Di dalam al-Quran banyak terdapat ayat-ayat yang mengkisahkan tentang peranan remaja atau pemuda dan perjuangan mereka. Antaranya menceritakan tentang kisah pemuda yang lari ke gua kerana hendak menyelamatkan akidah mereka dari kekejaman raja yang zalim. Firman Allah yang bermaksud;
“(Ingatlah)
ketika pemuda-pemuda itu berlindung di dalam
gua, lalu mereka berdoa:”ya Tuhan
kami! berikanlah kami rahmat dari sisi-Mu dan sempurnakanlah petunjuk yang
lurus bagi dalam urusan kami. “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) kisah
mereka dengan sebenar-benarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami
tambahkan petunjuk kepada mereka”
(al-Kahfi,18:10-13)
Ayat di atas menerangkan tentang pemuda Ashabul Kahfi, yang teguh iman mereka sehingga sanggup melarikan diri dan tinggal di gua semata-mata ingin menyelamatkan akidah mereka, mereka tidak terpengaruh dengan desakan dan ancaman oleh pemerintah ketika itu. Firman
Allah yang bermaksud;
"Maka tidak
ada yang beriman kepada Musa, melainkan pemuda-pemuda dari kaumnya (Musa) dalam
keadaan takut bahwa Fir'aun dan pemuka-pemuka kaumnya akan menyiksa mereka.
Sesungguhnya Fir'aun itu berbuat sewenang-wenang di muka bumi. dan Sesungguhnya
Dia Termasuk orang-orang yang melampaui batas. "
(Yunus,10:83)
Ayat ini pula menyatakan tiada orang dewasa atau orang tua yang beriman dengan Nabi Musa as kecuali para pemuda walaupun dalam keadaan takut kepada Firaun yang diketahui tahap kezalimannya.
Dalam Tafsir Ibn Katsir() menyebut bahawa majoriti orang-orang yang menerima baik seruan nabi adalah kalangan muda. Mereka di antaranya adalah sahabat Abu Bakar yang masuk Islam pada Usia 38 tahun, sahabat Umar masuk Islam pada umur 28 tahun dan Sayyidina Ali yang masuk Islam kurang dari umur 10 tahun dan masih ramai lagi yang berumur 12,13,14 dan 15 tahun, mereka masih remaja. Firman Allah yang bermaksud;
‘Mereka (yang lain) berkata, “ kami mendengar ada seorang pemuda, yang mencela berhala-berhala ini, namanya Ibrahim”
(al-Anbiya’,21:60)
“ Wahai anakku, laksanakanlah solat, suruhlah
(manusia) berbuat yang makruf dan cegahlah
(mereka) daripada yang mungkar dan
bersabarlah atas apa yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk
yang penting”
(Lukman,31:17)
Demikian
juga kisah Nabi Ibrahim yang masih muda sudah berani menghancurkan berhala di
sekitar Kaabah hanya kerana keimanannya kepada Allah Tuhan Yang Esa. Baginda
sanggup dibakar hidup-hidup. Allah juga
menyebut tentang wasiat Lukman Al-Hakim kepada anaknya supaya tidak menyengutukan
Allah, menyedarkan bahawa Allah SWT Maha Mengetahui segala-galanya, mendirikan
solat, tidak merasa angkuh dan sentiasa bersederhana dalam tingkah laku.Sabda
Rasulullah SAW pula yang bermaksud:
“Tujuh golongan manusia yang mendapat perlindungan
arasy daripada Allah di akhirat kelak, yang mana pada hari itu tidak ada
sebarang lindungan selain daripada lindungan tersebut. Antara golongan tersebut
ialah pemuda yang sepanjang umurnya sentiasa bertumpu ke masjid’
(al-Bukhari:1357
dan Muslim:1031)
Hadis di atas telah memberi
pengiktirafan kepada para pemuda dan remaja yang menjadikan masjid sebagai
tempat tumpuan bukan pusat hiburan,
jalanan, pesta keramaian dan lain-lain. Remaja ini sudah pasti akan
memperlihatkan watak yang lebih jelas dan menjadi model serta sebagai
pengantara masjid dan masyarakat.Sabda
Rasululah s.a.w lagi yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah sangat-sangat kagum terhadap pemuda (remaja) yang tidak didapati pada dirinya keruntuhan moral dan akhlak (shabwah)”
(ash-Shahiihah: 2843)
Kata shabwah yang dikaitkan dengan
pemuda pada hadis di atas, dijelaskan dalam kitab Faidhul Qadir (2/263) sebagai
pemuda yang tidak memperturutkan hawa nafsunya. Sebaliknya, dia membiasakan
diri melakukan kebaikan dan berusaha keras menjauhi keburukan. Pemuda yang
sentiasa ke masjid akan menjauhkan diri mereka dari gejala sosial serta
mengajak pemuda lain membuat yang makruf .
Pada zaman Rasulullah SAW, remaja ketika
itu sangat gigih dan beriman, golongan merekalah yang mencatat sejarah
keagungan Islam. Mereka merupakan
pembawa panji-panji Islam yang sentiasa tersebar dan berkibar dalam satu
kawasan geografi yang begitu luas. Remaja ketika itu ditunjangi oleh Abdullah
bin Mas’ud, Abd Rahman bin Auf, Said bin Zaid, Saidina Ali, Usamah bin
Zaid dan ramai lagi.
Sebagai mengambil beberapa contoh
Saidina Ali sanggup menggantikan tempat tidur Rasulullah s.a.w semasa baginda
dikepong oleh pemuda-pemuda Quraish sedangkan beliau tahu nyawanya terancam.
