lihatlah sejarah. Bandingkan dengan pemuda masa kini
Adakah kita lupa, tentang Mus’ab bin Umair? Pemuda
yang memeluk Islam tatkala umurnya menjejak 18 tahun. Siapa yang tidak kenal
dirinya, pemuda tampan yang digilai wanita Arab Mekah sehingga minyak wanginya
sahaja sudah mampu memberitahu akan kehadirannya. Disebabkan kebenaran yang
diyakininya, lantas ditinggalkannya segala kemewahan. Walaupun tentangannya
adalah ibunya sendiri, yang sebelum ini sangat-sangat menyayanginya!
Kita tahu tentang Usamah bin Zaid, panglima perang
termuda kesayangan Rasulullah s.a.w? Ketika itu usianya belum pun mencecah dua
puluh tahun, tetapi mendapat kepercayaan yang sangat tinggi daripada Baginda.
Begitu juga Sultan Muhammad Al-Fateh, sebaik-baik
raja dan mempunyai sebaik-baik tentera. Menakluk Kota Konstantinopel seawal
umur 21 tahun sehingga berjaya membuktikan hadith nabi. Bergegak gempitalah
seluruh umat islam ketika itu, hadith Baginda ternyata benar, wilayah Islam
kian menyinar.
Pemuda-pemuda itu telah pun membuktikannya.
Ternyata, barisan pemuda juga adalah penjulang panji-panji Islam satu ketika
dahulu. Adakah kita tidak pernah menoleh ke belakang sebentar? Belajar dari
sejarah, agar nanti kita juga bakal mencipta sejarah yang juga megah. Bukan
untuk sesiapa, tetapi untuk sebuah kemenangan yang diimpikan semua masyarakat
Islam terutamanya.
Syed Mahadzir (2005) dan Abdul Latip Talib (2010), Sejarah
membuktikan bahawa golongan pemuda merupakan golongan yang paling berperanan di
dalam perkembangan dakwah Islam. Rasulullah s.a.w sendiri ketika menerima wahyu
baru berusia 40 tahun, Saidina Abu bakar berusia 37 tahun, Saidina Umar berusia
27 tahun, Saidina Ali berusia 9 tahun, demikianlah sahabat-sahabat baginda yang
lain seperti Zaid bin Tsabit, Usamah
bin Zaid, Mus’ab bin Umair dan Tha’labah bin Abdul Rahman.
Di Dalam al-Quran banyak
terdapat ayat-ayat yang mengisahkan tentang peranan remaja dan perjuangan
mereka. Antaranya menceritakan tentang kisah remaja yang lari ke gua kerana
hendak menyelamatkan akidah mereka dari kekejaman raja yang zalim.
Firman Allah dalam surah al-Kahfi: 10 bermaksud;
“(Ingatlah peristiwa) tatkala serombongan
orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa:”Wahai Tuhan kami!
Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu dan berikanlah kami kemudahan-kemudahan
serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”.
Allah juga menyebut
tentang wasiat Lukman Al-Hakim kepada anaknya supaya tidak menyegutukan Allah,
menyedarkan bahawa Allah SWT Maha Mengetahui segala-galanya, mendirikan solat,
tidak merasa angkuh dan sentiasa bersederhana dalam tingkah laku. Firman Allah
dalam surah Lukman:17 yang bermaksud:
“ Wahai anak kesayanganku, dirikanlah
solat, suruhlah berbuat kebaikan dan larang daripada melakukan perbuatan yang
mungkar dan bersabarlah atas segala bencana yang menimpamu.Sesungguhnya yang
demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukanya”.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tujuh golongan manusia yang mendapat
perlindungan arasy daripada Allah di akhirat kelak, yang mana pada hari itu
tidak ada sebarang lindungan selain daripada lindungan tersebut. Antara
golongan tersebut ialah pemuda yang sepanjang umurnya sentiasa bertumpu ke
masjid’ (Riwayat As-Syeikhan).
Remaja yang menjadikan
masjid sebagai sumber rujukan sudah pasti akan memperlihatkan watak yang lebih
jelas dan menjadi model serta sebagai pengantara masjid dan masyarakat.
Sabda Rasululah s.a.w lagi yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah sangat-sangat kagum terhadap pemuda (remaja) yang tidak didapati pada dirinya keruntuhan moral dan akhlak” ( Riwayat Ahmad dan Abu Ya’la).
Pada zaman Rasulullah SAW, remaja ketika
itu sangat gigih dan beriman, golongan merekalah yang mencatat sejarah keagungan Islam. Mereka merupakan pembawa panji-panji
Islam yang sentiasa tersebar dan berkibar dalam satu kawasan geografi yang
begitu luas. Remaja ketika itu ditunjangi oleh Abdullah bin Mas’ud, Abd Rahman
bin Auf, Said bin Zaid, Saidina Ali, Usamah bin Zaid dan ramai lagi.
Sebagai mengambil beberapa
contoh Saidina Ali sanggup menggantikan tempat tidur Rasulullah s.a.w semasa
baginda dikepong oleh pemuda-pemuda Quraish sedangkan beliau tahu nyawanya
terancam. Manakala Usamah bin Zaid dalam usia remaja beliau telah menerima
amanah yang besar daripada Saidina Abu bakar untuk memimpin satu bala tentera
ke medan jihad sebagai pengganti ayahnya.
Di dalam Al Qur’an, Allah SWT
dengan jelas menyebutkan definisi pemuda atau as syabab tersebut di dalam surat
Al Kahfi ayat 13:
نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ
إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى [١٨:١٣]
“Kami ceritakan kepadamu (wahai
Muhammad) perihal mereka dengan benar sesungguhnya mereka itu orang-orang muda
yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah
petunjuk”.
Rasululullah
s.a.w bersabda:
”Aku berpesan
kepadamu supaya berbuat baik kepada golongan pemuda, sesungguhnya hati mereka
paling lembut. Sesungguhnya Allah telah mengutusku membawa agama Hanif ini,
lalu para pemuda bergabung denganku dan orang-orang tua menentangku” (HR.
Bukhari)
Allah dan Rasulullah SAW meletakkan
pemuda dikedudukan yang begitu istimewa, sampai Rasulullah SAW mewasiatkan
untuk berbuat baik pada golongan kaum belia ini kerana hati mereka lembut. Para pemudalah
yang pertama sekali bergabung dengan Rasulullah
s.a.w. mengusung agama yang hanif (Islam) sedangkan orang tua menentang baginda
.
Ingatkah saat
Zaid bin Tsabit, seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang bergabung dengan Islam
saat usianya 11 tahun ketika terjadi perang Badar. Beliau seorang sahabat belia
yang menghafal ayat dan surat yang diturunkan Allah kepada Rasulullah. Beliau adalah
pemuda yang cerdas sehingga Rasulullah mengangkatnya menjadi pembantu Nabi
untuk menulis wahyu yang turun dan menulis surat kepada orang Yahudi, meskipun
dia masih belia.
Ingatkah pada
Mush’ab bin Umair, seorang remaja Quraisy, pemuda tampan, anak seorang
bangsawan yang gagah berani. Meskipun berkecukupan, beliau lebih memilih
meninggalkan gemerlapnya dunia, karena Mush’ab bin Umair lebih mencintai Allah
SWT dan Rasulullah s.a.w dari dunia dan seisinya. Beliau juga seorang pemuda
yang menjadi Duta Pertama Islam di Madinah dan berhasil membangun masyarakat
Islam di sana. Malah menjadi seorang guru pertama di Madinah dan itu dilakukan
saat usianya yang masih muda.
Kisah Abdullah
bin Mas’ud, seorang sahabat yang terkenal sangat mahir dengan al-Quran, memeluk
Islam berusia kira-kira 18 tahun. Beliau dengan beraninya memperdengarkan
bacaan al-Quran buat julung kalinya di khalayak kafir Quraish sehingga beliau
pulang dengan mukanya yang luka dan berdarah (Zuraimi Ismail dalam Majalah Q
& A,2013).
Demikian juga, kisah
tentang Usamah bin Zaid, panglima perang termuda kesayangan Rasulullah s.a.w.
Ketika itu usianya belum pun mencecah dua puluh tahun, tetapi mendapat
kepercayaan yang sangat tinggi daripada Baginda.
Malah terdapat ramai lagi para sahabat Nabi Muhammad saw tika diangkat menjadi Rasul
tatkala baginda berumur 40 tahun. Pengikut-pengikut baginda pada generasi
pertama kebanyakannya juga daripada kalangan pemuda, bahkan ada yang
masih kecil. Usia para pemuda Islam yang dibina pertama kali oleh Rasulullah
saw di Daarul Arqaam pada tahap pembinaan, adalah sebagai berikut: yang paling
muda adalah 8 tahun, iaitu Ali bin Abi Thalib dan Az-Zubair bin Al-Awwam,
Thalhah bin Ubaidillah, 11 tahun, Al Arqaam bin Abil Arqaam 12 tahun, Abdullah
bin Mazh’un berusia 17 tahun, Ja’far bin Abi Thalib 18 tahun, Qudaamah bin Abi
Mazh’un berusia 19 tahun, Said bin Zaid dan Shuhaib Ar Rumi berusia di bawah 20
tahun, ‘Aamir bin Fahirah 23 tahun, Mush’ab bin ‘Umair dan Al Miqdad bin al
Aswad berusia 24 tahun, Abdullah bin al Jahsy 25 tahun, Umar bin al Khathab 26
tahun, Abu Ubaidah Ibnu Jarrah dan ‘Utbah bin Rabi’ah, ‘Amir bin Rabiah, Nu’aim
bin Abdillah, ‘ Usman bin Mazh’un, Abu Salamah, Abdurrahman bin Auf di mana
kesemuanya sekitar 30 tahun, Ammar bin Yasir diantara 30-40 tahun, Abu Bakar
Ash Shiddiq 37 tahun. Hamzah bin Abdul Mutalib 42 tahun dan ‘Ubaidah bin Al
Harith yang paling tua diantara mereka iaitu 50 tahun.
Demikianlah hebatnya cara dakwah Rasulullah s.a.w yang mampu membina
jiwa-jiwa yang sanggup dikorbankan dengan hanya memiliki sebuah rumah yang
serba kekurangan iaitu Daarul Arqam, bukanlah masjid yang besar lagi mewah.
Pembentukan akidah yang mendalam kepada setiap pemuda, maka akan melahirkan
jiwa-jiwa yang sanggup berdepan dengan pelbagai masalah. Inilah peranan dan
tanggunjawab para da’i, imam, pemimpin, pengurus, pentadbir, ahli jawatankuasa
dan pihak masjid dalam mengembalikan hak Allah dan Rasul yang telah diabaikan
selama ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan