بِطَاعَتِكَ

"Sesungguhnya amal-amal kalian ditampilkan (diperlihatkan) kepada kaum kerabat dan keluarga  kalian di alam kubur mereka. Jika amal perbuatan kalian itu baik, maka mereka merasa gembira dengannya. Dan jika amal perbuatan mereka itu sebaliknya, maka mereka berdoa, "Ya Allah, berilah mereka ilham (kekuatan) untuk melakukan ketaatan kepada-Mu."

Berdasarkan penjelasan tersebut jelaslah bahwa kematian seseorang tidaklah membuat terputusnya hubungannya dengan orang lain (apalagi keluarga) yang masih menjalani kehidupan di dunia. Itulah sebabnya, pendapat orang yang tidak mau menunaikan wasiat dengan alasan orang yang berwasiat telah meninggal dunia sehingga telah putus hubungan dengannya merupakan pendapat yang menyalahi syariat Islam dan wajib ditolak. Sekali lagi, wasiat harus ditunaikan selama isi wasiat itu tidak  bertentangan dengan hukum-hukum Allah.

Maka marilah kita bersama-sama berusaha menunaikan wasiat ibu, bapa dan ahli keluarga kita selagi wasiat itu tidak bercanggah dengan syariat Islam, malah wasiat itu menepati sunnah nabi Muhammad SAW supaya dianugerahkan syafaat baginda kepada orang yang kita sayangi. amin


Ahad, 16 Oktober 2016

Remaja dan pemuda dalam al-Quran dan Hadis

  Di dalam al-Quran banyak terdapat ayat-ayat yang mengkisahkan tentang peranan remaja atau pemuda dan perjuangan mereka. Antaranya menceritakan tentang kisah pemuda yang lari ke gua kerana hendak menyelamatkan akidah mereka dari kekejaman raja yang zalim. Firman Allah yang bermaksud;

“(Ingatlah) ketika pemuda-pemuda itu berlindung di dalam  gua, lalu mereka berdoa:”ya  Tuhan kami! berikanlah kami rahmat dari sisi-Mu dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus bagi dalam urusan kami. “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) kisah mereka dengan sebenar-benarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda  yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka”
                                                                                               (al-Kahfi,18:10-13)

    Ayat di atas menerangkan tentang pemuda Ashabul Kahfi, yang teguh iman mereka sehingga sanggup melarikan diri dan tinggal di gua semata-mata ingin menyelamatkan akidah mereka, mereka tidak terpengaruh dengan desakan dan ancaman oleh pemerintah ketika itu. Firman Allah yang bermaksud;

 "Maka tidak ada yang beriman kepada Musa, melainkan pemuda-pemuda dari kaumnya (Musa) dalam keadaan takut bahwa Fir'aun dan pemuka-pemuka kaumnya akan menyiksa mereka. Sesungguhnya Fir'aun itu berbuat sewenang-wenang di muka bumi. dan Sesungguhnya Dia Termasuk orang-orang yang melampaui batas. "
                                                                                      (Yunus,10:83)


     Ayat ini pula menyatakan tiada orang dewasa atau orang tua yang beriman dengan Nabi Musa as kecuali para pemuda walaupun dalam keadaan takut kepada Firaun yang diketahui tahap kezalimannya.

      Dalam Tafsir Ibn Katsir() menyebut bahawa majoriti orang-orang yang menerima baik seruan nabi adalah kalangan muda. Mereka di antaranya adalah sahabat Abu Bakar yang masuk Islam pada Usia 38 tahun, sahabat Umar masuk Islam pada umur 28 tahun dan Sayyidina Ali yang masuk Islam kurang dari umur 10 tahun dan masih ramai lagi yang berumur 12,13,14 dan 15 tahun, mereka masih remaja. Firman Allah yang bermaksud;



‘Mereka (yang lain) berkata, “ kami mendengar ada seorang pemuda, yang mencela berhala-berhala ini, namanya Ibrahim”

(al-Anbiya’,21:60)

“ Wahai anakku, laksanakanlah solat, suruhlah (manusia) berbuat yang makruf  dan cegahlah (mereka) daripada  yang mungkar dan bersabarlah atas apa yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk yang penting”
                                                                                                  (Lukman,31:17)

      Demikian juga kisah Nabi Ibrahim yang masih muda sudah berani menghancurkan berhala di sekitar Kaabah hanya kerana keimanannya kepada Allah Tuhan Yang Esa. Baginda sanggup dibakar hidup-hidup.  Allah juga menyebut tentang wasiat Lukman Al-Hakim kepada anaknya supaya tidak menyengutukan Allah, menyedarkan bahawa Allah SWT Maha Mengetahui segala-galanya, mendirikan solat, tidak merasa angkuh dan sentiasa bersederhana dalam tingkah laku.Sabda Rasulullah SAW pula yang bermaksud:

“Tujuh golongan manusia yang mendapat perlindungan arasy daripada Allah di akhirat kelak, yang mana pada hari itu tidak ada sebarang lindungan selain daripada lindungan tersebut. Antara golongan tersebut ialah pemuda yang sepanjang umurnya sentiasa bertumpu ke masjid’
                      (al-Bukhari:1357 dan Muslim:1031)

Hadis di atas telah memberi pengiktirafan kepada para pemuda dan remaja yang menjadikan masjid sebagai tempat  tumpuan bukan pusat hiburan, jalanan, pesta keramaian dan lain-lain. Remaja ini sudah pasti akan memperlihatkan watak yang lebih jelas dan menjadi model serta sebagai pengantara masjid dan masyarakat.Sabda Rasululah s.a.w lagi yang bermaksud:

 “Sesungguhnya Allah sangat-sangat kagum terhadap pemuda (remaja) yang tidak didapati pada dirinya keruntuhan moral dan akhlak (shabwah)”
                                                                                            (ash-Shahiihah: 2843)

Kata shabwah yang dikaitkan dengan pemuda pada hadis di atas, dijelaskan dalam kitab Faidhul Qadir (2/263) sebagai pemuda yang tidak memperturutkan hawa nafsunya. Sebaliknya, dia membiasakan diri melakukan kebaikan dan berusaha keras menjauhi keburukan. Pemuda yang sentiasa ke masjid akan menjauhkan diri mereka dari gejala sosial serta mengajak pemuda lain membuat yang makruf .

Pada zaman Rasulullah SAW, remaja ketika itu sangat gigih dan beriman, golongan merekalah yang mencatat sejarah keagungan  Islam. Mereka merupakan pembawa panji-panji Islam yang sentiasa tersebar dan berkibar dalam satu kawasan geografi yang begitu luas. Remaja ketika itu ditunjangi oleh Abdullah bin Mas’ud, Abd Rahman bin Auf, Said bin Zaid, Saidina Ali, Usamah bin Zaid  dan ramai lagi.

Sebagai mengambil beberapa contoh Saidina Ali sanggup menggantikan tempat tidur Rasulullah s.a.w semasa baginda dikepong oleh pemuda-pemuda Quraish sedangkan beliau tahu nyawanya terancam. Manakala Usamah bin Zaid dalam usia remaja beliau telah menerima amanah yang besar daripada Saidina Abu bakar r.a untuk memimpin satu bala tentera ke medan jihad sebagai pengganti ayahnya.Rasululullah s.a.w bersabda:

”Aku berpesan kepadamu supaya berbuat baik kepada golongan pemuda, sesungguhnya hati mereka paling lembut. Sesungguhnya Allah telah mengutusku membawa agama Hanif ini, lalu para pemuda bergabung denganku dan orang-orang tua menentangku”
(Riwayat Bukhari)
Allah dan Rasulullah SAW meletakkan pemuda dikedudukan yang begitu istimewa, sampai Rasulullah SAW mewasiatkan untuk berbuat baik pada golongan kaum belia ini kerana hati mereka lembut.   Para pemudalah yang pertama sekali bergabung dengan  Rasulullah s.a.w. mengusung agama yang hanif (Islam) sedangkan orang tua menentang baginda. Rasulullah saw bersabda dalam hadits Abdullah bin Mas'ud r.a bermaksud;


"Tidak akan beranjak kaki anak Adam pada Hari Kiamat dari sisi Rabbnya sampai dia ditanya tentang 5 (perkara) : Tentang umurnya dimana dia habiskan, tentang masa mudanya dimana dia usangkan, tentang hartanya dari mana dia mendapatkannya dan kemana dia keluarkan dan tentang apa yang telah dia amalkan dari ilmunya".

(at-Tirmidzi : 2416) 


Ingatkah saat Zaid bin Tsabit, seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang bergabung dengan Islam saat usianya 11 tahun ketika terjadi perang Badar. Beliau seorang sahabat belia yang menghafal ayat dan surat yang diturunkan Allah kepada Rasulullah. Beliau adalah pemuda yang cerdas sehingga Rasulullah mengangkatnya menjadi pembantu Nabi untuk menulis wahyu yang turun dan menulis surat kepada orang Yahudi, meskipun dia masih belia.
Mush’ab bin Umair, seorang remaja Quraisy, pemuda tampan, anak seorang bangsawan yang gagah berani. Meskipun berkecukupan, beliau lebih memilih meninggalkan gemerlapnya dunia karena Mush’ab bin Umair lebih mencintai Allah SWT dan Rasulullah s.a.w dari dunia dan seisinya. Beliau juga seorang pemuda yang menjadi Duta Pertama Islam di Madinah dan berhasil membangun masyarakat Islam di sana. Malah menjadi seorang guru pertama di Madinah dan itu dilakukan saat usianya yang masih muda. 
Kisah Abdullah bin Mas’ud, seorang sahabat yang terkenal sangat mahir dengan al-Quran, memeluk Islam berusia kira-kira 18 tahun. Beliau dengan beraninya memperdengarkan bacaan al-Quran buat julung kalinya di khalayak kafir Quraish sehingga beliau pulang dengan mukanya yang luka dan berdarah (Zuraimi Ismail dalam Majalah Q & A,2013).
     Demikian juga, kisah tentang Usamah bin Zaid, panglima perang termuda kesayangan Rasulullah s.a.w. Ketika itu usianya belum pun mencecah dua puluh tahun, tetapi mendapat kepercayaan yang sangat tinggi daripada Baginda.

    Malah terdapat ramai lagi para sahabat Nabi Muhammad saw tika diangkat menjadi Rasul tatkala baginda berumur 40 tahun. Pengikut-pengikut baginda pada generasi pertama kebanyakannya juga daripada kalangan pemuda, bahkan ada yang masih kecil. Usia para pemuda Islam yang dibina pertama kali oleh Rasulullah saw di Daarul Arqaam pada tahap pembinaan, adalah sebagai berikut: yang paling muda adalah 8 tahun, iaitu Ali bin Abi Thalib dan Az-Zubair bin Al-Awwam, Thalhah bin Ubaidillah, 11 tahun, Al Arqaam bin Abil Arqaam 12 tahun, Abdullah bin Mazh’un berusia 17 tahun, Ja’far bin Abi Thalib 18 tahun, Qudaamah bin Abi Mazh’un berusia 19 tahun, Said bin Zaid dan Shuhaib Ar Rumi berusia di bawah 20 tahun, ‘Aamir bin Fahirah 23 tahun, Mush’ab bin ‘Umair dan Al Miqdad bin al Aswad berusia 24 tahun, Abdullah bin al Jahsy 25 tahun, Umar bin al Khathab 26 tahun, Abu Ubaidah Ibnu Jarrah dan ‘Utbah bin Rabi’ah, ‘Amir bin Rabiah, Nu’aim bin Abdillah, ‘ Usman bin Mazh’un, Abu Salamah, Abdurrahman bin Auf di mana kesemuanya sekitar 30 tahun, Ammar bin Yasir diantara 30-40 tahun, Abu Bakar Ash Shiddiq 37 tahun. Hamzah bin Abdul Mutalib 42 tahun dan ‘Ubaidah bin Al Harith yang paling tua diantara mereka iaitu 50 tahun.


Demikianlah hebatnya cara dakwah Rasulullah s.a.w yang mampu membina jiwa-jiwa yang sanggup dikorbankan dengan hanya memiliki sebuah rumah yang serba kekurangan iaitu Daarul Arqam, bukanlah masjid yang besar lagi mewah. Pembentukan akidah yang mendalam kepada setiap pemuda, maka akan melahirkan jiwa-jiwa yang sanggup berdepan dengan pelbagai masalah. Inilah peranan dan tanggunjawab para da’i, imam, pemimpin, pengurus, pentadbir, ahli jawatankuasa dan pihak masjid dalam mengembalikan hak Allah dan Rasul yang telah diabaikan selama ini.

Khamis, 13 Oktober 2016

MENUNGGANG KUDA SEBAGAI TERAPI PELBAGAI PENYAKIT



Menunggang mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka ialah duduk menggunakan sesuatu sebagai alat yang dikenderai dengan duduk bercelapak di atasnya contoh kuda, basikal dan lain-lain. Ia juga bermaksud menaiki dan duduk mengangkang di atas sesuatu (kuda, basikal dan lain-lain) dan mengendarai sesuatu.


Rasulullah s.a.w telah menganjurkan agar ibu bapa melatih anak-anak supaya mahir dalam tiga perkara iaitu memanah, menunggang kuda dan berenang. Sebagaimana sabda Nabi saw yang bermaksud;

Rasulullah saw bersabda, “Ajarilah anak-anak kalian berkuda, berenang dan memanah”

                                                       (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah saw : “Lemparkanlah (panah) dan tunggangilah (kuda).” 

                                                                           (Riwayat Muslim)

Aktiviti menunggang kuda merupakan sunnah Nabi Muhammad saw dan kesukaan baginda. Kuda pertama dimiliki oleh Rasulullah saw bernama 'As-Sakaf' yang dibeli baginda dari suku kaum Fezara. Baginda menunggang kuda ini dalam peperangan Uhud. Kuda kedua yang bernama Sabaha, dan yang ketiga bernama al-Murtajis. Rasulullah s.a.w gemar memasuki pertandingan menunggang kuda. Dari ibnu Umar r.a katanya 

“Rasulullah saw pernah mengadakan lumba kuda yang dikurung, dari Haifa sampai keTsaniyatul Wada’ (lebih kurang 5 atau 6 batu dari kota Madinah) dan lumba kuda yang tidak dikurung dari saniyah hingga Masjid Bani Zuraiq. Ibnu Umar sendiri turut serta dalam perlumbaan itu”

                                                                          (Sahih Muslim:1831)



Al-Baladhuri (1916) menyatakan: Aku telah diberitahu oleh Muhammad bin Sad al-Waqidi, Sulaiman bin al-Harith, az-Zubayr bin al-mundhir bin Abi Usayd, yang berkata: 

" Abu Usayd as-Saidi telah bertanding menunggang kuda Rasulullah saw yang bernama, Lizaz dan baginda memberi hadiah Jubah Yamen."


Dalam hadis yang lain, Abu Hassan Ahmed bin Yahya bin Jabir al-Baladhuri, Ibn Sad al-Waqidi, Abd al Muhayamin bin Abbas bin Sahl bin Sad, bapanya ( Abbas), datuknya Sahl, beliau berkata,

" Satu ketika Rasullullah saw mengadakan pertandingan lumba kuda, aku menunggang kuda baginda bernama az-Zarib. Baginda memberi aku serban Yamen."


Mengikut riwayat Dar Qutni ( 2: 552) Sanjah adalah kuda Rasullullah s.a.w yang sering ditunggangi baginda. Satu ketika kuda ini telah menang dalam pertandingan dan Rasullullah saw begitu gembira. Iman Ahmad bin Hanbali telah meriwayatkan dalam kitabnya "Masnad' di mana Anas telah ditanya " Adakah Rasulullah s.a.w memasuki pertandingan kuda ?" Anas menjawab "Ya", Demi Allah, baginda berlumba dengan kuda-Nya bernama Subbah. Kuda tersebut memenangi perlumbaan dan baginda amat gembira." Hadith Bukhari diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar.


Berdasarkan beberapa riwayat di atas, didapati menunggang kuda dan mengadakan pertandingan menunggang kuda adalah kegemaran Rasulullah s.a.w. Menjadi tuntutan kepada umat Islam untuk melaksanakan sunnah ini, tetapi sunnah ini telah dikelirukan oleh orientalis barat sehingga timbul anggapan menunggang kuda dan pertandingannya adalah judi dan haram. Malah menjadi satu stigma dalam masyarakat Islam menunggang kuda dan memeliharanya adalah untuk golongan kaya dan bangsawan. Kedua-dua anggapan ini hendaklah diperbetulkan dengan membudayakan aktiviti menungang kuda serta memperbanyakan pertandingan menunggang kuda yang menepati syariat Islam


Sesuatu yang menjadi sunnah, sudah tentu ia mempunyai banyak kelebihan dan kebaikan sama ada yang terang dan jelas atau yang tersembunyi. Mengikut sains kesihatan berkuda mendatangkan banyak manfaat seperti menyembuhkan berbagai penyakit dan masalah seperti mental, emosi, fizikal, bahasa, autisme , sindrom down dan lain-lain. Menurut Lisa McCallum (Seorang terapis berkuda). “Menunggang kuda adalah kegiatan menyenangkan bagi banyak orang, tapi bagi kanak-kanak yang memiliki kekurangan, menunggang kuda adalah salah satu kaedah penyembuhan”.


Bentuk lekuk pada badan dan belakang kuda (tempat manusia duduk), adalah baik untuk merawat segala masalah tulang belakang manusia. Semasa pergerakan galloping iaitu cara rentak kuda melompat dan berlari secara tidak langsung akan menyebabkan vetebra tulang belakang manusia bergesel antara satu sama lain dalam keadaan harmoni serta meransang saraf-saraf tulang belakang, seolah-olah diurut.


Beinotti et, al (2010) The therapy with horses, known as horseback ridingtherapy is a therapeutic and educational method that uses the horse within an interdisciplinary approach in the ar- eas of health, education and riding aiming at the psycho- social development of people with motor impairment and/or special needs. In Brazil, it is divided into pro- grams, in which hippotherapy is a program used when the patient is not able to conduct the horse by himself and needs a guide to lead the animal and one or two peo- ple, on the sides of the horse, to give protection and help with the exercises.


Pakar chiropraktik pun tidak mampu membuat seperti gerakan natural tulang-tulang veterbra semasa orang menunggang kuda. Seluruh anggota iaitu tulang rangka, otot-otot, organ-organ viseral termasuklah sistem penghadaman, sistem saraf, sistem voluntary mahupun involuntary, organ perkumuhan, malah geseran kepada organ-organ seksual akan teransang secara optimum untuk menjadi semakin sihat.


Penunggang kuda yang hebat selalunya bebas dari mengalami sakit belakang atau terlibat dengan tabiat-tabiat seks luar tabie. Selain itu, menunggang kuda turut mencerahkan mata sebab terdapat ransangan terhadap saraf kranial semasa gerakan ‘galloping’ kuda. Memulihkan sistem penghadaman, sistem saraf, organ perkumuhan, malah geseran kepada organ-organ seksual akan teransang secara optimum. Ini menjadikan penunggang kuda sihat dan bertenaga.


Selain daripada itu, Menurut Chassigne menunggang kuda juga menjadi sebagai terapi untuk memperbaiki imbangan, menguatkan otot, membentuk kelembutan apa yang penting ia mendorong semangat penunggang. Membantu individu yang memiliki masalah mental dan emosi, membina konsentrasi, sabar, dan berdisiplin tinggi. Membentuk kerjasama dan ikatan emosi antara kuda dan penunggangnya. Membantu mengatasi rasa ketakutan (terapi emosi). Menanam keyakinan dan keberanian dalam diri mereka. Melatih mereka supaya mematuhi disiplin. Pendedahan kepada persekitaran dan masyarakat sekitar. Berinteraksi sesama rakan lain khususnya dan juga masyarakat luar amnya. Membentuk sikap bertanggungjawab dan menghormati orang lain.


Kesimpulannya terdapat begitu banyak kelebihan yang dimiliki oleh umat Islam kerana mempunyai seorang Rasul yang menjadi contoh teladan dan ikutan. Bukan sahaja kelebihan yang dapat dilihat dan dirasa malah kelebihan yang tersembunyi akan terserlah seperti keberkatan hidup, sabar, tabah dan reda, yang paling utama mencintai Allah SWT dan rasul-Nya Muhammad saw. Maka tidak hairanlah para sahabat, tabiin dan tabik tabiin adalah umat yang terbaik dalam kalangan umat manusia.


Berdasarkan kelebihan di atas, pengurusan masjid boleh memikirkan bagaimana cara untuk merealisasikan aktiviti berkuda ini. Terdapat masjid yang mempunyai dana yang banyak (Ahmad Puhad Alim dan Siti Roddiah Abdullah (2010).) Ataupun mengabungkan dana daripada beberapa buah masjid agar segala fasiliti aktiviti menunggang kuda ini dapat direalisasikan. Kehebatan menunggang kuda dapat dilihat pada Sultan Muhammed al-Fateh yang berusia 19 ketika menjadi sultan dan berjaya menawan kota konstentinapol baru berusia 21 tahun. Demikian juga Salehudin al-Ayubbi yang dapat menawan Palestien ketika usia muda juga melalui kehebatan menunggang kuda. Atau sekurang-kurangnya menganjurkan aktiviti ekspedisi menunggang basikal atau motosikal jelajah kampung untuk beriadah sambil memberi sumbangan, atau mengutip dana untuk anak-anak yatim dan miskin bagi mengantikan aktiviti berkuda.

Jumaat, 2 September 2016

Penyucian Hati: Tanda-Tanda Ikhlas

Bismillahirrahmanirahhim. Assalamualaikum wrt
Kuliah Agama Minggu Pertama 2/9/2016


Tajuk: Tanda-Tanda Ikhlas


Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana Allah telah melapangkan diriku dan diri saudara/saudari, sahabat dan anak-anak sekelian untuk datang ke majlis Ilmu, salah satu taman syurga Allah SWT. Syukur juga daripada ribuan penghuni, hanya kalian yang dipilih oleh Allah. Doa dan harapan kita semoga kitalah juga antara orang yang dipilih oleh Allah untuk menghuni syurganya nanti. amin


sahabat dan anak2 sekelian. 

Terdapat banyak tanda-tanda ikhlas yang ada pada orang yang ikhlas antaranya;


1. Selalu berwaspada terhadap diri dan sentiasa menganggap diri serba kekurangan.

Perbuatan yang mengatakan aku baik, aku selalu berbuat baik, akulah yang buat itu, akulah yang buat ini, akulah yang mencipta kejayaan dan sebagainya. Kata-kata dan ungkapan yang memberi makna kitalah yang terbaik ini akan menjadi bahaya dan mudarat yang besar kepada diri kita.

Abdullah bin Umar suatu ketika menangis, lalu ditanya "mengapa kamu menangis?" bukankah kamu telah melakukan ketaatan yang banyak?. Abdullah bin umar menjawab;" Aku menangis kerana mendengar firman Allah yang bermaksud"..sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang yang bertakwa" (al-Maidah :27).

Abdullah bin Umar seorang yang telah banyak beribadat, apabila mendengar ayat ini, beliau menangis kenapa? kerana Allah hanya menerima ibadat orang yang bertakwa kepada Allah. Takwa itu tempatnya di hati.Bermakna sifat takut kepada Allah itu juga tempatnya di hati. bilamana hati bersih, suci, dari penyakit riak, sombong, ujub, angkuh dan takbur, barulah Allah menerima amal ibadat kita. orang yang menjauhi diri dari sifat-sifat tadi adalah orang yang bertakwa.Mereka adalah orang yang ikhlas kerana Allah semata-mata. Maka jauhilah perbuatan yang menganggap diri lebih baik dari orang lain.

Mengikut Fit-Thariq Ilallah: An-Niyyah wal-Ikhlas, (Yusuf al-Qaradhawi). Orang mukhlis sentiasa menuduh diri berlebih2an kepada Allah sedangkan sebenarnya kurang melaksanakan pelbagai kewajipan, tidak mampu menguasai hatinya kerana terpedaya oleh suatu amal dan takjub pada dirinya sendiri. Malahan dia sentiasa takut andaikata keburukan-keburukannya tidak diampunkan dan takut kebaikan-kebaikannya tidak diterima.

Inilah yang sentiasa berlegar di hati dan minda mereka, rasa bimbang merasa lebih baik kepada manusia apa lagi kepada Allah. Sentiasa menjaga hati, jangan sekali-kali terpesong hatinya kepada riak, ujub malah paling takut sombong dan takbur, berbangga diri dengan kebaikan-kebaikan yang dimiliki.

Kerana sikap seperti inilah, sebahagian ulama salaf menangis tersedu-sedu ketika jatuh sakit. Beberapa orang yang menziarahinya bertanya, “Mengapa engkau masih menangis, padahal engkau suka berpuasa, mendirikan solat malam, berjihad, mengeluarkan sedekah, haji umrah, mengajarkan ilmu dan banyak berzikir?”

Beliau menjawab, “Apa yang membuatkan aku menangis kerana aku tahu bahawa hanya sedikit dari amal-amalku yang masuk dalam timbanganku dan juga diterima di sisi Rabb-ku. Sedangkan Allah telah berfirman, Allah hanya menerima (amal) dari orang-orang yang bertaqwa,”


Sahabat dan anak-anak.

Bagaimana dengan kita? solat tidak banyak, puasa sunat tidak banyak, sedekah berkira, haji dan umrah sekali seumur hidup, mengajar ilmu agama tidak pernah, berzikirpun tak banyak, tetapi merasa diri lebih baik, lebih hebat, dari orang lain, sentiasa menyebut2nya pula berulang kali, adakah kita termasuk dalam golongan orang yang bertakwa?


Marilah kita jaga hati kita yang sentiasa dibolak balik, pastikan ia berada di trek siratol mustaqim, tiada dirosakkan oleh riak, ujub, sombong dan takbur. Bersihkan setiap perbuatan dan perkataan dengan cerminan hati yang ikhlas sekurang-kurangnya pada tahap lilahi Taala.

Dalam kitab Al Hikan, karya Syeikh Ibnu Atho’ilah tentang kedudukan seorang hamba dalam amal perbuatannya, terdapat dua tingkatan kemuliaan seorang hamba ahli ikhlas, iaitu hamba Allah yang abrar dan hamba Allah yang muqarrabin.

Keikhlasan seorang abrar adalah apabila amal perbuatannya telah bersih dari riya‘ baik yang jelas maupun tersembunyi. Tujuan amal perbuatannya hanya untuk mendapatkan pahala yang dijanjikan Allah SWT. Dengan kata lain, amalan seorang hamba yang abrar dinamakan amalan lillah, yaitu beramal karena Allah. Amal lillah menghasilkan sekedar memperhatikan hukun zahir.

Perbincangan tentang keikhlasan hamba yang abrar, yang berniat kerana Allah semata2 dalam setiap perbuatan telah dibincangkan sejak kuliah yang pertama lagi. Untuk menjadi hamba yang abrarpun kita tidak mampu. Kita tidak mampu untuk melafazkan lillahi Ta'ala pada setiap perbuatan kita, makan, minum, belajar, bekerja, berjalan, bersukan, dan sebagainya. Kita tak mampu menghapuskan riak, ujub, takbur dan sombong ketika melaksanakan kerja harian kita. Kita tetap melakukan amalan dengan menyebut-nyebut kebaikan, kelebihan dan keistimewaan kita. hanya baru setakat lillah pun kita belum lulus.

Inikan pula tahap keikhlasan hamba Allah yang muqarrabin. Maqam mukhlisin muqarrabin ini, adalah ia merasa bahwa semua amal kebaikannya semata-mata kurniaan Allah kepadanya, amalan seorang hamba yang muqarrabin dinamakan amalan billah, yaitu beramal dengan bantuan karunia Allah, sebab Allah yang memberi hidayah dan taufik. Amal billah menembus ke dalam perasaan kalbu. Sebab segala sesuatu itu dari Allah, sebab Allahlah pemilik, pengurus, pentadbir, dan pencipta. Tiada sesuatupun dari kita sesuai dengan zikir "la hau la wala quuwata illa billahil aliyyunl azim".

Wajarkah kita, menyebut2 kebaikan kita, membanding-bandingkan kelebihan, keistimewaan, kerajinan, kejayaan, kepandaian, kebijaksanaan, kekayaan dan sebagainya sedangkan semua itu kurniaan Allah kepada kita. Malulah kepada Allah, mengakui ketaatan beribadat, banyak berpuasa, banyak solat, banyak berzikir, banyak bersedekah dan sebagainya sedangkan semua itu kurniaan Allah kepada kita. Semua kelebihan itu bukan kerana aku pandai, aku rajin, aku bijak kerana pandai, rajin dan bijak itu juga kurniaan Allah kepada kita.


sahabat dan anak sekelian,

Jika kita berbuat demikian, maka lahirlah rasa ikhlas dan ikhlaslah punya semua ibadat dan amalan kita diterima oleh Allah.Alanglah malangnya kita jika segala jerit perit kita tidak diberi sebarang balasan oleh Allah di akhirat nanti.


Dikisahkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Turmudzi dan Ahmad, sebagai berikut :

"Tatkala Allah SWT menciptakan bumi, maka bumi pun bergetar. Lalu Allah pun menciptakan gunung dengan kekuatan yang telah diberikan kepadanya, ternyata bumi pun terdiam. Para malaikat terheran-heran akan penciptaan gunung tersebut. Kemudian mereka bertanya? "Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat dari pada gunung?"

Allah menjawab, "Ada, iaitu besi" (Kita mafhum bahwa gunung batu pun bisa menjadi rata ketika ditolak oleh buldozer atau sejenisnya yang terbuat dari besi).

Para malaikat pun kembali bertanya, "Ya Rabbi adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat dari pada besi?"

Allah yang Maha suci menjawab, "Ada, yaitu api" (Besi, bahkan waja bisa menjadi cair dan mendidih setelah dibakar api).

Bertanya kembali para malaikat, "Ya Rabbi adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat dari pada api?"

Allah yang Maha Agung menjawab, "Ada, yaitu air" (Api membara sedahsyat apapun, niscaya akan padam jika disiram oleh air).

"Ya Rabbi adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat dari air?" Kembali bertanya para malaikat.

Allah yang Maha tinggi dan Maha Sempurna menjawab, "Ada, yaitu angin" (Air di samudera luas akan serta merta terangkat, bergulung-gulung, dan menjelma menjadi gelombang raksasa yang dahsyat, tersimbah dan menghempas karang, atau mengombang-ambingkan kapal dan perahu yang tengah berlayar, tiada lain karana dahsyatnya kekuatan angin. Angin ternyata memiliki kekuatan yang teramat dahsyat).

Akhirnya para malaikat pun bertanya lagi, "Ya Allah adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih dari semua itu?"

Allah yang Maha Gagah dan Maha Dahsyat kehebatan-Nya menjawab, "Ada, yaitu amal anak Adam yang mengeluarkan sedekah dengan tangan kanannya sementara tangan kirinya tidak mengetahuinya."

Artinya, orang yang paling hebat, paling kuat, dan paling dahsyat melebihi semua yang di atas adalah orang yang bersedekah tetapi tetap mampu menguasai dirinya, sehingga sedekah yang dilakukannya bersih, tulus, dan ikhlas tanpa ada unsur pamer ataupun keinginan untuk diketahui orang lain.

Jadi sahabat dan anak2 sekelian jadilah hamba Allah yang ikhlas sekurang-kurangnya di tahap permulaan iaitu melakukan segala sesuatu itu dengan niat. Sesuai dengan hadis " sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat' kemudian berpindahlah ke maqam yang lebih tinggi. insyaAllah.

Sekian, akan disambung pada jumaat minggu keempat. InsyaAllah.

Ahad, 15 Mei 2016

BAGAIMANA PARA ULAMA BERADAB DENGAN GURU MEREKA

Bismillahirahmanirrahim, asssalamualaikum wrt

Dunia semakin di penghujung usianya, sunnatullah telah muncul satu demi satu. Hanya umat Islam yang menyelusuri sunnatullah dan sunnah nabi Muhammad saw sahaja yang menyedari tentangnya. Kebanyakkan manusia tidak menyedarinya. Antara sunnatullah di akhir zaman ini kian jelas ialah murid tidak menghormati gurunya.

Banyak sekali kisah di mana anak murid berlaku biadab dengan gurunya, malah kebiadapan ini disokong dan dibantu oleh kedua ibu bapa mereka. Kerap kali kita dengar guru dipersalahkan, guru dipukul atau ditumbuk tidak kurang juga guru sentiasa diberi ugutan demi ugutan. Malah guru juga tidak diberi sokongan dan perlindungan dari sudut undang-undang. Jelasnya, guru tidak diberi pembelaan sewajarnya. Akibatnya, bila cemerlang guru dipuji dan gagal guru dikeji.

Mari kita menyelusuri, sunnah para ulama dalam adab berguru agar mampu menyedarkan kita peri pentingnya beradab dengan guru untuk keberkatan hidup kita dan generasi seterusnya.

Diriwayatkan oleh Imam At Thabrani, bahwa Rasulullah (SAW) bersabda:

“Pelajarilah ilmu, pelajarilah ilmu dengan ketenangan dan sikap hormat serta tawadhu’lah kepada orang yang mengajarimu”.

Imam Al Munawi dalam Faidh Al Qadir (3/253) menyatakan bahwa tawadhu’ murid terhadap guru merupakan cermin ketinggian dan kemuliaan si murid. Tunduknya kepada guru justru merupakan izzah dan kehormatan baginya. Beliau mengambil contoh, Ibnu Abbas, sahabat mulia yang amat dekat dengan Rasulullah mempersilakan Zain Bin Tsabit, untuk naik di atas kendaraannya, sedangkan ia sendiri yang menuntunnya. “Beginilah kami diperintahkan untuk memperlakukan ulama kami”, ucap Ibnu Abbas. Zaid Bin Tsabit sendiri mencium tangan Ibnu Abbas. “Beginilah kami diperintahkan untuk memperlakukan ahli bait Rasulullah”, balas Zaid. (Diriwayatkan At Thabarani, disahihkan oleh Al Iraqi)


Manakala As Sulaimi sendiri menceritakan pengormatan orang-orang terdahulu terhadap ulama mereka. Pada zamannya, orang-orang tidak akan bertanya sesuatu kepada Said bin Musayyab, faqih tabi’in, kecuali meminta izin terlebih dahulu, seperti layaknya seseorang yang sedang berhadapan dengan khalifah.


Bagi Imam As Syaf’i, beliau menghormati guru beliau Imam Malik, diceritakan oleh Ats Sulaimi, Al Munawi menyebutkan, “Di hadapan Malik aku membuka lembaran-lembaran dengan sangat hati-hati, agar jatuhnya lembaran kertas itu tidak terdengar”. dan bagi Rabi’ As-Sulaiman, murid Imam As Syafi’i pula berkata " Demi Allah, aku tidak berani meminum air dalam keadaan Asy-Syafi’i melihatku karena segan kepadanya”.


kita perhatikan pula adab imam Abu Hanifah terhadap gurunya “Aku tidak pernah shalat setelah guruku Hammad, wafat, kecuali aku memintakan ampun untuknya dan untuk orang tuaku”. Rupanya perbuatan ini “menurun” juga kepada Abu Yusuf. Murid Abu Hanifah, ia selalu mendoakan Abu Hanifah sebelum mendoakan kedua orang tuanya sendiri. (Manaqib Imam Abu Hanifah, Al Muwaffaq Al Khawarizmi, 2/7)


Pernah satu ketika, Abdullah, putra Imam Ahmad bin Hanbal bertanya kepada ayahnya. “Syafi’i itu seperti apa orangnya, hingga aku melihat ayah banyak mendoakannya?”. “Wahai anakku, Syafi’i seperti matahari bagi dunia..”, jawab Ahmad bin Hanbal. Sebagaimana disebutkan beberapa riwayat, bahwa selama tiga puluh tahun Imam Ahmad mendoakan dan memintakan keampunan untuk guru beliau Imam As Syafi’i. (Tarikh Al Baghdadi, 2/62,66)


Imam Al Ghazali menjelaskannya. ”Hak para guru lebih besar daripada hak orang tua. Orang tua merupakan sebab kehadiran manusia di dunia fana, sedangkan guru bermanfaat bagi manusia untuk mengharungi kehidupan kekal. Kalaulah bukan karena jerih payah guru, maka usaha orang tua akan sia-sia dan tidak bermanfaat. Karena para guru yang memberikan manusia bekal menuju kehidupan akhirat yang kekal”. (Ihya’ Ulumuddin, 1/55).

Sahabat Abu Sa’id Al-Khudri Radhiallahu ‘anhu berkata,

“Saat kami sedang duduk-duduk di masjid, maka keluarlah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam kemudian duduk di hadapan kami. Maka seakan-akan di atas kepala kami terdapat burung. Tak satu pun dari kami yang berbicara” (HR. Bukhari).


Inilah sebahagian contoh teladan adab para ulama terhadap guru mereka, maka tidak hairanlah mereka memiliki ketinggian ilmu dan akhlak terpuji kerana keberkatan ilmu yang mereka perolehi dari para guru mereka.

kesimpulannya, marilah kita samada suka atau tidak suka berusaha untuk beradab dengan para guru supaya hidup kita dalam keberkatan Allah. Jauhilah bermusuhan dengan guru dan sentiasa berdoa untuk mereka kerana dengan berdoa itu akan turun keberkatan dari Allah SWT, selain itu sentiasa memohon ampun dari mereka dengan merendah diri bukan dengan sombong dan bongkak akan kehebatan diri. Apalah sangat hebatnya kita jika dibandingkan dengan ilmu yang mereka miliki.