Manakala Usamah bin Zaid dalam usia remaja beliau telah menerima amanah yang
besar daripada Saidina Abu bakar r.a untuk memimpin satu bala tentera ke medan
jihad sebagai pengganti ayahnya.Rasululullah s.a.w bersabda:
”Aku berpesan
kepadamu supaya berbuat baik kepada golongan pemuda, sesungguhnya hati mereka
paling lembut. Sesungguhnya Allah telah mengutusku membawa agama Hanif ini,
lalu para pemuda bergabung denganku dan orang-orang tua menentangku”
(Riwayat Bukhari)
Allah
dan Rasulullah SAW meletakkan pemuda dikedudukan yang begitu istimewa, sampai
Rasulullah SAW mewasiatkan untuk berbuat baik pada golongan kaum belia ini
kerana hati mereka lembut. Para
pemudalah yang pertama sekali bergabung dengan
Rasulullah s.a.w. mengusung agama yang hanif (Islam) sedangkan orang tua
menentang baginda. Rasulullah
saw bersabda dalam hadits Abdullah bin Mas'ud r.a bermaksud;
"Tidak akan beranjak kaki anak Adam pada Hari Kiamat dari sisi Rabbnya sampai dia ditanya tentang 5 (perkara) : Tentang umurnya dimana dia habiskan, tentang masa mudanya dimana dia usangkan, tentang hartanya dari mana dia mendapatkannya dan kemana dia keluarkan dan tentang apa yang telah dia amalkan dari ilmunya".
(at-Tirmidzi : 2416)
Ingatkah saat Zaid
bin Tsabit, seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang bergabung dengan Islam saat
usianya 11 tahun ketika terjadi perang Badar. Beliau seorang sahabat belia yang
menghafal ayat dan surat yang diturunkan Allah kepada Rasulullah. Beliau adalah
pemuda yang cerdas sehingga Rasulullah mengangkatnya menjadi pembantu Nabi
untuk menulis wahyu yang turun dan menulis surat kepada orang Yahudi, meskipun
dia masih belia.
Mush’ab bin Umair, seorang
remaja Quraisy, pemuda tampan, anak seorang bangsawan yang gagah berani.
Meskipun berkecukupan, beliau lebih memilih meninggalkan gemerlapnya dunia karena
Mush’ab bin Umair lebih mencintai Allah SWT dan Rasulullah s.a.w dari dunia dan
seisinya. Beliau juga seorang pemuda yang menjadi Duta Pertama Islam di Madinah
dan berhasil membangun masyarakat Islam di sana. Malah menjadi seorang guru
pertama di Madinah dan itu dilakukan saat usianya yang masih muda.
Kisah Abdullah bin
Mas’ud, seorang sahabat yang terkenal sangat mahir dengan al-Quran, memeluk
Islam berusia kira-kira 18 tahun. Beliau dengan beraninya memperdengarkan
bacaan al-Quran buat julung kalinya di khalayak kafir Quraish sehingga beliau
pulang dengan mukanya yang luka dan berdarah (Zuraimi Ismail dalam Majalah Q
& A,2013).
Demikian juga, kisah tentang Usamah bin Zaid, panglima perang termuda kesayangan Rasulullah s.a.w. Ketika itu usianya belum pun mencecah dua puluh tahun, tetapi mendapat kepercayaan yang sangat tinggi daripada Baginda.
Malah terdapat ramai lagi para sahabat Nabi Muhammad saw tika diangkat menjadi Rasul tatkala baginda berumur 40 tahun. Pengikut-pengikut baginda pada generasi pertama kebanyakannya juga daripada kalangan pemuda, bahkan ada yang masih kecil. Usia para pemuda Islam yang dibina pertama kali oleh Rasulullah saw di Daarul Arqaam pada tahap pembinaan, adalah sebagai berikut: yang paling muda adalah 8 tahun, iaitu Ali bin Abi Thalib dan Az-Zubair bin Al-Awwam, Thalhah bin Ubaidillah, 11 tahun, Al Arqaam bin Abil Arqaam 12 tahun, Abdullah bin Mazh’un berusia 17 tahun, Ja’far bin Abi Thalib 18 tahun, Qudaamah bin Abi Mazh’un berusia 19 tahun, Said bin Zaid dan Shuhaib Ar Rumi berusia di bawah 20 tahun, ‘Aamir bin Fahirah 23 tahun, Mush’ab bin ‘Umair dan Al Miqdad bin al Aswad berusia 24 tahun, Abdullah bin al Jahsy 25 tahun, Umar bin al Khathab 26 tahun, Abu Ubaidah Ibnu Jarrah dan ‘Utbah bin Rabi’ah, ‘Amir bin Rabiah, Nu’aim bin Abdillah, ‘ Usman bin Mazh’un, Abu Salamah, Abdurrahman bin Auf di mana kesemuanya sekitar 30 tahun, Ammar bin Yasir diantara 30-40 tahun, Abu Bakar Ash Shiddiq 37 tahun. Hamzah bin Abdul Mutalib 42 tahun dan ‘Ubaidah bin Al Harith yang paling tua diantara mereka iaitu 50 tahun.
Demikianlah hebatnya cara dakwah
Rasulullah s.a.w yang mampu membina jiwa-jiwa yang sanggup dikorbankan dengan
hanya memiliki sebuah rumah yang serba kekurangan iaitu Daarul Arqam, bukanlah
masjid yang besar lagi mewah. Pembentukan akidah yang mendalam kepada setiap
pemuda, maka akan melahirkan jiwa-jiwa yang sanggup berdepan dengan pelbagai
masalah. Inilah peranan dan tanggunjawab para da’i, imam, pemimpin, pengurus,
pentadbir, ahli jawatankuasa dan pihak masjid dalam mengembalikan hak Allah dan
Rasul yang telah diabaikan selama ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan