PENYATUAN UMMAH
ADALAH NIKMAT DARI ALLAH
Bismillahirahmanirrahim Assalamualaikum Wa Rahmatullahi
Wa Baratuh.
Menjadi naluri semula jadi
manusia ingin hidup dalam aman dan harmoni, hidup saling tolong menolong dan sayang
menyayangi. Atas desakan naluri inilah, kebanyakan manusia mengharapkan
penyatuan ummah supaya kehendak naluri tadi dapat dipenuhi. Menyanggahi
penyatuan ummah menunjukkan seseorang itu menyanggahi naluri semula jadi. Ini berlaku
disebabkan beberapa faktor, antara faktornya adalah penyakit hati. Maka penyakit
hati ini perlu diubat dengan siraman kedamaian dan kelembutan ayat al-Quran serta
sunnah Nabi Muhammad SAW. Sayugialah pemahaman tentang penyatuan ummah mengikut
al-Quran dan as-sunnah itu sangat dituntut.
Penyatuan berasal dari kata dasar
satu, iaitu menyatukan dua perkara contoh penyatuan antara teori dan amali,
penyatuan antara bidang sains dan kemanusiaan (Normah Karimin 1994). Manakala
perkataan ummah pula masyarakat atau umat manusia, Dalam konteks ummah pada
zaman Nabi Muhammad SAW, masyarakat yang mematuhi Piagam Madinah termasuk umat
Islam dan bukan Islam seperti kaum Yahudi di Madinah. Ringkasnya ummah zaman
Nabi ialah masyarakat yang mematuhi undang-undang Islam sama ada mereka seagama
atau tidak. (Sejarah Ting. 6, Kementerian Pendidikan Malaysia,2013). Dalam konteks hari ini, penyatuan ummah itu memberi maksud menyatukan dua kumpulan masyarakat tanpa
mengira bangsa dan agama yang sebelum ini berpisah menjadi satu dengan memenuhi
syarat-syarat yang telah dipersetujui oleh kedua pihak bagi tujuan dapat
meneruskan kehidupan dengan aman, harmoni, dan penuh kasih sayang.
Allah SWT yang mencipta langit
dan bumi serta segala isinya telah memerintah manusia dalam firman-Nya surah Ali
Imran 3:103 yang bermaksud “ Dan berpegang teguhlah kamu sekalian pada tali
(agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah
kepadamu ketika kamu dahulu (ketika jahiliyah)
bermusuhan, lalu Allah menyatukan hatimu, sehingga dengan kurniaan-Nya
kamu bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di jurang neraka, lalu
Allah selamatkan kamu dari sana.Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya
kepadamu agar kamu mendapat petunjuk”.
Mafhumnya dari ayat ini
menjelaskan kepada manusia khususnya orang Islam, pertama sekali berpegang
teguh dengan agama Islam yang pasti akan memberi keamanan kepada semua orang
tanpa mengira bangsa dan agama. Apabila umat Islam berpegang teguh, taat kepada
semua perintah Allah serta menjauhi larangan, keamanan akan tercipta. Apabila
orang Islam tidak berpegang kepada agama Allah, sukar sekali mendapat
keharmonian kerana Islam itu datang untuk mengembalikan keharmonian. Apabila umat
islam tidak berpegang kepada al-Quran dan hadis, pasti berlaku bercerai berai sama ada
keluarga, masyarakat dan negara. Kesan dari bercerai berai, sudah tentu
keamanan dan kehamonian tidak dapat dikecapi oleh manusia. Oleh itu, penyatuan ummah hendaklah diterajui oleh umat Islam yang beriman dan bertakwa supaya menepati kehendak Allah SWT.
Umat Islam yang enggan menerima
penyatuan ummah dengan berpegang teguh kepada agama Allah adalah kerana
memiliki hati yang tidak aman dan tenteram seperti mana firman Allah dalam
surah al-Baqarah 2:10 yang bermaksud;” Dalam hati mereka ada penyakit , lalu
Allah menambah penyakitnya itu, dan mereka mendapat azab yang pedih kerana
berdusta”. Hati yang tidak aman dan tenteram kerana mendustakan kebenaran,
ragu-ragu serta tidak yakin, munafik dan tidak beriman dengan perintah Allah
janganlah kamu bercerai berai.
Allah SWT telah memperingatkan
umat manusia, yang pada suatu ketika dahulu kita bercerai berai, kita
bermusuhan yang mengakibatkan kematian manusia dan binatang, kemusnahan rumah
dan bangunan, kerosakan harta benda, anak-anak kecil dan ibu tua tanpa pembela,
kekurangan makanan dan minuman serta berbagai kemusnahan yang lain. Malah Allah SWT menegaskan perbuatan "bercerai berai", tiada penyatuan ummah ini akan meletakkan umat Islam di tepi jurang neraka. Banyak negara
di dunia yang sering berperang tidak dapat hidup dengan aman dan harmoni,
adakah ini matlamat kehidupan manusia yang berpenyakit dalam hatinya. Sedangkan Allah telah menawarkan keamanan dengan menyatukan hati-hati
manusia supaya kembali kepada Allah SWT, suatu kurniaan nikmat yang tidak ada
galang gantinya, semua manusia tanpa mengira bangsa dan agama boleh hidup aman
damai dengan penyatuan hati ini. Mahukah umat Islam dan rakyat Malaysia hidup
dalam keadaan huru hara, berpecah belah, berperang, berbunuhan serta bermusuhan
kerana mengikut kaum dan orang yang berpenyakit hatinya. Oleh sebab itu, Allah SWT
menyeru kepada penyatuan ummah supaya manusia dapat hidup aman dan harmoni.
Penyatuan ummah memerlukan
prasyarat kerana dengan syarat-syarat inilah yang akan membentuk keharmonian
dan keamanan. Antara pra syarat yang utama adalah berpegang teguh kepada Al-Quran
dan al-Hadis, Sunnah Rasulullah SAW, para sahabat dan ulama. Tatacara penyatuan
ummah jelas ditunjukan oleh kaum Muhajirin dan ansar dalam setiap tindakkan
mereka. Islam mengajar umatnya tidak mementingkan diri sendiri sebaliknya
mengutamakan orang lain, mengorbankan keinginan nafsu sendiri menjadi keutamaan
sebagaimana yang ditonjolkan oleh “golongan as-sabiqun al-awwalun” dalam firman
Allah surah a-taubah 9:100 yang bermaksud; “Dan orang-orang terdahulu lagi yang
mula-mula (memeluk Islam) di antara orang muhajirin dan ansar dan orang-orang
yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan mereka reda
kepada Allah. Allah sediakan bagi mereka syurga yang mengalir di bawahnya
sungai-sungai. Maka kekal mereka selama-lamanya. Itulah kemenangan yang agung ”.
Ini merupakan satu pengiktirafan Allah dan
ganjaran besar kepada orang yang menyokong dan bersama dengan penyatuan ummah,
yang memenuhi prasyarat tersebut. Golongan ini mendapat keredaan Allah,
disediakan syurga dan dijanjikan kemenangan yang agung. Wahai umat Islam dan
rakyat Malaysia, manakah yang kalian inginkan. Sebagai rakyat marhaen yang akan
menerima nasib seumpama timun, adalah baiknya kita memilih penyatuan ummah
kerana jika kita luka hanya kecil lukanya. Diharapkan penyatuan ummah kerana Allah
yang menepati pra syarat tadi, pasti kitalah yang sangat bertuah atas nikmat
kurniaan Allah ini kerana keamanan, keharmonian dan kekayaan dinikmati dan
dikongsi bersama sebagaimana yang berlaku di zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz.
Marilah kita bersatu hati menyokong dan mendoakan serta sederap selangkah
bersama penyatuan ummah agar Allah reda kepada kita dan kita reda kepada Allah,
itulah kemenangan yang Agung. insyaAllah. Janji Allah itu adalah benar.Jangan
sekali-kali kita menafikannya.
Dr. Saharizah bt Mohamad Salleh